Entah kenapa, sejak dari dahulu lagi, aku mempunyai satu tabiat yang mana aku akan makan dengan banyak sekali apabila aku berada dalam keadaan gementar atau pun tertekan. Itulah yang aku lakukan ketika menikmati sarapan sendirian di hadapan Capital Square pada satu hari Selasa yang cerah.
Semasa dalam perjalanan dari Masjid Jamek ke Capital Square, aku sempat membeli nasi lemak, bihun goreng dan beberapa jenis kuih muih yang di jual oleh peniaga-peniaga di tepi jalan. Perlahan-lahan aku menyuap satu-persatu hidangan sarapan pagi itu ke dalam mulutku. Semakin berisi perutku, semakin kurang rasa gementar yang aku rasakan sejak malam. Aku berasa lebih tenang dan bertenaga.
Aku cuba mencatat nota mindaku ke atas satu helaian kertas. Ketika itu, aku cuba mengagak apa yang akan ditanya kepadaku apabila aku berada di pejabat majalah Hey nanti.
Beberapa hari sebelumnya, aku telah dipanggil untuk menghadiri satu sesi temuduga. Menurut Chan, wanita yang menghubungiku berkenaan dengan temuduga itu, bahagian editorial majalah Hey memerlukan seorang kerani untuk membantu mereka di sana. Aku bersetuju untuk mencuba lalu membuat janji temu untuk ditemu duga di Terry Lee Publication.
-Good Luck, Marina -
Harry
Aku menerima satu mesej dari Harry. Kunyahanku terhenti seketika. Perasaan gementarku yang hilang kembali terasa. Aku menarik nafasku dalam-dalam. Cuba mengembalikan ketenangan yang aku rasai setelah menikmati sarapan pagiku yang berat itu.
Sebenarnya Harry adalah orang yang bertanggungjawab dalam menyusun langkahku ke situ. Walaupun dia tidak mengakuinya, aku tahu, jika tidak kerana dia yang menarik perhatian ketua operasi Hey kepadaku, mungkin aku tidak akan berada di situ.
Sebaik sahaja tamat Pesta Buku Kuala Lumpur, Harry menghubungiku dan meminta aku menyiapkan satu jurnal berkenaan dengan pesta buku yang berlangsung di PWTC itu.
"Tulis apa yang awak fikir tentang pesta buku tempoh hari. Itu sahaja," kata Harry.
"Untuk apa Harry?"
"Setiap aktiviti yang melibatkan Hey akan diletakkan di dalam jurnal. Untuk Pesta Buku itu, Daniel perlukan satu rekod untuk jurnal Hey. Dia percaya hanya awak yang boleh menyiapkannya kerana awak yang berada di sana setiap hari sepanjang pesta buku itu. Hey amat memerlukannya dari awak. Boleh ya, Marina?"
"Okey. Saya cuba. Tetapi jangan pula marah saya kalau apa yang saya buat nanti tidak seperti yang kamu semua jangkakan."
"Eh. Tidaklah. Nama pun minta tolong. Tidak akanlah kami hendak marah pula," kata Harry.
Walaupun aku nampak ragu-ragu di hadapan Harry, di dalam hati, aku sememangnya teruja dengan apa yang dikatakan oleh Harry. Manakan mampu aku menolak permintaan ketua editor Hey. Di dalam benak fikiranku, aku tahu permintaan Daniel itu adalah sesuatu yang tidak patut aku sia-siakan. Hey memberi peluang untuk aku menunjukkan kebolehanku. Manalah tahu, untung-untung ada rezeki untuk aku buat kerja sambilan di Hey. Ketika itu, aku sudah mula berangan untuk menjadi salah seorang dari penyumbang bulanan Hey. Aku melakukan yang sehabis baik. Bagiku, sekiranya tiada apa-apa hasil sekalipun, aku tidak akan menyesali apa-apa di masa akan datang. Sekurang-kurangnya aku mencuba.
Dua minggu berlalu tanpa apa-apa berita dari Harry selepas aku menyerahkan jurnal pendek itu kepadanya. Apabila terserempak dengannya, kami hanya tersenyum dan berbual pendek. Aku tidak bertanya sedikit pun mengenai jurnal pendek yang aku siapkan itu. Dia cuma mengeluh kecil tentang jadualnya yang sibuk. Sehinggalah tiba saat di mana Chan menghubungiku berkenaan dengan jawatan kerani itu, aku menghantar mesej kepadanya.
YOU ARE READING
Sfera
Ficción GeneralJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!