Selepas apa yang terjadi di Nona Silk, aku mula memikirkan langkah yang perlu aku ambil seterusnya. Memikirkan tentang baki akaunku di bank yang semakin berkurangan, aku segera melayari internet mencari pekerjaan yang sesuai denganku. Namun tidak seperti sebelumnya, aku lebih berhati-hati dalam memilih.
Pada suatu malam, aku menghabiskan masa di Dr Love dengan melayari internet. Di situ, aku menghabiskan hampir tujuh puluh peratus masaku dengan meneliti iklan-iklan jawatan kosong yang disiarkan di internet.
Aku mencatat satu persatu jawatan-jawatan yang telah aku pohon secara atas talian.
Banyak juga kerja yang telah aku pohon. Tetapi masih belum ada respons yang aku terima dari mereka.
Jam ketika itu menunjukkan pukul sembilan malam. Urusanku sebenarnya sudah selesai. Akan tetapi, aku tidak mahu meninggalkan Dr Love kerana tiada apa-apa yang boleh dilakukan di rumah. Gina awal-awal lagi memberitahuku yang dia akan keluar dengan teman lelakinya Hani. Aku tidak mahu mengganggu Norman kerana dia mungkin sedang asyik duduk berborak dengan kawan-kawannya. "Well... your romance cannot defeat their bromance" itulah yang sering dikatakan oleh Gina setiap kali aku mengadu tentang Norman yang selalu menghabiskan masa dengan rakan-rakan lelakinya. Aku mula bermain-main dengan kamus-kamus yang aku instal pada komputerku. Sesuatu yang selalu aku lakukan untuk sekian lamanya. Setelah bermain-main untuk beberapa ketika, hatiku tergerak untuk mencari perkataan 'karier'. Setelah lebih dari dua dekat berada di dunia ini, aku banyak mendengar kata-kata orang berkenaan dengan karier. Namun aku belum pernah menyemak maksudnya secara formal kerana pengertianku berkenaan dengan karier adalah 'kerja'. Setelah menyemak beberapa buah kamus dan laman web, aku mencatat beberapa maksud yang menarik perhatianku.
Menurut kamus Cambridge, career bermaksud the job or series of jobs that you do during your working life, especially if you continue to get better jobs and earn more money :
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pula 'karier' membawa maksud 'kerja atau profesion yang menjadi kegiatan berpanjangan seseorang dalam hidup seseorang'. Definisi kedua pula ialah 'kerjaya'.
Bagi Barbara Walters pula "A job is not a career. I think I started out with a job. It turned into a career and changed my life"
Daripada majalah America di bawah tajuk Imitation of Life yang memberi fokus kepada penerbit, penulis lirik dan penyanyi, Mariah Carey. Ini pula maksud yang diberikan.
ca•reer n
1. A job or occupation regarded as a long-term or lifelong activity
2. Somebody's progress in a chosen profession or during that person's working life
3. The general path or progress taken by somebody or something
"Main dengan kamus lagi Marina?" tanya Ally yang sedang ke hulur ke hilir menghantar minuman kepada pelanggan yang datang. Aku hanya tersenyum.
Terlalu banyak maksud yang berkaitan dengan karier membuatkan aku berfikir definisi mana yang perlu aku ikut? Namun, hati kecilku berkata, adakah perlu untuk aku kisah dengan definisi orang lain mengenai karier? Jawapannya tidak! Aku ada definisiku yang tersendiri mengenai karier. Bagiku, apa-apa pekerjaan pun yang kita lakukan adalah karier!
Label sebenarnya cukup kuat dalam dunia kita hari ini. Sebab itu aku rasa adalah penting untuk kita menghormati pendapat masing-masing tentang apa itu karier sebab kita semua berdepan dengan realiti yang berbeza.
Bercakap tentang realiti, agak susah untuk tidak mengaitkannya dengan pendedahan yang kita dapat di sekolah. Media pun memainkan peranan yang sama tentang kerja yang 'okey' dan yang 'tidak okey'. Aku masih ingat lagi drama-drama Melayu era sembilan puluhan yang mana sebahagian besar orang-orang yang dikatakan 'berjaya' bekerja di pejabat syarikat-syarikat multinasional. Oh ya! Tidak dilupa, pakaian formal dan bertali leher bagi lelaki dan yang perempuannya pula bergaya dengan baju-baju berjenama. Walaupun sukar untuk diakui, itu adalah imej dan istilah 'berjaya' yang masih dipegang oleh sesetengah orang sehingga ke hari ini.
