Bab 26: Rumah Tradisi

9 0 0
                                    

         "Marina.... Inikah tempatnya?" Tanya Miss R.

          "Ya. Aku rasa inilah rumahnya. Cuba kau tengok apa yang ada di sana?" Aku menunjukkan Miss R papan tanda sepanjang sepuluh kaki yang tertera perkataan 'Rumah Tradisi' di hadapan rumah tersebut.

         Ternyata sangkaanku mengenai Rumah Tradisi meleset sama sekali. Rumah Tradisi bukanlah rumah papan buruk yang ditelan zaman tetapi rumah itu adalah sebuah rumah kayu utuh tiga tingkat sebesar Galeri Seni Lukis Negara.

          "Turunlah semua! Inilah dia Rumah Tradisi keluarga aku," kata Miss B.

         Kami segera turun dan membawa keluar beg dari kereta.

"Miss B. Inikah rumah keluarga kau?" Tanya Miss R.

         "Ya. Inilah rumah keluarga aku," jawab Miss B dengan penuh teruja. "Ha... Apa lagi?! Jom kita bergerak ke pintu hadapan!"

          "Cantiknya..." kata kami semua dalam kekaguman. Miss D mula melopong. Miss R mengingatkannya untuk menutup mulut.

          "Tetapi susah hendak jaga. Perlu sentiasa dikemas dan dibersihkan," jelas Miss B. Dia kemudiannya memicit loceng rumah itu.

          Beberapa minit kemudian, seorang lelaki berbaju Melayu warna biru laut keluar dari rumah itu. Dia diekori oleh tujuh ekor kucing pelbagai warna.

         "Pak cik..." Miss B bersalaman dengan lelaki itu.

          "Zubaidah. Mana baju kurung kamu?"

          "Ada di dalam beg. Tidak sempat hendak pakai."

         "Masih lagi macam dulu. Kalau datang ke Rumah Tradisi, jarang-jarang pakai baju kurung," kata lelaki itu. Nadanya seperti marah tetapi wajahnya tersenyum.

         "Eh. Pak cik suka salah sangka. Saya tidak sempat salin tadi. Selepas sahaja habis kelas aerobik, kami terus datang ke sini. Oh ya! Ini semua kawan-kawan saya pak cik."

          "Miss B ini pak cik sendiri pun dia hendak bohong. Ops! Zubaidah nama dia. Lupa pula," bisik Miss R kepadaku. Kemudian kami berdua ketawa kecil.

          "Ajak kawan-kawan kamu semua masuk Zue..." kata Pak Cik Lan kepada Miss B.

          "Jomlah semua!" Miss B mengajak kami masuk ke rumah.

          "Selamat datang ke Rumah Tradisi semua. Mari saya tunjukkan bilik tidur kamu. Jangan harapkan si Zubaidah ini. Dia selalu sesat dalam rumah ini," kata Pak Cik Lan.

         Kami dibawa ke tingkat tiga. Oleh kerana aku dan Miss R datang dengan kereta yang sama, mereka menyuruh kami untuk tidur juga di dalam bilik yang sama.

         Aku memerhatikan kawasan sekeliling rumah itu. Tidak dapat dinafikan, Pak Cik Lan memang pandai menghias. Katil, meja solek, bunga, lukisan, pasu dan hiasan lain nampak begitu cantik dan senada. Seluruh rumah nampak sangat cantik sekali. Tingkat pertama menempatkan ruang makan, ruang tamu, dapur dan dua bilik tidur. Bilik bacaan, studio lukisan dan tiga bilik tidur pula terdapat di tingkat dua. Manakala tingkat ketiga pula menempatkan bilik tidur yang berjumlah tiga buah kesemuanya.

          Aku berbaring di atas katil sebaik sahaja habis berkemas. Miss R ketika itu sedang mandi sambil bernyanyi riang. Aku mengambil beberapa majalah tentang dekorasi dan melihat-lihat gambar yang tersiar di dalamnya. Tiba-tiba, aku terdengar bunyi petikan piano yang kedengaran sayup-sayup entah dari mana.

         'Wow! Sedapnya bunyi piano itu,' kataku sendirian. Aku meletakkan kembali majalah yang sedang dibaca dan menumpukan perhatian kepada muzik yang bermain. Apa yang membuatkan aku tertarik bukanlah kerana muzik yang dimainkan itu hasil karya Beethoven atau pun Chopin, tetapi kerana yang bermain ketika itu adalah lagu-lagu kegemaranku seperti lagu 'One Sweet Day' dan 'Love You Like a Love Song'. Pada mulanya, aku sangkakan Pak Cik Lan memainkan cakera padat di bilik bacaan. Namun, ketika aku sedang asyik mendengar petikan lagu 'Love You Lika A Love Song', petikan terhenti seketika. Bunyi batuk seorang lelaki kedengaran sebelum bunyi piano itu kembali dimainkan.

SferaWhere stories live. Discover now