"Kau bawa aku ke hari sukan Tia?" kataku sebaik sahaja kereta yang dipandu Tia menyusur masuk ke dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara. Pada pintu pagar sekolah yang pernah menjadi tempat kami menuntut satu ketika dahulu itu, tergantung satu kain rentang yang tertulis 'Temasya Sukan Sekolah 2011'.
"Ha... Mesti kau seronok bukan? Ini pasti menjadi satu eskapisme untuk kau," kata Tia yang menjadi salah seorang tenaga pengajar di situ.
"Eskapisme?" tanyaku hairan.
"Ya. Kau pun sejak pulang ke JB asyik terperuk di rumah sahaja. Sebab itu aku bawa kau ke sini."
"Tetapi aku masih tidak faham kenapa kau panggil ini eskapisme."
"Kau lihat sahajalah nanti Marina"
"Ada-ada sahajalah Cikgu Tia ini. Kau ada melatih mana-mana rumah sukan tahun ini?"
"Aku?" tanya Tia sambil ketawa kecil. "Kau ini Marina. Macam baru kenal aku semalam. Aku jadi Biro Hadiah dan Cenderamata sahaja kali ini."
"Sukalah kau dapat buat kerja ini bukan?"
"Mestilah! Kau pun tahu aku ini macam mana bukan? Aku bukan suka sangat berpanas... berhujan..." terang Tia kepadaku. Semasa di sekolah dahulu pun, aku dan Tia tidak pernah menyertai apa-apa acara di sekolah. Tetapi, kalau hari sukan, muka kami berdualah yang sibuk menyelit. Ketika acara sukan sedang berlangsung, wajah kami pasti ada. Wartawan sekolahlah katakan. Kami berdua sebenarnya ahli kelab sidang redaksi sewaktu di sekolah dahulu. Jadi, setiap acara atau program yang akan diadakan di sekolah, kami pasti akan diundang. Setiap bulan, kami akan terbitkan risalah setebal tiga puluh muka surat yang berharga RM 1.50 setiap satu.
Aku memang kurang bersetuju dengan eskapisme yang dicadangkan oleh Tia itu pada mulanya kerana aku tidak tahu bagaimana datang menyaksikan acara sukan boleh membantu melegakan kepalaku dari mengingati perkara-perkara yang menghantuiku pada ketika itu. Akan tetapi, selepas lebih dua jam berada di situ, aku mula bersetuju dengan Tia kerana berada di situ memang satu eskapisme. Dan jika aku pun turut serta dalam mana-mana acara, aku pasti boleh 'melarikan diri' dengan lebih jauh lagi. Selain menyaksikan acara-acara yang berlangsung, aku mengambil kesempatan yang ada untuk berbual pendek dengan guru-guru yang masih lagi mengajar di situ.
Buat seketika, aku membenarkan diri dan fikiranku melayang jauh ke tempat-tempat yang sebelumnya aku rasakan tidak perlu untuk aku jejaki dan kenangi untuk satu jangka masa yang agak lama.
"Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Ally dengan 'menjengah sebentar ke masa silam'," fikirku sendirian.
"Setiap orang ada masa silam," kata Ally semasa kami berbual di Dr Love.
"Tetapi aku kalau boleh, tidak mahu hidup dalam masa silam Ally..."
"Aku bukan suruh kau hidup di dalam zaman silam. Aku suruh kau menjengah kembali ke zaman silam kau."
"Susah hendak buat sebenarnya Ally."
"Memang. Memang susah. Bukan kau sahaja. Malah semua orang merasakan begitu. Terutama sekali sesuatu yang kita mahu lupakan. Sebenarnya bagi aku, bukanlah sesukar mana. Cuma, kita takut untuk merasai kembali apa yang pernah kita rasa dan lalui dahulu. Tetapi aku rasa adalah penting untuk kau melakukannya terutama sekali di saat-saat sukar seperti ini."
Aku berfikir sejenak. Kata-kata Ally ada benarnya. Aku sememangnya jarang sekali ingin melihat ke belakang. Bukan kerana aku kesuntukan masa atau pun banyak yang perlu difikirkan. Aku sememangnya enggan.
YOU ARE READING
Sfera
General FictionJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!