Bab 3 : Norah Versus Shazlin

70 1 0
                                    

Kemuncak krisis itu bermula apabila Zara membatalkan kemunculan Shazlin dalam rancangan Wanita Hari Ini dan menggantikannya dengan anak saudaranya sendiri yang bernama Norah.

Aku masih ingat lagi hari di mana Shazlin memberitahu aku tentang pembatalan kemunculannya di TV3. Shazlin keluar dengan mata yang merah dan berair. Tanpa menoleh ke arahku, dia cepat-cepat masuk ke dalam bilik pejabatnya. Aku pantas bangun dan pergi mendapatkannya.

"Kenapa dengan kau Shazlin? Apa yang Zara buat kali ini?"

"Zara gantikan aku dengan Norah untuk temuramah dalam Wanita Hari Ini itu nanti," terang Shazlin.

Aku terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Shazlin kerana aku begitu mengenali Norah. Anak saudara Zara yang gedik dan mengada-ngada. Setiap kali aku melihat Norah, aku pasti teringatkan Syakila dalam filem Bintang Hati lakonan Amy Mastura.

Pada hari yang mana promosi produk terbaru La Nona dijadualkan ke udara di TV3, Zara melakukan satu lagi kejutan.

Keletak! Keletuk! Keletak! Keletuk! Bunyi kasut tumit tinggi Zara yang menghampiri ruang pejabatku masih lagi terngiang-ngiang di telinga.

"O... o..." kata Shazlin yang kebetulan berada di situ. Dag! Dig! Dug! Kadar degupan jantungku meningkat. Aku pasti Shazlin juga begitu. Aku tidak dapat menjangkakan apa yang Zara mahukan pada ketika itu.

"Ha! Di sini rupanya kamu Shazlin! Penat saya cari kamu. Apa yang kamu buat di sini dengan Marina? Berbual? Curi tulang?" Kata Zara. Sukar untuk aku membezakan sama ada dia berada dalam keadaan yang tenang atau pun marah kerana kedua-duanya kedengaran sama sahaja.

"Saya...." belum sempat Shazlin habis menjawab, Zara pantas memotong.

"Shazlin, Marina. Kamu berdua ikut ke Sri Pentas hari ini boleh?" Arah Zara. Walaupun itu nampak seperti satu soalan, tetapi sebenarnya itu ialah satu arahan dan jawapannya tidak boleh tidak. Hanya Ya, Ya dan Ya!

Aku dan Shazlin berpandangan. Jika kami mampu menggunakan telepati, pasti akan aku boleh tahu apa yang sedang Shazlin fikirkan pada ketika itu.

"Untuk apa puan?" Aku menyoal dengan perlahan.

"Untuk apa?" Zara mengulang kembali apa yang aku katakan. Mukanya berkerut. Sedikit kemerah-merahan.

"Ya. Bukankah Norah yang akan hadiri temubual itu?" Tanya Shazlin pula.

"Saya mahu kamu berdua kawal keselamatan dia," jelas Zara.

"Kawal keselamatan Norah?" Aku dan Shazlin bertanya serentak. Sekali lagi kami berpandangan. Tetapi kali ini dengan wajah yang berkerut.

"Ya. Kenapa? Ada apa-apa masalah?" Tanya Zara.

"Tiada. Cuma..."kata Shazlin.

"Maksudnya tiada masalah. Jom kita pergi sekarang!" Zara terus beransur meninggalkan kami yang masih lagi tercengang di situ. Aku berbincang sebentar dengan Shazlin tentang apa yang dikatakan oleh Zara. Tiba-tiba, pembantu peribadi Zara, Suzie, masuk ke dalam pejabatku.

"Aku dengar kamu diminta untuk ke Sri Pentas, ya?" Tanya Suzie.

"Ya. Untuk jadi pengawal peribadi Norah," jawab Shazlin. Suzie tertawa apabila mendengarnya.

"Pergi sahajalah. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Jaga Norah bukannya macam menolak bukit. Alah! Bukan susah sangat pun, kamu pastikan yang dia tidak terpelecok bila berjalan nanti. Itu sahaja. Aku yakin tiada siapa pun yang ingin culik dia. Okeylah, aku pergi jumpa Zara dahulu," kata Suzie yang kemudiannya keluar berlari mendapatkan kembali Zara yang berlalu entah ke mana.

Kami berpandangan. Tetapi tiada sepatah kata pun yang keluar daripada mulut kami. Mungkin apa yang Shazlin sedang fikirkan pada ketika itu sama dengan apa yang sedang aku fikirkan. 'Ada betulnya apa yang Suzie katakan'.

SferaWhere stories live. Discover now