"Animax Carnival is returning to Malaysia for the second time after last year's overwhelming response and a successful turnout of approximately 6,000 over two days. This year, the event will be making a bigger and better return but this time at Sunway Pyramid's Blue Concourse happening from 16 to 17 March."
Miss R telah mengulang-ulang siaran akhbar yang tertulis dalam blog wordpress Cosplayfun selama lebih kurang lima belas minit sejak kami tiba di pusat membeli-belah Sunway Pyramid. Pada mulanya, aku membiarkan sahaja kerenah Miss R itu. Aku beranggapan yang dia mungkin kebosanan kerana terpaksa menemani aku membetulkan solekanku. Tetapi lama kelamaan, gelagatnya semakin menjadi-jadi apabila dia mempelbagaikan cara penerangannya. Walaupun aku terhibur akan sedapnya lenggok suara Miss R itu, aku terpaksa menghentikannya apabila beberapa orang yang berada di sekeliling kami mula memerhatikannya.
"Miss R, kenapa kau asyik baca press release itu dari tadi?" Tegurku sambil menyimpan bekas bedak asas yang aku bawa ke dalam tas tangan.
"Marina, aku tahu kau rasa ini semua agak menjengkelkan. Tetapi aku rasa aku patut ubah karier aku. Aku patut cuba jadi pengacara TV!" Kata Miss R dengan penuh semangat.
'Hmmmm... Mengapa pula tiba-tiba dia jadi begini?' Kataku di dalam hati.
"Oh ya? Kau fikir kau boleh lakukannya?" Tanyaku selamba. Tanpa memandang wajahnya, aku tercari-cari pelembap bibir yang aku letakkan di dalam tas tangan.
"Kau ini memang tidak supportive-lah Marina!" Kata Miss R sambil memuncungkan bibirnya. Tiba-tiba sahaja dia menjadi sensitif seperti budak kecil.
"Eh, bila masa pula aku tidak supportive? Aku cuma tanya kau sama ada kau yakin dengan bakat kau atau tidak? Kau rasa kau boleh buat?" Kataku dengan perlahan dan penuh hati-hati. Mungkin cara aku bertanya sebelum itu kedengaran agak kritikal dan mengelirukan.
"Aku rasa aku boleh. Cuma..." Miss R teragak-agak, seperti ada sesuatu yang merunsingkannya.
"Aku pun sebenarnya rasa kau boleh. Cuma apa Miss R?"
"Kau tengoklah badan aku Marina. Kecil. Pendek pula. Aku rasa aku tidak sesuailah untuk televisyen"
Aku terkejut mendengar kata-kata Miss R. Aku hairan bagaimana agaknya kata-kata itu boleh keluar dari mulut orang yang bekerja untuk majalah sepertinya.
"Aku rasa itu bukanlah satu masalah yang besar Miss R."
"Aku tidak nampak terlalu kecilkah di dalam televisyen nanti?"
"Mana ada. Aku rasa kau badan kau okey sahaja. Berapa pula tinggi kau?"
"Lima kaki sahaja..."
Aku ketawa mendengar jawapan Miss R. Bukan kerana ketinggiannya yang tidak mencapai taraf model, tetapi kerana kenaifannya.
"Marina. Kau ketawakan aku ya? Okeylah aku tahu. Aku memang tidak sesuai untuk televisyen!" Sekali lagi Miss R memuncungkan bibirnya.
"Bukan sebab itu. Aku ketawa sebab kau terlalu naif. Tinggi kau sebenarnya lebih kurang sama dengan Eva Longoria, Vanessa Hudgens dan Kim Kardashian kau tahu..."
"Betul?" Tanya Miss R bagaikan tidak percaya.
"Betul. Aku rasa di dalam televisyen, semua orang akan nampak besar sedikit dari saiz sebenar. Kau jangan takut. Aku akan sokong kau.." kataku kepada Miss R. Ketika itu, aku berharap agar dia tidak mengesahkan maklumat yang aku beri itu melalui Google kerana ketiga-tiga selebriti yang aku sebutkan itu sebenarnya tinggi sedikit beberapa inci daripadanya.
YOU ARE READING
Sfera
General FictionJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!