Rakan-rakan yang telah lama mengenali diriku suka mengusik dan memanggil aku dengan gelaran 'Health Freak'. Ini kerana, apabila aku membeli belah, aku pasti akan memilih produk-produk seperti yogurt tinggi kalsium, susu tanpa lemak, air kurang gula dan bermacam-macam lagi. Aku begitu mengambil berat akan apa yang aku masukkan ke dalam tubuhku.
Namun, tanpa aku sedari, aku sudah melupakan tabiat pemakanan yang sihat itu dan mengambil gula yang berlebihan sejak kebelakangan ini.
Semuanya bermula sejak Mac atau April tiga tahun yang lalu. Pada ketika itu, aku berada di semester yang ke enam dan aku perlu menghadiri praktikal selama empat bulan untuk melengkapkan jam kredit sebelum bergraduasi. Tempoh tersebut merupakan empat bulan yang cukup menyeksakan. Aku benar-benar berada dalam keadaan tertekan. Pada ketika itu, aku melupakan tabiat pemakananku dan mengatasi tekanan yang aku hadapi dengan makan dan minum tanpa henti. Selain dari karbohidrat yang aku ambil untuk sarapan, makan tengahari dan malam, aku akan mengunyah biskut, jeli, coklat, kacang, ais krim, biskut dan satu jag teh panas setiap hari sambil melakukan kerja-kerja yang banyak memberikan aku tekanan.
Tabiat ini berlarutan sehinggalah aku diterima bekerja di La Nona. Apa yang ada di dalam kepalaku adalah, 'Jika aku tidak dapat menggembirakan hatiku dengan kerja-kerja ini, sekurang-kurangnya makanan-makanan ini boleh menggembirakanku.'
Baiklah, aku tahu ramai yang tertanya-tanya kenapa tiba-tiba sahaja aku bercakap tentang hal ini. Sebab utama aku merapu berkenaan dengan hal ini adalah kerana kulit mukaku yang selama ini bersih telah mula ditumbuhi jerawat. Jerawat-jerawat yang tumbuh pula mengambil masa yang lama untuk sembuh dan parutnya juga sukar untuk dihilangkan. Adakah ini disebabkan oleh gula?
Sesetengah orang berkata, sekiranya kandungan gula di dalam darah kita berada pada paras yang tinggi, kesan parut memang sukar untuk dihilangkan. Adakah itu satu fakta atau pun mitos semata-mata? Bolehkah kandungan gula di dalam darah seseorang meningkat dengan mendadak dalam tempoh tiga tahun? Ah! Tolong!
##########
Aku berada di Kafe Dr Love, membaca satu hantaran yang ditulis untuk blog peribadiku. Sejujurnya, itu bukanlah topik yang ingin aku tulis pada awalnya. Sebaik sahaja membuka komputer, apa yang aku fikirkan adalah mengenai Zara Murad dan Shazlin Shah. Namun, aku tidak boleh sewenang-wenangnya menulis mengenai dua wanita itu kerana akan ada pihak yang mula membuat spekulasi akibat dari satu pergaduhan besar yang terjadi antara mereka berdua.
Zara Murad adalah ketua eksekutif di La Nona, sebuah syarikat kosmetik dan kesihatan yang terkenal di Malaysia. Shazlin Shah pula adalah penolong ketua eksekutif merangkap orang kedua terpenting di situ. Aku telah menjadi pembantu Shazlin selama lebih kurang dua tahun dan dalam tempoh itu, aku telah lama ingin menulis mengenai Zara dan Shazlin di dalam blogku.
Namun, setiap kali aku ingin menyusun ayat, aku merasakan ada sesuatu yang cuba menghalangku. Shazlin pernah berkata kepadaku, "Marina. Kau boleh tulis apa sahaja yang kau mahu tentang aku. Tetapi kau berhati-hati apabila kau mahu menulis tentang Zara. Kau pun tahu siapa Zara bukan?"
YOU ARE READING
Sfera
Ficção GeralJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!