Bab 2: Zara Murad

112 2 0
                                    

          ''Zara adalah bos yang paling 'kejam' di Lembah Klang'' itulah yang sering diperkatakan di laman-laman blog gosip popular di internet.

          Ramai yang bertanya kepadaku sekiranya aku tidak boleh menulis tentang Zara, mengapa aku tidak tulis sahaja berkenaan dengan Shazlin?

          Jawapannya mudah. Sekiranya aku menulis tentang Shazlin, aku pasti perlu menulis tentang Zara. Aku tidak boleh lari dari menulis mengenainya kerana tiada satu hari yang berlalu di La Nona ditempuhi tanpa wajah dan bayangan Zara yang dikatakan sebagai seorang bos yang 'kejam'.

          Akan tetapi, 'kejam' itu adalah sesuatu yang subjektif. Di mataku, Zara tidaklah seteruk seperti mana yang ditulis di laman-laman blog. Secara peribadi, aku berpendapat bahawa dia sebenarnya adalah seorang ketua yang baik. Dia mempunyai etika kerja yang mengagumkan. Pengetahuannya luas di dalam bisnes. Kepintaran dan kecekapannya diakui ramai orang. Cuma, apa yang menjadi masalahnya ialah sikap Zara yang tidak boleh dijangkakan sejak lima tahun kebelakangan ini.

          Namun, walau apa jua yang dikata mengenai Zara, aku cuba untuk menahan segala-galanya kerana jauh di sudut hati, aku berbangga dapat bekerja untuk Zara. Setiap kali bercakap tentang bos dengan teman-temanku, aku dengan bangganya akan memberitahu mereka yang aku bekerja di bawah bimbingan seorang wanita yang bernama Zara Murad. Kadang - kadang apabila difikirkan, aku berasa seperti si egois yang gila kerana sanggup menyeksa diri semata-mata untuk mengisi tangki egoku.

          Tetapi itu bukanlah satu-satunya alasan mengapa aku bekerja di La Nona. Apa yang aku fikirkan pada ketika itu adalah, sekiranya aku ingin memulakan langkah untuk mengubah hala tuju kerjayaku, aku yakin nama Zara dan La Nona sudah cukup kuat untuk memberitahu mereka yang aku mempunyai 'Sarjana' secara tidak rasmi di dalam bidang ini.

          Seperti orang lain, aku mengejar visi dan bayangan-bayangan yang ada di dalam fikiranku. Itulah yang membolehkan aku bangun setiap pagi dan melangkah masuk ke La Nona walaupun terpaksa berdepan dengan Zara. Setiap hari, aku memberitahu diriku supaya tidak mudah mengalah, fokus dan jangan simpan apa-apa pun di dalam hati. Itulah caraku menghadapi Zara.

          Aku tahu siapa Zara, tetapi dia hanyalah manusia biasa yang memerlukan orang-orang sepertiku untuk memajukan syarikatnya.

          Pada pendapatku, tindak-tanduk Zara ada kena mengena dengan masalah peribadi yang melanda dirinya. Rumah tangga Zara sebenarnya sudah lama berantakan. Anak-anak Zara pula bermasalah. Aku dapat merasakan yang sikap Zara ini muncul daripada kesedaran Zara yang dia tidak mampu mengawal sesuatu yang disangkakan akan menjadi miliknya buat selama-lamanya. Dia tidak boleh menerima kenyataan yang dia sebenarnya telah hilang sesuatu yang telah lama berada di dalam genggamannya. Namun begitu, Zara masih ingin merasakan yang dia boleh mengawal sesuatu. Sesuatu yang dimaksudkan itu adalah orang-orang bawahannya yang tidak akan mengatakan 'tidak' kepada segala kehendaknya. Namun, perkara itu menjadi sesuatu yang kompleks kerana bagiku perasaan ' aku masih mampu mengawal' itu telah berubah kepada 'aku masih mampu mengawal dan mereka mahu dikawal'. Zara seolah-olah merasakan yang pekerja-pekerjanya di La Nona berasa seronok apabila dikawal dan diperlakukan seperti murid sekolah rendah.

          Bagi pendapatku, orang yang paling banyak menerima tekanan dari sikap Zara itu adalah orang kedua terpenting di La Nona iaitu Shazlin. Jika Zara dikatakan kejam terhadap orang-orang bawahannya, dia bersikap ultra kejam dengan Shazlin. Namun, Shazlin mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Dia tidak mudah melatah. Dia menganggapnya sebagai satu cabaran. Sebagai orang yang berhubungan rapat dengan mereka berdua, aku merasakan sikap ultra kejam Zara terhadap Shazlin itu juga timbul dari perasaan cemburu Zara terhadap wanita itu kerana hubungan baik Shazlin dengan datuknya Tuan Haris yang merupakan pengasas La Nona. Namun, mereka berkrisis di dalam senyap. Hanya yang rapat sahaja menyedari mengenai sikap ultra kejam Zara itu terhadap Shazlin. Namun tiada apa yang boleh kami lakukan selain meminta Shazlin yang tabah itu sentiasa bersabar. Mana-mana air yang dijerang, pasti akan mendidih. Begitu juga halnya dengan mereka berdua dan pergaduhan yang aku sebutkan tadi merupakan kemuncak kepada krisis hubungan antara dua wanita itu.

SferaWhere stories live. Discover now