Bab 25: Urban Escape

10 0 0
                                    

         "Hai Marina," Gina yang baru sahaja pulang dari tempat kerja terus mendapatkan aku yang sedang duduk termenung di ruang tamu.

          "Hai..." jawabku lemah.

          "Kenapa dengan kau Marina? Monyok sahaja muka."

          "Hujung minggu ini, aku akan habiskan masa aku dengan The Urban Fruits."

          "Jadi kau akan ikut mereka ke Kuala Pilah hujung minggu ini? Syabas Marina! Syabas!" Kata Gina sambil ketawa terbahak-bahak.

          "Ya. Habislah aku. Habis! Habis terbuang cuti tiga hari aku!"

         "Yang kau pun mengikut sahaja. Cakap sahajalah yang kau pun ada hal..." kata Gina cuba memberi cadangan untukku mengelak.

          "Susah Gina. Aku sudah janji dengan mereka sejak kami di Singapura lagi. Aku pun tidak tahu apa yang menyebabkan aku bersetuju dengan cadangan mereka ketika itu. Aku macam terpukau pula."

         "Tidak mengapalah. Bukannya teruk sangat pun. Aku yakin, kau pasti seronok nanti," Gina ketawa kecil.

         "Seronok? Yalah... Seronoklah sangat," aku mengeluh berat.

         Semasa di Singapura, Miss B telah mencadangkan kepada aku dan The Urban Fruits untuk pergi bercuti ke kampungnya di Kuala Pilah. Bagiku, itu satu cadangan yang langsung tidak menarik. Untuk Miss D dan Miss R yang jarang ke kawasan kampung, cadangan itu pasti sesuatu yang menguja. Tetapi bagiku, itu semua satu pemandangan yang biasa.

         Pada ketika itu, aku hanya mampu berharap agar mereka terlupa tentang rancangan mereka itu. Namun, pada satu pagi yang tenang, Miss B datang ke pejabat dan membangkitkan semula apa yang dicadangkannya sewaktu kami di Singapura. Pantas memberi tahu bahawa apa yang aku doakan ketika itu tidak dimakbulkan.

         "Bagus juga cadangan itu Miss B," kataku kepada Miss B apabila dia dengan begitu bersemangat sekali bercerita tentang rancangannya untuk membawa kami semua ke Rumah Tradisi keluarganya di Kuala Pilah.

          "Baguslah kalau begitu. Kita pergi Sabtu pagi ini ya! Kebetulan pula hari Isnin minggu hadapan cuti umum. Aku memang tidak sabar hendak bawa kamu semua pergi ke Rumah Tradisi keluarga aku. Kebetulan pula, kami akan adakan satu majlis untuk meraikan saudara lelaki aku yang hendak kena 'potong'"

         'Rumah tradisi?' Tanyaku sendirian. Sejujurnya, aku tidak berapa faham dengan apa yang dikatakan oleh Miss B dengan 'Rumah Tradisi'. Adakah sama dengan 'Rumah Ibu'? Atau pun rumah itu adalah tempat menyimpan barang-barang lama yang kelihatan seperti muzium? Jika benar tekaanku, aku tidak dapat membayangkan bagaimana mereka hendak meraikan majlis berkhatan di situ.

           "Tetapi janganlah bimbang. Hanya saudara-mara yang terdekat sahaja yang akan hadir," kata Miss B. Barangkali, dia menyedari ketakutan yang terpancar di wajahku.

          Yang sebenarnya, aku bukanlah takut. Aku hanya hairan kenapa Miss B begitu beria-ia hendak mengajak kami pergi ke rumah tradisinya semata-mata untuk menyaksikan majlis berkhatan. Aku mula membuat andaian yang dia sendiri tidak mahu pulang dan kami diajak supaya dia boleh mengurangkan tahap kebosanannya di situ.

          "Seronoknya! Aku tidak sabar hendak pergilah!" kata Miss R dengan penuh keterujaan. Begitu juga dengan Miss D.

          Sepanjang hari, itulah topik yang diperkatakan oleh mereka. Kawasan kampung, Rumah Tradisi, budak berkhatan dan macam-macam lagi!

          'Ish! Seronokkah semua ini? Mereka semua sudah gilakah? Aku harap tidak akan ada monyet atau lotong yang akan menculik kamu semua nanti. Maklumlah, kamu semua 'buah-buahan' yang segar,' kataku sendirian.

SferaWhere stories live. Discover now