Setiap orang pasti akan menghadapi detik-detik di mana dia perlu menghadapi permulaan baru dalam hidupnya. Menghadapi detik-detik itu semestinya sesuatu yang sukar. Membiasakan diri dengan sesuatu yang baru sememangnya mengambil masa. Begitu juga dengan perubahan yang aku hadapi. Bukan senang untuk aku menyesuaikan diri dengan segala-galanya yang serba-serbi baru. Apabila menghadapi saat-saat ini, kadang-kadang, aku berasa putus asa dan letih dengan kehidupan. Kadang-kadang, aku tertanya-tanya kenapa aku harus lakukan semua ini? Kenapa mesti bekerja? Kenapa perlu beli itu dan ini? Apa tujuannya? Ke manakah hala tujunya semua ini?
Aku pasti ada jawapan tersendiri untuk soalan-soalan ini dan aku juga tahu sekiranya aku berasa takut akan sesuatu tanpa sebab yang munasabah, itu bermakna aku perlu tangani rasa itu dan cuba untuk melakukannya.
"Apa yang kau takutkan sebenarnya?" Tanya Ally. Ketika itu, aku dan Gina sedang bersarapan di Dr Love.
"Banyak yang aku takutkan. Berdepan dengan senior, tugas-tugas baru dan macam-macam lagi."
"Biasalah. Itu perasaan biasa bagi orang baru. Lama-lama nanti, kau biasalah."
"Satu lagi, aku takut kalau mereka harapkan sesuatu yang besar daripada aku."
"Maksud kau, kau takut kalau mereka mahukan yang terbaik dari kau?"
"Ya."
"Mengapa kau perlu rasa takut?"
"Entahlah. Aku resah memikirkan tentang semua ini."
Namun, semua itu tidak menghalang aku untuk berkata 'ya' apabila aku ditawarkan untuk bekerja di Hey.
Chan yang memanggil aku datang ke temuduga telah menghubungiku semula dan memberitahu khabar gembira berkenaan dengan temuduga itu kepadaku. Aku dikehendaki datang melaporkan diri pada hari Selasa berikutnya dengan berpakaian kasual kemas.
*****
Tepat pada hari dan masa yang dijanjikan, aku datang ke Terry Lee Publication. Dengan semangat yang berkobar, aku bangun seawal pukul lima setengah pagi untuk bersiap. Pada hari itu, aku mengenakan baju merah pekat yang aku beli khas untuk dipakai pada hari pertama aku di Hey. Setibanya aku di sana, aku bertemu dengan Chan. Selepas menandatangani beberapa dokumen penting dan diberi serba sedikit penerangan tentang protokol, cuti tahunan, cuti sakit, gaji, pantri, bilik rehat dan bermacam-macam lagi perkara yang berkaitan dengan Hey dan Terry Lee Publication, aku dibawa oleh Chan ke bahagian editorial Hey atau pun menurut Chan, boleh sahaja dipanggil sebagai 'Editorial'. Di situ, Chan memperkenalkan aku kepada semua yang bekerja di Editorial seperti Rushdee, Teresa dan Dee. Menurut Chan, ketiga-tiga mereka iaitu Rushdee, Teresa dan Dee adalah antara orang-orang yang penting di Hey. Mereka amat berbakat dan idea mereka sentiasa didengari oleh ketua editor dan pihak operasi Terry Lee. Aku juga dibawa berjumpa dengan Carmen dan Susan yang menemudugaku tempoh hari. Ketika bersemuka, mereka nampak gembira apabila dapat bertemu denganku. Mereka mengucapkan selamat dan berharap agar aku akan gembira sepanjang berada di Hey.
Selepas segala-galanya selesai, aku dibawa ke tempat di mana aku akan menghabiskan kebanyakan masaku iaitu meja tempat aku bekerja yang terletak bersebelahan dengan tempat masuk ke Editorial. Ketika itu, aku terfikir, selain dari menjadi kerani, aku juga pasti akan menjadi penyambut tetamu untuk bahagian Editorial secara tidak rasmi. Meja yang diberikan kepadaku adalah sebuah meja bersaiz sederhana yang masih berbalut dengan kertas berwarna hitam. Terdapat beberapa pelekat Emily The Strange yang masih belum ditanggalkan dan gambar-gambar kucing hitam yang amat menyeramkan. Ingin sahaja aku bertanya siapakah agaknya yang duduk di meja itu dahulu. Namun, aku diamkan sahaja hasratku memandangkan itu adalah hari pertamaku dan aku tidak mahu dilabel sebagai orang yang banyak kerenah.
YOU ARE READING
Sfera
Fiksi UmumJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!