''Fuh! Penat betul hari ini. Tidak sabar rasanya hendak merebahkan diri ke katil,'' kataku kepada Daniel ketika kami sedang jalan beriringan dari bilik pejabat Daniel menuju ke lif.
''Perut saya ini pula sudah berkeroncong sedari tadi. Kesian dia..." kata Daniel sambil mengusap-usap perutnya.
Hampir sepanjang hari, kami menghabiskan masa pada hari itu untuk berjumpa dengan beberapa penaja berkenaan dengan konsep iklan yang akan dimuatkan di dalam Hey.
Bercakap tentang iklan mengingatkan aku kembali akan apa yang pernah aku tulis untuk laman web sekolah berkenaan dengan sisi gelap iklan. Ketika itu, aku menulis tentang pengaruh negatif iklan dan impaknya kepada dunia.
''Dan kini awak bekerja dengan syarikat yang mana sebahagian besar pendapatannya bergantung kepada iklan,'' kata Daniel tertawa dengan ceritaku.
''Ya. Sungguh ironis bukan?''
"Marina. Apa kata kalau kita pergi makan?"
"Boleh juga. Awak hendak makan di mana?"
"Kita pergi ke Asia Cafe?"
"Hmm. Cadangan yang baik. Lama juga saya tidak ke sana."
"Okey. Jom kita pergi!" Kata Daniel. Begitu bersemangat sekali untuk mengisi perutnya yang kosong.
Sampai sahaja di sana, kami berterusan bercakap tentang kriteria iklan yang akan dimuatkan di dalam Hey sambil menikmati makan malam kami.
''Sebelum ini, sejujurnya saya tidak pernah tahu awak mempunyai prinsip tentang iklan yang dipilih untuk dimuatkan di dalam Hey.''
''Sekarang awak sudah tahu bukan?''
"Ya," aku mengangguk.
"Tetapi kenapa ya? Ramai yang terkejut apabila saya katakan tentang prinsip saya ini. Mereka fikir saya akan bersetuju sahaja untuk segala jenis iklan dimasukkan ke dalam Hey."
"Mungkin awak nampak seperti seorang mata duitan."
"Apa? Mata duitan? Saya?" Ranya Daniel. Dia tidak menyangka itu yang akan keluar dari mulutku. Namun, tetap tertawa kerana baginya itu satu gelaran lucu yang pernah diberikan kepadanya.
"Janganlah serius sangat. Saya bergurau sahaja. Jadi Daniel, beritahu saya, kenapa awak tetapkan peraturan sebegitu untuk iklan-iklan yang dimuatkan di dalam Hey?"
''Iklan hanya agen untuk memberitahu. Itu tugasnya dan itulah yang saya mahukan di dalam Hey dan satu kenyataan yang perlu kita tahu adalah, kita tidak akan jadi seperti pelakon iklan walaupun kita menggunakan produk yang sama. Lagi pun Marina, saya tidak mahu pembaca Hey terperangkap dan fikir mereka perlukan sesuatu yang sebenarnya tidak diperlukan apabila mereka membaca iklan yang kita muatkan,'' terang Daniel kepadaku.
''Tetapi, katakanlah satu hari nanti ada wartawan yang menanyakan hal ini kepada awak. Apa yang awak akan jawab? Saya tidak fikir jawapan tadi 'cool' terutama sekali bagi mereka yang bersikap sinis.''
''Dalam perkara ini, saya pilih untuk jadi nerda dan menjawabnya dengan ringkas. Saya akan cakap yang ini adalah satu tanggungjawab sosial saya kepada pembaca Hey.''
"Dan saya tidak dapat bayangkan riak muka awak bila awak jawab soalan itu," kataku sambil tertawa.
"Tetapi percayalah. Mereka tidak akan tanya. Tiada siapa pun yang kisah tentang iklan-iklan yang tersiar. Apatah lagi menganalisanya," kata Daniel dengan yakin.

YOU ARE READING
Sfera
General FictionJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!