Walaupun aku berasa lega apabila dapat berada di rumah dan berehat untuk satu hari, aku tetap menyambung kerja-kerjaku yang masih belum diselesaikan. Sepanjang hari, aku menghabiskan masa dengan membaca apa yang telah aku lakukan untuk bahagian Reviu dan Santai. Keasyikkanku pada apa yang aku lakukan membawa fikiranku melayang ke Terry Lee. Aku asyik tertanya-tanya apakah agaknya yang berlaku di pejabat pada hari itu. Rasa bersalah timbul apabila memikirkan tentang mereka yang lain. Lalu, aku menelefon Dee yang aku kira sedang bertungkus lumus dengan yang lain. Namun, Dee memberitahu yang dia tidak berada di pejabat. Setelah bertanya lanjut, barulah aku tahu yang Daniel tidak hanya melepaskan aku, malah dia telah menghubungi yang lain dan memberitahu yang mereka tidak perlu hadir ke pejabat pada hari itu. Apa yang aku dengar dari mulut Dee membuatkan aku tertanya-tanya. Tindakan Daniel sedikit sebanyak merisaukan aku. Aku ingin sekali menghubungi Daniel dan bertanyakan kepadanya tentang keadaan sebenar di Terry Lee. Terbayang sosok Daniel yang sedang bersendirian di pejabat. Namun, aku melupakan hasratku itu kerana bagiku, Daniel mungkin telah tersedar yang dia perlu memberikan kami sedikit ruang bagi mengembalikan semula semangat kami yang hampir lumpuh setelah ditekan selama beberapa hari.
Aku cuba bertanya khabar dengan menghantar satu mesej kepada Daniel yang kemudiannya dijawab dengan ringkas.
Saya okey. Kamu semua rehat dahulu untuk hari ini. Esok datang semula.
Aku tidak bertanya lanjut. Aku cuma berharap agar tiada apa-apa yang berlaku kepada Daniel kerana kami memerlukan dia untuk terus mengetuai kami.
Sekembalinya kami ke Terry Lee, Daniel memanggil kami bagi membincangkan strategi terpantas untuk menyelesaikan edisi terbaru Hey yang hanya tinggal beberapa belas hari sahaja lagi sebelum dihantar untuk pencetakan. Terlebih dahulu, dia meminta maaf atas apa yang berlaku. Menurutnya, segala yang berlaku tidak pernah diduga dan dia berasa bertuah kerana kami masih ada untuk menemaninya. Kami hanya mendiamkan diri sambil mengangguk-angguk tanda faham dengan situasi yang berlaku. Daripada apa yang dikatakan oleh Daniel yang tidak secara terus meminta maaf atas perlakuannya tetapi meletakkan segala yang berlaku atas ketentuan takdir, kami tahu, dia menyedari akan kesilapannya dan rehat yang diberi kepada kami adalah satu cara bagi Daniel menzahir permohonan maafnya.
Selepas daripada itu, keadaan di Hey menjadi bertambah baik. Masing-masing nampaknya sudah berjaya mengawal perasaan dan tekad untuk bersatu bagi menjayakan edisi Hey yang terbaru. Dengan ingatan yang kami hanya mempunyai beberapa belas hari sahaja lagi sebelum edisi terbaru itu dihantar untuk dicetak membuatkan kami komited untuk memberikan yang terbaik kepada Hey. Kami cuba untuk memanfaatkan masa yang ada dengan memberikan fokus seratus peratus untuk menyempurnakan edisi Hey yang terbaru.
Setiap hari, kami datang ke pejabat seawal pukul tujuh pagi dan pulang ke rumah sekitar jam sembilan malam untuk melengkapkan bahagian-bahagian paling penting di dalam Hey seperti Reviu dan artikel-artikel yang disumbangkan oleh jurnalis-jurnalis tetap kami setiap bulan. Malah, Rushdee dan Teresa sanggup tidur di pejabat untuk menjimatkan masa mereka agar tidak terbazir di jalan raya. Untuk memeriahkan suasana pejabat dan menurunkan kadar stress yang tidak menentu, kami membawa pelbagai benda masuk ke dalam pejabat seperti aromaterapi, soft toy, gula-gula, coklat, selipar Donald Duck, tikar dan bermacam-macam lagi. Tidak keterlaluan jika aku katakan yang segalanya seperti satu perkhemahan.
Dalam ketika itu, kami telah mendapat berita daripada Chan dan Miss B bahawa bahawa tempoh kuarantin mereka sudah hampir tamat. Aku berasa gembira dan bersyukur kerana tiada apa-apa yang buruk berlaku. Apabila aku sampaikannya kepada Daniel, dia menyuruh mereka untuk kembali pada awal bulan berikutnya supaya mereka benar-benar sembuh sebelum kembali bertugas.
Selepas lima hari bertungkus-lumus, Daniel mengadakan satu mesyuarat bagi tujuan penambahbaikan. Pada saat itu, dia nampak tenang, bicaranya halus dan tersusun. Dalam mesyuarat itu, dia memberitahu kami betapa bangganya dia dengan apa yang telah kami lakukan. Daniel berterima kasih kepada kami dan begitu gembira sekali dengan hasil kerja dan fokus yang kami berikan sepanjang lima hari tersebut. Dia juga menyatakan kekagumannya dengan apa yang kami hasilkan walaupun hanya kami berlima sahaja yang bertungkus lumus cuba menyiapkan edisi Hey pada ketika itu.
YOU ARE READING
Sfera
General FictionJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!