"Ada apa yang berlaku?" Tanyaku kepada Miss R sebaik sahaja aku sampai di pejabat. Suasana di Hey ketika itu sedikit berbeza dari hari-hari yang lain. Masing-masing nampak begitu sibuk sekali. Aku melihat jam di tangan. Aku sangkakan, aku yang lambat sampai ke pejabat. Namun, jam menunjukkan yang aku masih ada lagi dua puluh minit sebelum waktu kerja bermula.
"Daniel sudah kembali ke pejabat!" Jawab Miss R. Dia berlalu meninggalkan aku dan segera keluar dari bahagian editorial dengan membawa beberapa dokumen di tangan.
"Habislah aku! Habislah aku!" Miss B pula masuk ke bahagian editorial dengan keadaan yang kelam-kabut. Dia terus mengambil tempat duduk di sebelahku.
"Marina. Pinjam pen," belum sempat aku memberi kebenaran, dia pantas mengambil pen yang baru aku beli itu dan menulis sesuatu di atas beberapa helaian kertas yang dipegangnya.
Aku mula mengemas apa yang patut. Itu rutin harianku sebelum aku memulakan tugas. Tidak berapa lama kemudian, Chan pula masuk ke Editorial. Wajahnya nampak tenang seperti biasa. Namun, langkah yang diaturnya pantas. Nampak jelas dia sedang bersegera. Dia datang ke mejaku.
"Marina. Beri saya dokumen yang saya beri pada awak semalam," kata Chan.
"Okey. Sebentar ya," Aku segera mencari fail yang dikehendakinya itu di dalam laci dan menyerahkannya kepada Chan. Miss B yang berada di sebelah kiriku tetap tekun dengan apa yang dilakukannya. Dia tidak langsung mengendahkan kehadiran Chan.
"Ini dia Chan,"
"Terima kasih," pantas dia mengambil fail yang aku hulurkan kepadanya dan terus meluru menuju ke biliknya. Namun setelah beberapa langkah, dia berpaling semula.
"Oh Ya! Marina, awak tahu Daniel akan datang ke pejabat hari ini?" Tanya Chan kepadaku. Dia nampak serius.
"Ya," aku mengangguk-anggukkan kepalaku.
"Bagus," Chan terus berlalu meninggalkan aku dan Miss B.
"Sibuknya kamu semua..." kataku kepada Miss B.
"Ada banyak lagi yang tidak siap Marina. Sebab itulah...! Daniel sepatutnya masuk pejabat esok. Bukan hari ini!"
"Daniel akan marah kita semua nantikah Miss B?"
"Tidak. Tetapi, kami tidak mahu dia fikir yang kami tidak mampu untuk bekerja tanpa seliaannya," jawab Miss B.
"Oh begitu..." kataku tanda faham.
"Hai! Semua baik-baik sahaja di sini?" Seorang lelaki berkaca mata tiba-tiba sahaja datang ke bahagian editorial. Miss B tercengang untuk seketika.
"Ya... Ya.. Daniel. Semua okey," jawab Miss B. Dia tergagap-gagap.
'Oh! Ini rupanya Daniel...' hatiku berkata-kata. Aku memerhatikan lelaki itu dengan teliti semasa dia bercakap dengan Miss B. Ketika itu, fikiranku didatangi berbagai persoalan kerana wajah Daniel nampak begitu biasa sekali bagiku. Aku yakin yang aku pernah melihatnya sebelum pertemuan kali pertama itu. Tetap bila? Di mana? Aku tertanya-tanya.
Daniel tidak begitu mengendahkan aku pada awalnya. Dia hanya mampu memberikan senyuman yang biasanya diberikan seseorang kepada orang yang tidak dikenalinya. Apabila Miss B memperkenalkan aku sebagai kerani baru di situ kepadanya, barulah dia bertanya itu dan ini kepadaku.
"Chan ada di dalam pejabat?" Tanya Daniel kepadaku.
"Ya..." aku mengangguk pantas.
YOU ARE READING
Sfera
Ficção GeralJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!