Sebaik sahaja mengetahui akan kehadiran Diana Sinclair di Kuala Lumpur, Daniel menghubungi tim pengurusan Diana dan menyatakan hasrat kami untuk berjumpa dengannya. Kami menunggu selama tiga hari dan akhirnya mereka bersetuju. Mereka mengaturkan perjanjian di Hotel Vistana. Tetapi dua jam sebelum janji temu itu, pengurus Diana menghubungi kami untuk membatalkan janji temu ini kerana Diana terpaksa ke Pulau Pinang atas urusan peribadi (?) dan menukarnya pada hari berikutnya. Namun, sekali lagi kami dikecewakan kerana mereka membatalkannya sekali lagi kerana Diana ingin ke Singapura atas urusan peribadi (?). Namun, aku dijemput untuk ke sana. Apa yang peliknya, mereka meminta pihak Hey untuk memberikan biodata penuh orang yang akan menemuramah Diana (akulah orangnya) berserta dengan gambar (mereka tidak mahu gambar berukuran pasport). Daniel tidak menolak. Dia menyerahkannya kepada mereka. Beberapa jam selepas biodata dan gambar itu diserahkan, mereka mengajak aku ke Singapura. Daniel berjanji akan menemaniku.
Seorang yang diupah Diana diarahkan untuk menyerahkan tiket penerbangan kami ke Singapura dan janji temu kemudiannya dibuat di sebuah hotel. Namun, setibanya kami di Singapura, pasukan pengurusan Diana menghubungi kami dan mengatakan yang mereka terpaksa membatalkannya kerana Diana perlu segera ke Johor Bahru. Mereka meminta maaf dan kami dijemput oleh orang-orang Diana untuk berjumpa dengannya di Hotel Sri Malaysia Johor Bahru. Aku mengeluh. Daniel cuba menenangkan aku.
"Jangan bila sampai Sri Malaysia nanti dia batalkan sekali lagi. Geramnya!" Kataku
"Jangan putus asa Marina. Semakin banyak cabaran, semakin banyak yang kita belajar."
"Dan diharapkan, ada banyak bahan yang boleh kita dapat dari dia..."
"Dan banyak juga Hey yang terjual nanti."
Aku dan Daniel ketawa kecil. Dua jurugambar yang mengikut kami tertidur di dalam kereta. Membosankan. Melalui Tambak Johor yang sesak bukanlah satu perkara yang menyeronokkan.
Kereta yang kami naiki tiba di Sri Malaysia. Di lobi, pembantu Diana sedang menunggu.
"Hi! Saya Aaron," dia memperkenalkan dirinya. "Mari ikut saya, Diana sedang menunggu anda di bilik hotel. Oh, ya. hanya dua orang sahaja yang dibenarkan masuk ke bilik ya."
Aku memandang Daniel dan dua jurukamera yang mengikuti kami.
"Bagaimana Daniel?"
"Awak dan Rushdee. Bagaimana? Boleh?"
Kami hanya mengangguk. Kami mengikut Aaron menuju ke bilik Diana. Entah kenapa, aku berasa berdebar-debar untuk berjumpa dengan Diana. Aku tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengannya.
"Semasa temu bual nanti. Jangan menggelabah. Just see her as your sister. She respects that," Aaron berpesan kepada aku.
Aku melangkah masuk ke bilik hotel tempat Diana menginap.
"Hello!" ucap Diana. Dia sedang terbaring di atas katil sambil memicit-micit telefon Blackberrynya.
"Hello!" Aku membalas sambil tersenyum. aku menghulurkan tanganku untuk bersalam.
"Tolong tarik saya... Penat betul. Bangun pun tidak larat..." katanya sejurus sahaja menyambut tangan yang aku hulur. Tanpa banyak soal. Aku menarik tangan Diana dan dia bangun dengan perlahan. Pembantunya Aaron ketika itu berada di bilik mandi.
Diana menjemput aku duduk di atas sofa. Aku dapat menghidu wangiannya yang menikam itu. Dia memakai scallop-detailed dress berwarna merah jambu. Amat berbeza sekali imejnya dari apa yang aku lihat sebelum ini di internet. Dia nampak sangat feminin malam itu.
YOU ARE READING
Sfera
General FictionJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!