Bab 27: Jus Gembira

28 0 0
                                    


           Pada keesokan harinya, sebaik sahaja pulang dari sungai, ke semuanya tertidur kerana kepenatan kecuali aku. Aku cuba sedaya-upaya untuk melelapkan mata tetapi gagal. Lalu, aku bangun dan turun ke tingkat dua menuju ke ruangan tempat Syam bermain piano pada hari sebelumnya. Perlahan-lahan aku melangkah dan menjengah masuk ke bilik itu. Namun, bilik itu kosong. Yang ada hanyalah piano dan gitar berwarna coklat yang aku mainkan di hadapan Syam pada hari pertama aku sampai di situ. Aku mengambil gitar itu dan duduk berdekatan dengan piano yang diletakkan menghadap tingkap. Aku mula memetik gitar. Sekali lagi, aku memainkan lagu 'Don't Let Me Be The Last to Know' seperti hari sebelumnya. Cuma pada ketika itu, aku berasa lebih yakin dan setiap petikan aku mainkan dengan penuh bersemangat. Mungkin kerana aku bersendirian dan tiada orang yang memandangku pada ketika itu.

          "Ehem!" Suara seorang lelaki berdeham kedengaran sebaik sahaja aku habis bermain. Aku segera menoleh. Ketika itu, aku lihat Syam sedang berdiri di pintu bilik sambil bertepuk tangan.

          "Hebat, Marina!"

          "Syam. Bila masa pula awak berdiri di situ?"

          "Sejak awak masuk bilik ini tadi. Saya sengaja biarkan awak. Hendak lihat apa yang awak buat."

          "Ish. Malunya saya Syam"

          "Kenapa awak hendak malu? Awak main dengan baik tadi. Suara pun boleh tahan."

          "Oh ya?" Tanyaku inginkan kepastian.

          "Ya. Betul," kata Syam. Dia cuba meyakinkanku bahawa dia benar-benar maksudkan apa yang dikatakannya.

           "Marina. Mana kawan-kawan awak yang lain?"

          "Semuanya tidur. Penat sangat mandi sungai."

          "Hai... mandi sungai pun boleh penat?" Kata Syam. Kemudian dia tertawa kecil.

         "Itulah yang saya pelik..."

          "Kebetulan awak ada di sini, saya hendak kongsikan satu benda dengan awak..."

          "Apa dia Syam?"

          "Jom ikut saya ke dapur!"

         "Ke dapur lagi? Apa pula yang awak hendak masak kali ini?"

         "Adalah... Jom!"

          "Okey!" Aku bersetuju dan tanpa bersoal lagi, aku mengikuti Syam ke dapur.

          Setiba sahaja di dapur, dia membawa keluar beberapa jenis buah-buahan seperti betik, pisang, nenas, kundur dan rambutan yang sudah siap dibuang bijinya dari peti sejuk.

          "Apa yang awak hendak buat dengan semua ini Syam?"

          Syam tidak menjawab soalanku. Dia hanya tersenyum penuh rahsia. Aku memerhatikan sahaja segala gerak-gerinya.

          Dia mengupas ke semua kulit buah-buahan itu satu persatu. Aku ingin membantu tetapi dia tidak mengizinkan aku menyentuh langsung apa-apa pun yang terdapat di atas meja pada ketika itu. Katanya, dia ingin aku merasai sentuhan azimatnya di dapur.

          Seperti mana yang diminta, aku hanya memerhatikan sahaja apa yang hendak dilakukan oleh Syam. Selepas habis mengupas kulit buah-buahan itu, ke semua isinya dimasukkan ke dalam mesin pengisar dan dikisar halus. Kemudian, dia mencampurkan kola dan soda ke dalam kisaran buah-buahan itu tadi. Akhirnya, campuran itu dimasukkan ke dalam sebuah jag bersaiz besar.

SferaWhere stories live. Discover now