Bab 4: Sekali lagi. Tulis atau Tidak?

37 1 0
                                    

          Pada keesokan harinya, Zara mengadakan satu mesyuarat tergempar. Tujuannya adalah untuk membincangkan mengenai apa yang berlaku pada Norah dan publisiti yang dirancang oleh La Nona. Sebelum masuk ke bilik mesyuarat, aku sempat berbual dengan beberapa orang rakan sekerja mengenai Norah yang menjerit seperti orang patah hati semasa temubual itu. Menurut mereka, ketika temubual itu, Norah telah menerima gambar-gambar aksi panas tunangnya bersama dengan perempuan lain. Namun begitu, tiada siapa pun yang dapat mengagak siapakah dalang di sebalik kejadian itu.

          "Kau rasa siapa agaknya yang hantar gambar-gambar itu kepada Norah?" aku menanyakan pendapat Shazlin.

          "Entahlah Marina. Aku pun tidak dapat mengagak."

          "Yang peliknya, si pengirim sengaja menghantar gambar-gambar itu semasa Norah ditemuramah. Dia seperti sengaja mahu mensabotaj kita. Kau rasa siapa agaknya ya?"

          "Mungkin musuh..." jawab Shazlin ringkas.

          "Musuh siapa?" tanyaku kepada Shazlin. Namun, soalanku itu tidak berjawab. Kami menghentikan perbualan kami apabila Zara memasuki bilik mesyuarat. Begitu juga dengan yang lain. Keadaan menjadi sunyi sepi serta merta sebaik sahaja Zara melangkahkan kaki. Semua mata tertumpu ke arahnya.

          "Saya tidak percaya ini boleh berlaku," Zara memulakan bicara. "Ini adalah perkara paling buruk yang pernah berlaku kepada La Nona. Kita kurang persiapan, sokongan dan strategi."

          'Kurang persiapan, sokongan dan strategi?' Adakah dia benar-benar maksudkan apa yang dia katakan? Atau pun dia hanya menganggap mesyuarat itu seperti satu sidang media. Sekiranya dia tidak menggantikan Shazlin dengan Norah di saat akhir, sudah pasti publisiti La Nona tidak akan terganggu. Semua yang hadir ke mesyuarat mendengar kata-kata Zara dengan khusyuk. Selepas bercakap untuk beberapa minit, Zara mengalihkan perhatiannya kepada Shazlin.

          "Kepada semua yang hadir, saya ingin memberitahu kepada semua bahawa dialah dalang yang merosakkan segala apa yang kita rancang selama ini. Bukan begitu Shazlin?" soal Zara. Ketika itu dia nampaknya benar-benar menyoal. Ini adalah satu soalan, bukannya arahan.

          ''Puan Zara, apa yang puan cakapkan ini?''

          "Awak yang merancang semua ini. Awaklah yang menghantar gambar-gambar itu kepada Norah sewaktu pengambaran itu. Awak memang berniat untuk menghancurkan saya dan La Nona."

          "Puan Zara. Bagaimana puan boleh menuduh Shazlin? Tidak mungkin dia yang melakukannya. Tidak mungkin..." aku cuba membela Shazlin.

          "Dia mampu melakukan apa sahaja... lihat ini semua," kata Zara. Dia mengarahkan perhatian kami kepada skrin dan menunjukkan satu persatu gambar Shazlin yang sedang duduk makan bersama-sama dengan Azli dan Diya. Azli dan Diya merupakan musuh ketat Zara. Mereka adalah pemilik rangkaian butik Sahara. Mungkin ada sejarah yang kami tidak tahu. Tetapi mereka sememangnya tidak sebulu dari zaman mereka remaja lagi. Semua orang yang menghadiri mesyuarat mula berbisik, mereka seperti memperkatakan sesuatu.

          "Saya tertanya-tanya, apa sebenarnya yang kamu bincangkan pada ketika itu ya? Apa yang kamu bincangkan satu hari sebelum hari siaran langsung itu dengan mereka Shazlin?"

          "Saya tidak ada apa-apa kaitan dengan semua ini! Gambar -gambar diambil ketika meraikan majlis hari jadi Tuan Mas'od yang kebetulan berlangsung satu hari sebelum temuramah Norah di TV3. Bukankah puan sendiri yang menyuruh saya ke sana? Kebetulan mereka mahu duduk semeja dengan saya, tidak akanlahsaya mahu menghalau mereka pula!"

          "Kebetulan yang dirancang..." kata Zara. Shazlin pergi mendekati Zara. Ketika itu, keberaniannya terserlah.

          "Apa? Puan tidak percaya dengan saya?" tanya Shazlin.

          "Awak sendiri tahu jawapannya bukan?"

          "Maaf, saya tidak dibayar untuk meneka jawapan kepada soalan sebegitu!"kata Shazlin dengan tegas. Dari raut wajahnya, nampak jelas yang dia tidak berpuas hati dengan tuduhan Zara. Zara pula memandang Shazlin dengan pandangan yang tajam. Dia mengambil segelas air yang diletakkan dihadapannya dan menghirupnya perlahan-lahan. Ketika itu, aku fikir yang dia sedang mencari idea untuk membalas semula kata-kata Shazlin. Namun, Zara melakukan sesuatu yang tidak aku duga. Dia berdiri menghadap Shazlin dan menyimbah air di dalam gelas yang dipegangnya itu ke muka Shazlin. Semua orang yang ada di dalam bilik mesyuarat itu terkejut dengan apa yang dilakukan oleh Zara.

          "Puan sudah hilang akal agaknya?!" kata Shazlin.

          Zara dan Shazlin mula bertengkar. Mereka saling tuduh menuduh dan salah menyalah. Aku tahu, semua orang yang berada di luar bilik mesyuarat sedang memasang telinga pada ketika itu. Aku pergi mendapat mereka berdua.

          "Shazlin..." aku cuba memanggil Shazlin yang kelihatan seperti mula dirasuk. Nafasnya turun naik. Caranya memandang Zara nampak seperti dia ingin menelan wanita itu.

          "Waaaaaaa!" jerit Zara. Rambutnya ditarik-tarik Shazlin. Kemudian, Shazlin menampar-nampar pipinya. Kemudian bibir Zara dicubit dan dipiat-piat.

          "Shazlin! Zara! Berhenti!" aku menjerit. Kali ini, Zara pula beraksi. Pipi Shazlin ditumbuknya. Ya, aku ulang sekali lagi. Ditumbuknya!Menyedari yang keadaan boleh menjadi lebih teruk sekiranya aku membiarkan sahaja mereka berdua bergaduh di situ, aku segera memanggil pengawal keselamatan untuk meleraikan pergaduhan itu. Yang lain hanya tercegat memerhatikan hiburan awal pagi itu.

          "Hai Marina! Sudah lama tidak ke Dr Love," Kevin, rakan kongsi Ally di Dr Love menyapaku. Sekaligus membawa aku kembali ke Kafe Dr Love. Setelah habis berbual pendek dengan Kevin, aku sekali lagi melihat skrin dan keyboard. Aku ulanginya berulang-ulang kali. Apa yang tertera pada skrin tidak kosong seperti sebelumnya. Aku tidak menyangka yang aku telah menulis apa yang berlaku tempoh hari dengan lengkap dan terperinci. Berserta dengan dialog dan penerangan terperinci mengenainya. Mungkin perlu diedit sedikit. Persoalannya, patutkah aku menjadikannya sebagai posting baru untuk blogku?

SferaWhere stories live. Discover now