Bab 34: Cowboy

10 0 0
                                    


          Kegagalan temubual dengan Diana Sinclair memaksa kami melipat gandakan usaha untuk mencari isi yang menarik untuk diletakkan di dalam edisi terbaru Hey.

          Dalam masa yang sama, Diana Sinclair sentiasa hadir dalam fikiranku. Untuk beberapa hari, aku tidak henti-henti memikirkan tentang Diana Sinclair. Aku akui yang aku kecewa dengan apa yang berlaku di antara aku dan Diana. Entah di mana silapnya, temubual yang dirancang tidak menjadi. Apabila Daniel menghubungi pengurus Diana Sinclair, untuk mendapatkan penjelasan, dia memberitahu dengan selamba "Sepatutnya dia bertanya soalan yang lebih berfaedah dari soalan-soalan yang 'agak kurang cerdik'," atau dalam kata lain, dia cuba untuk mengatakan bahawa soalan-soalan yang aku halakan kepada Diana itu adalah soalan-soalan yang bodoh.

          "Dalam kata lain, dia bengang dengan soalan-soalan kaulah," kata Gina sewaktu aku menghubunginya. Ketika itu dia berada di Sarawak.

          "Macam itulah nampaknya, Gina."

          "Okey. Tidak mengapa. Nanti bila sudah sampai di KL kita sambung lagi cerita ini."

          "Aku tunggu pukul berapa nanti?"

          "Pukul 11.00 pagi, okey?"

          "Okey. Nanti aku ambil kau."

          "Jangan buat aku tunggu lama pula. Aku beli banyak barang dari Sarawak ini."

          Pada keesokan hari, selepas mendapat izin dari Daniel, aku keluar awal dari pejabat dan terus menuju ke lapangan terbang.

          Setengah jam dari waktu yang dijanjikan, aku tiba di lapangan terbang. Selepas mencari tempat yang sesuai untuk menunggu ketibaan Gina, aku mengeluarkan fail berisi draf yang ditunjukkan oleh Daniel kepadaku awal hari itu. Tujuanku adalah untuk melihat mana-mana bahagian yang perlu diperbaiki. Namun, belum sempat aku membaca walau satu baris ayat, seorang lelaki menegurku dari belakang. Aku segera menoleh. Betapa terkejutnya aku apabila melihat wajah lelaki itu. Aku dapat rasakan darahku naik ke muka.

          "Norman?" Kataku. Mataku tidak berkelip-kelip memandangnya. Bagaikan tidak percaya dia sedang berdiri di hadapanku.

          "Ya. Ini saya Marina. Awak tidak bermimpi," Norman melayang-layangkan tangannya dengan lembut pada wajahku. Aku mentertawakan diriku yang serta-merta terkesima ketika itu. Norman berjalan ke hadapan dan mengambil tempat di sebelahku.

          "Awak buat apa di sini, Marina?"

          "Tunggu kawan."

          "Gina?" Norman meneka.

          "Ya. Betul Gina," jawabku mengiakan tekaan Norman.

          "Dia dari mana?"

          "Dari Sarawak."

          "Oh..." Norman mengangguk. Tanda faham.

          Buat seketika kami terdiam. Aku mula terfikirkan sesuatu. Inikah respons yang patut aku beri pada seorang lelaki yang telah memutuskan hubungannya denganku secara tiba-tiba?

          "Awak pula dari mana Norman?"

          "Dari Texas"

          "Texas? Awak serius?"

          "Ya," jawab Norman mengangguk.

          "Wah! Kenapa pergi ke tempat cowboy itu?"

          "Ha...ha... Makan Angin. Manalah tahu sangkut dengan mana-mana cowgirl," jawab Norman. Kemudian dia ketawa nakal. Aku pula hanya tersenyum.

SferaWhere stories live. Discover now