Aku mulai resah apabila melihat peserta-peserta karnival sudah mula berkemas. Melalui pengumuman yang dibuat, kawasan karnival perlu dikosongkan dalam tempoh masa setengah jam sahaja lagi. Aku cuba meninjau-ninjau sekeliling kawasan yang berdekatan, namun bayang Syam masih tidak kelihatan. Aku pergi ke pentas utama dan cuba menunggu sehingga pukul lapan setengah malam dengan harapan keajaiban akan berlaku dan Syam akan muncul di hadapan mataku. Namun, hasilnya menghampakan. Aku mengalah. Di saat itu, aku merasakan yang Syam semestinya sudah pulang awal bersama-sama dengan rakan-rakannya dan melupakan aku yang keliru apabila memegang kata-kata 'see you' -nya itu sebagai satu janji.
"Kau pasti yang dia sudah balik?" Tanya Miss R kepadaku.
"Entahlah... Mungkin..." jawabku sambil mengangkat kedua-dua bahuku.
"Kenapa kau tidak hantar mesej melalui Facebook sahaja?" Tanya Ally.
"Malulah... Tiga jam lepas aku sudah hantar. Tetapi tiada apa-apa respons pun," jawabku perlahan.
Ally dan Miss R berpandangan. Mereka menggeleng-gelengkan kepala apabila mendengar jawapanku.
"Susahlah kalau begitu..." kata Ally.
Beberapa minit kemudian, tiga orang pengawal keselamatan mula datang untuk memeriksa kawasan karnival. Itu adalah satu petanda yang kami harus beredar dari situ secepat mungkin untuk memudahkan kerja-kerja pihak pengurusan. Aku bersama-sama dengan Miss R dan Ally bergerak keluar. Apabila tiba di kawasan tempat meletak kereta, kami berpisah dan menuju ke kereta masing-masing. Baru sahaja aku menghidupkan enjin kereta, aku menerima panggilan dari Daniel.
"Macam tahu-tahu sahaja..." kataku sendirian.
"Hai Daniel!"
"Hai Marina! Apa khabar? Bagaimana hari ini?" Tanya Daniel.
"Saya sihat. Hari ini okey sahaja Daniel..." jawabku ringkas.
"Kamu berdua berjaya dapatkan semua bahan yang kita perlukan?"
"Mestilah Daniel. Penuh kamera dengan gambar-gambar pengunjung tadi. Macam-macam aksi. Terutama sekali Miss R."
Daniel tertawa mendengar jawapanku.
"Baguslah kalau begitu Marina. Oh Ya! Mana Miss R?"
"Dia sudah pergi masuk ke keretanya."
"Saya dengar suara awak pun macam penat sahaja. Awak balik rehat dahulu, okey?"
"Saya sebenarnya lapar sekarang ini. Saya tidak letih pun."
"Ajaklah Miss R temankan awak makan."
"Dia mengantuk sangat-sangat katanya..."
Panggilan yang aku sangkakan sekejap menjadi lama apabila Daniel tidak berhenti-henti bertanya itu dan ini. Saat itu, aku terfikir yang ada kemungkinan aku akan keluar makan dengan Daniel selepas sahaja tamat panggilan itu. Keberangkaliannya amat tinggi lebih-lebih lagi apabila dia mula bercakap tentang restoran.
Bap! Dua tapak tangan seorang lelaki tiba-tiba menekap pada cermin tingkap di sebelah kananku. Dia memukul lembut cermin tingkap kereta sebagai isyarat yang dia ingin bercakap denganku.
"Kenapa Marina?" Tanya Daniel apabila mendengar aku menjerit kecil.
"Tidak ada apa-apa. Cuma ada kucing yang menerjah kereta saya..."
YOU ARE READING
Sfera
Narrativa generaleJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!