Aku berasa begitu teruja sekali apabila diberitahu oleh Chan bahawa aku, The Urban Fruits dan beberapa lagi staf dari Hey akan dibawa ke Singapura bagi menghadiri malam anugerah muzik terbesar di Asia Tenggara.
"Kamu semua akan buat liputan di sana nanti," kata Chan kepada kami.
Di saat itu, kami mula membayangkan keseronokkan yang bakal kami rasai sebaik sahaja melangkahkan kaki ke Max Pavilion, tempat berlangsungnya anugerah itu. Apa yang paling membuatkan kami teruja sudah semestinya peluang untuk berjumpa dengan orang-orang terkenal yang akan berada di sana.
"Siti Nurhaliza, Agnes Monica, Sleeq, Regine Velasquez.... Eh! Ramai lagilah!" Miss B mula menyenaraikan nama-nama selebriti yang ingin ditemuinya.
"Eh Marina. Kau nampak macam biasa sahaja. Kau tidak rasa terujakah untuk ke sana?" Kata Miss D kepadaku yang sedang mencari pita selofan di dalam laci. Ketika itu, aku baru sahaja sampai ke pejabat.
"Mestilah teruja! Aku sebenarnya hendak sangat jumpa dengan Ariel Peterpan!" Jawabku selamba.
"Wah! Bukan main lagi kau ya!" Kata Miss B sambil mencekak pinggang.
"Hai. Kenapa? Salahkah? Bukannya aku mahu..." keterujaanku untuk bercakap lanjut tentang Ariel terus terhenti. Dadaku kencang sebaik sahaja membaca sekeping kad yang diletakkan di atas meja kerjaku. Kad berwarna merah hati itu terbuka luas.
Marina,
Harap sudi luangkan masa untuk ke rumah saya pada 15 Mac ini pukul 8 malam di Bukit Timah, Singapura.
Daniel.
Miss B dan Miss D ketawa kecil apabila melihat aku berkerut dahi ketika membaca apa yang tertulis pada kad itu. Sah! Mereka sudah membaca apa yang tertulis sebelum aku sampai ke pejabat. Aku merasa sangat-sangat malu ketika itu. Walau pun tanpa cermin, aku tahu wajahku sudah bertukar merah. Di saat itu, aku ingin sahaja mencubit-cubit muka Daniel sehingga lebam kerana tidak meletakkan kad itu di dalam sampul surat. 'Kenapalah kau biarkan kad ini terbuka sahaja tadi, Daniel? Habis semua orang baca. Aduhai!'
"Awak semua dijemput sekali bukan?" Soalku kepada Miss B dan Miss D.
"Siapalah kami ini Marina. Kami tidak dijemput pun..." kata Miss B. Dia menjeling ke arah Miss D dan mereka tertawa lagi. Beberapa minit kemudian, Miss R memasuki pejabat.
"Ha! Kamu semua mesti tengah sibuk cakap pasal anugerah di Singapura itu nanti bukan?"
"Ya. Apa lagi? Tetapi ada yang lebih menarik lagi yang akan berlaku di Singapura nanti kau tahu?" Kata Miss B.
"Apa dia?" Tanya Miss R penuh keterujaan. Miss D memuncungkan bibirnya menunjuk ke arahku. Miss R pantas mengalihkan perhatiannya kepadaku dan melihat kad yang sedang aku pegang. Kemudian dia tersenyum nakal. Aku pasti, dia juga sudah membaca isi kandungannya.
"Hai bertuahnya badan..." kata Miss B. "Kita yang sudah lama di sini pun jangan kata jemput ke rumah, ajak minum petang pun tidak pernah."
"Betul kata kau Miss B. Untung... Untung..." kata Miss D.
"Kamu semua cakap apa sebenarnya? Sudahlah, sambung kerja masing-masing," hanya itu sahaja yang boleh aku katakan kepada mereka. Terus terang aku katakan, memang hati aku berbunga-bunga semasa membaca kad jemputan itu. Tetapi apabila aku mula membayangkan kemungkinan yang bakal berlaku. Aku mulai gementar dan risau.
YOU ARE READING
Sfera
General FictionJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!