Bab 32: Diana Sinclair

8 0 0
                                    

          Selepas berbincang dengan Daniel tentang Diana Sinclair, aku tidak dapat melelapkan mataku malam itu. Kemungkinan untuk bertemu dengan Diana amat mengujakanku. Daniel mengatakan yang dia ingin cuba mencari cara agar Hey bukan sahaja dapat memuatkan Diana, malah menemuramahnya! Oh! Itu adalah sesuatu yang tidak pernah aku duga. Diana! Oh Diana!

         Diana Sinclair atau nama sebenarnya Diana Sukri dilahirkan pada 1 Ogos 1980 di Kota Tinggi Johor. Dia merupakan seorang aktivis, pelukis, penerbit dan walaupun ini jarang diperkatakan, ramai pemerhati mengatakan di sebalik imej artistiknya dia sebenarnya seorang kapitalis. Dia berkahwin dengan Mirza Adam Sinclair pada tahun 2004. Ketika itu, dia berumur 24 tahun. Namun, perkahwinan itu hanya bertahan selama empat tahun. Tanggal pada 3 Jun 2009, mereka berpisah.

          Penerbitan novel grafik berjudul Taman Rahsia yang terjual lebih dari lapan juta unit di seluruh dunia telah membuatkan namanya terpapar hampir setiap hari di dada-dada akhbar dan internet. Kandungan novel grafik trilogi itu dikritik ramai pihak kerana keterbukaannya bercakap mengenai keganasan, seks, jenayah, agama dan politik. Novel itu diterbitkan oleh syarikat penerbitan miliknya, Babylon Cat Inc yang ditubuhkan pada 2006. Syarikat penerbitan itu bertapak di Los Angeles. Penerbitan buku itu mendapat tentangan hebat di Asia Tenggara kerana kandungan buku mengenai fantasinya itu melibatkan nama-nama besar yang terdiri dari ahli politik, perniagaan, hiburan dan beberapa tokoh terkenal di Asia Tenggara.

          Kehidupan peribadinya juga menjadi bualan ramai. Bekas suaminya, Mirza Adam Sinclair, merupakan seorang pelabur hartanah yang terkenal di Eropah. Selepas bercerai, dia mula dikaitkan dengan beberapa orang atlit di Amerika. Penulis-penulis blog dan tabloid mula menulis mengenainya. Ada sumber mengatakan yang Diana juga kerap bertemu dengan beberapa ketua gangster di New York dan Miami. Sejauh mana kebenaran cerita itu masih belum dapat dipastikan.

          Dia datang ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan buku dan filem terbarunya yang bertajuk S.O.S. Walaupun begitu, penangan Taman Rahsia masih lagi terasa. Kontrovesi telah melanda novel grafik itu sebelum dikeluarkan lagi.

          Seperti namanya, Taman Rahsia dihasilkan dalam keadaan yang penuh rahsia. Sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung atau tidak dalam penghasilan buku ini diarahkan untuk menandatangani surat perjanjian dan dilarang keras untuk memberi komen mengenainya.

          Walaupun penghasilan buku itu dikawal dengan ketat, beberapa kandungan telah berjaya lolos akibat digodam. Seorang lelaki dari San Francisco dikatakan cuba untuk menjual lakaran-lakaran itu kepada sebuah syarikat penerbitan di Singapura. Menurut satu sumber yang boleh dipercayai, lelaki itu menghubungi syarikat itu dan meminta USD$20,000 minimum untuk mendedahkannya.

          Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Diana, wakil dari Babylon Cats Inc menghubungi syarikat itu dengan segera dan mengugut untuk mengambil tindakan tegas sekiranya mereka menerbitkannya atau dalam senyap-senyap menyerahkan kandungan itu kepada pihak lain. Walaupun hairan bagaimana Diana dapat menghidu tentang lelaki dari San Fransisco itu, mereka, tanpa banyak soal terpaksa akur dengan desakan Diana. Jika amaran itu bukannya datang dari Diana Sinclair, aku yakin, syarikat itu tidak akan mengakuinya dan kemudian menyiarkannya di dalam penerbitan mereka. Atau pun, mereka akan menjualnya kepada majalah lain sebagai satu cara untuk cuci tangan. Akan tetapi apabila amaran itu datang dari seorang wanita yang mengepalai konglomerat kucing bertaring seperti Babylon Cats, mereka terpaksa tunduk. Sebelum itu pun beberapa majalah telah pun menerima akibat yang buruk kerana kedegilan mereka menyiarkan sesuatu berkaitan dengan Diana dan Babylon Cats Inc walaupun amaran telah diberi awal-awal lagi. Walaupun begitu mereka diberi keizinan untuk menulis dan menyiarkan mengenai apa yang berlaku di dalam penerbitan mereka dan oleh kerana itu dapat membantu menaikkan jualan Taman Rahsia, Babylon Cat membenarkannya.

          Diana dan Babylon Cats berasa bimbang. Sekiranya tidak ditangkap, lelaki tersebut pasti akan menjualnya dengan cara apa sekalipun. Proses penerbitan buku itu terpaksa dihentikan buat seketika. Hasil bantuan pakar dan siasatan pihak polis, lelaki itu berjaya dikesan dan Diana mencadangkan satu helah untuk memberkas lelaki itu.

          Diana awal-awal lagi telah menghantar notis kepada semua syarikat penerbitan di Asia tentang lelaki dari San Fransisco itu bagi membantu menangkap lelaki itu. Dia akhirnya berjaya dijejak apabila datang ke sebuah syarikat penerbitan di Jakarta untuk mahu menjual lakaran itu kepada mereka. Lelaki itu gagal diberkas di Jakarta kerana beberapa jam selepas dia melangkah keluar dari syarikat itu, dia telah pun terbang ke Amerika. Diana dan Babylon Cats segera menghubungi FBI untuk mengesan lelaki itu dengan menggunakan cap jari yang ditinggalkan lelaki itu pada sebuah pasu yang dipegangnya ketika datang ke syarikat itu. "Dia gemarkan pokok kaktus," lapor salah seorang pegawai FBI.

          Syarikat penerbitan dari Jakarta itu menghubungi lelaki terbabit dan bersetuju untuk membeli lakaran itu. Pada masa dia dihubungi, dia telah pun kembali ke San Fransisco. Lelaki itu kemudiannya diarah untuk terbang ke Los Angeles dan menyerahkan lakaran itu kepada seorang warga Indonesia yang menyamar sebagai editor.

          Pegawai FBI di Los Angeles dan juga tiga orang wartawan dari Amerika, Malaysia dan Singapura bersama-sama dengan Yasmine Chumin, seorang perunding keselamatan peribadi di Hollywood yang diupah oleh Diana menunggu lelaki yang dikatakan mencuri gambar-gambar itu bersama-sama dengan warga Indonesia itu.

          Shidee Lee akhirnya ditangkap apabila dia dan 'editor' itu berjumpa di salah sebuah Cafe di Los Angeles.

          Pada masa yang sama, salinan gambar-gambar itu dikatakan telah tersebar di serata Kuala Lumpur. Namun, hasil bantuan PDRM, salinan gambar-gambar itu berjaya dihapuskan.

          Karya-karya Diana sebelum ini dianggarkan telah terjual sebanyak 10 juta unit di seluruh dunia. Dengan penerbitan Secret Garden, dia berjaya menarik perhatian dunia dan menjadikannya satu pelancaran terbesar di peringkat antarabangsa. Pada minggu novel grafik itu dilancarkan, 500,000 unit bukunya dijual serentak di Amerika, Eropah, Jepun, Singapura, Malaysia dan Australia.

SferaWhere stories live. Discover now