"Maaf Marina. Saya tidak dapat datang malam ini ke tempat Michelle. Bukan saya sengaja. Tetapi tiba-tiba sahaja pakcik saya datang dari Melaka.''
"Okeylah. Hendak buat macam mana? Tidak mengapalah. Awak bawalah dia jalan-jalan."
"Minta maaf banyak-banyak Marina. Saya terpaksa batalkan janji kita untuk pergi ke sana bersama-sama. Tetapi walau apa pun. Saya harap awak bergembiralah malam ini ya."
Beep!!!! Bunyi trak sampah yang lalu di luar rumah pada ketika itu membawa aku keluar dari fantasi. Fantasi tentang kemungkinan yang berlaku jika aku masih lagi bersama dengan Norman. Aku memandang ke arah cermin yang sedang memantulkan refleksi diriku yang masih berjubah mandi.
"Hai. Berangan lagi?" tegur Gina.
"Yup!" aku ketawa kecil.
Jika aku masih bersama Norman. Pasti ini pula akan berlaku antara aku dan Gina.
"Siapa yang telefon Marina?'' Gina akan bertanya.
"Norman," aku akan menjawab ringkas.
"Hmmmm... biar aku teka. Dia tidak jadi datang, bukan?"
Aku pasti akan mengangguk sambil membuat riak muka 'Ya. Tunanganku mengecewakan aku lagi'
"Kenapa pula dia tidak dapat pergi? Apa alasan dia kali ini?"
"Pak cik dia datang. Tidak akanlah dia hendak tinggalkan pula," seperti biasa aku akan menggulung hujah membela Norman.
Gina pula pasti akan keluarkan pandangannya. "Aku bukan tidak percayakan dia Marina. Tetapi cuba kau tengok. Setiap kali ada majlis-majlis macam ini. Mesti dia mengelak. Terutama sekali kalau Michelle atau Ally yang buat. Entahlah. Tetapi, aku rasa dia seperti kurang selesa dengan mereka," Gina akan menyatakan pendapatnya dan membuat konklusi tentang apa yang berlaku.
Tetapi, hatiku akan cuba menafikan kebenaran di sebalik apa yang dikatakannya.
Walaupun sekadar imaginasi. Kadangkala, perkara seperti itu boleh menjelaskan realiti sebenar sesuatu keadaan.
Aku melupakan seketika fantasiku bersama dengan Norman dan memberi fokus kepada apa yang kami rancang. Aku dan Gina sedang bersiap untuk ke majlis pembukaan spa terbaru Michelle di Seksyen 13, Shah Alam.
"Bagaimana dengan baju aku Marina?'' tanya Gina sambil berpusing-pusing di hadapanku.
"Wow!"' aku sengaja menterbeliakkan mataku. "Maksud aku..." sejujurnya aku tidak suka apa yang Gina pakai. Tidak pada malam itu kerana kami ada kejutan untuk Gina.
"Kenapa Marina? Tidak molek pada mata kau?''
Walaupun apa yang dikenakan oleh Gina di dalam dan di luar adalah barangan yang berjenama. Tetapi Gina nampak sedikit 'murah' dan 'berserabut' pada malam itu. Cuba bayangkan.
Gaun satin sutera, Gucci (warna hitam kebiruan)
Kasut tumit tinggi kulit bewarna perak dari Roberto Cavalli. (aku ada satu dan kami berdua memakai kasut yang sama malam itu)
Rantai hip-hop sebagai penata gaya (katanya)
Stoking paras lutut, berbelang merah jambu dan hitam
Truck cap Bounty Hunter. Ditambah pula dengan bulu di kepala.
"Aku rasa baju kau okey. Cuma lagi cantik kalau kau buang truck cap, bulu dan stoking itu. Nampak keterlaluan sangatlah. Lagi pun kita bukannya hendak pergi ke parti Urban Frequenz di La Queen.''
YOU ARE READING
Sfera
General FictionJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!