Nasihat mengenai belajar pandai-pandai supaya mendapat kerja yang baik masih digunakan sehingga ke hari ini. Satu nasihat yang baik tetapi perlu diingat zaman telah berubah dan nasihat itu perlukan sedikit renovasi.
Kadangkala aku berasa kecewa kerana ramai yang masih terperangkap dalam imej-imej palsu berkenaan dengan kerjaya itu. Hidup dalam fantasi yang disangkakan satu kenyataan yang boleh diterima semua kerana bagiku, walau apapun yang ingin dilakukan kita perlu lakukannya dengan ikhlas. Lakukan dengan penuh keghairahan! Sebab dengan keghairahan, kita akan kurang merungut tentang kerja walau apa pun yang berlaku berbanding dengan kerja yang dilakukan tanpa keghairahan.
"Diane!!!" kata Ally sebaik sahaja kelibat seorang wanita berkebaya melangkah masuk ke Dr Love. Wanita itu nampak sungguh cantik sekali. Aku tidak menyangka yang dia akan datang ke Dr Love hari itu. Nama wanita itu adalah Diane. Dia adalah senior kami sewaktu aku, Gina dan Ally berada di kolej dahulu.
"Marina ada di sini rupanya," setelah berbual pendek dengan Ally, Diane menyedari keberadaanku di situ dan datang mendekatiku. Seperti biasa kami berpelukan. Wow! Bau Diane sangat wangi. Lebih wangi dari apa yang pernah aku bau ketika di kolej dahulu.
"Cantik awak hari ini Diane," aku memuji.
"Terima kasih. Saya baru balik dari kenduri," kata Diane sambil tersenyum.
"Siapa kahwin? Awak?" aku mengusiknya.
"Kalau saya yang kahwin saya tidak akan berada di sini malam ini," jawab Diane. Dia kemudiannya tergelak besar.
"Betul juga kata awak ya. Jadi siapa yang kahwin Diane?"
"Sepupu kawan saya yang kahwin"
"Oh begitu. Jadi bagaimana dengan Star Hub Diane?" aku bertanya mengenai tempat kerja baru Diane. Sebelumnya dia bekerja di Telekom Malaysia.
"Semuanya baik. Tetapi macam biasalah. Tempat baru. Ambil masa juga untuk sesuaikan diri. Oh ya. Saya dengar awak sudah tidak lagi bekerja di Nona Silk. Betulkah?"
Aku mengangguk. Mengakui kebenaran cerita yang didengarnya. Untuk beberapa hari, aku terpaksa melakukan satu rutin yang sama iaitu menceritakan apa yang berlaku di Nona Silk dari mula sehinggalah akhir.
"Dahsyat! Jadi betullah apa yang mereka tulis di dalam blog-blog itu ya Marina?"
"Ya. Segala-galanya benar belaka."
"Jadi awak sedang mencari kerjalah sekarang ini ya?" tanya Diane.
"Ya. Awak tahu mana-mana tempat yang ada kerja kosong? Star Hub mungkin?"
"Buat masa ini Star Hub tidak ada kekosongan. Yang ada pun di Singapura. Tetapi saya ada satu cadangan untuk awak."
"Cadangan apa?"
Diane mengeluarkan sekeping kad dari dalam dompetnya dan memberikannya kepadaku.
"Ini kad yang diberi oleh kawan saya tempoh hari."
"TNS Research International?"
"Ya. Dia bekerja di sini sebelum Star Hub," terang Diane.
"Sebagai apa?"
"Penemuramah."
'Penemuramah?' aku mula membayangkan kerja menemuramah yang biasa aku lihat di televisyen. Belum sempat aku bertanya dengan lebih lanjut, dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan menghubungi seseorang.
"Sebentar ya. Saya hubungi Mary"
'Siapa pula Mary?' Diane selalu menyangka yang orang-orang di sekelilingnya mengenali kawan-kawannya yang lain.
"Okey. Awak ada apa-apa hal esok?"tanya Diane kepadaku setelah dia menamatkan perbualannya dengan Mary.
"Siang atau malam?" di dalam fikiranku, aku mengingati temujanjiku dengan Norman pada pukul lapan malam esoknya.
"Siang."
"Tidak ada," jawabku. Segera aku menggelengkan kepala.
"Baiklah Marina. Bagus! Kalau begitu, awak ikut saya ke Multipurpose Building esok. Saya bawa awak ke TNS Research International!"
YOU ARE READING
Sfera
General FictionJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!