''Penat! Tertekannya aku! Rasa seperti pergi berperang pula!" Dengan suaraku yang agak halus dan nyaring, aku separa menjerit. Aku seperti hendak gila apabila menerima e-mel dari Daniel yang mahukan aku menukar beberapa perkara di dalam artikel yang telah aku tulis untuknya.
Aku berada di Dr Love ketika itu, sedang cuba memilih gambar yang bersesuaian untuk kolum 'Santai'. Tiba-tiba sahaja, aku menerima e-mel dari Daniel yang menginginkan supaya kolum itu diubah.
Sejurus selepas perbincangan mengenai isu terbaru Hey tamat, kami mula sibuk mencari dan menyusun bahan-bahan yang bersesuaian. Saat itu adalah sepuluh hari yang cukup sibuk dan penuh dengan kejutan. Dalam tempoh itu juga, Daniel berkali-kali mengadakan mesyuarat dan berbincang mengenai perkembangan isu itu. Apa yang membuatkan kami mengeluh sebaik sahaja mesyuarat diadakan adalah perubahan yang sentiasa dimahukan oleh Daniel. Sebagai contoh, pada hari sebelumnya Daniel hampir-hampir bergaduh dengan Dee. Suasana menjadi sedikit tegang apabila Dee diminta mengubah sebuah artikel yang telah pun diubah sebanyak tujuh kali!
"Kenapa dengan dia, Gina?" Tanya Michelle yang kebetulan berada di Dr Love.
"Cuba kau tanya dia sendiri," kata Gina.
Sebaik sahaja Michelle bertanyakan soalan itu kepadaku, aku mula bercerita mengenai Daniel dan drama yang sedang kami hadapi di Hey.
"Daniel asyik menukar fikirannya. Sudah banyak kali Daniel menolak hasil-hasil kerja aku. Dari artikel, topik dan gambar. Hampir keseluruhannya ditolak! Buat kali pertama, aku tidak faham apa yang Daniel mahukan. Sering kali dia menyuruh kami mengubah hasil kerja-kerja kami."
"Daniel itu bos dia bukan?" Bisik Michelle kepada Gina yang sedang duduk disebelahnya.
"Mmmm..hmmmmmm.." Gina mengangguk.
"Dan cuba teka, kami cuma ada beberapa belas hari sahaja lagi sebelum segalanya dicetak!" Tambahku lagi dengan aksi penuh dramatik. Michelle melayan ceritaku yang sudah berkali-kali aku ceritakan kepada Gina dan Ally. Aku berterusan bercerita mengenai kesukaranku untuk tidur malam. Mimpi burukku tentang Daniel dan macam-macam lagi. Aku juga bercerita tentang apa yang berlaku antara aku dan Daniel sebelum dan selepas apa yang berlaku di Asia Cafe.
"Jadi apa yang kau hendak lakukan sekarang Marina? Kau ada apa-apa rancangan?" Tanya Michelle.
"Rancangan?" Tanyaku kehairanan. Kurang faham dengan apa yang ingin Michelle sampaikan.
"Ya. Kau tidak mahu buat apa-apa?" Jawab Michelle sambil tersenyum.
Aku hanya memandang Michelle. Soalan Michelle itu tidak aku jawab. Namun, aku mula terfikirkan sesuatu.
******************
Malam itu, aku terjaga dari tidurku. Aku terganggu dengan bayangan-bayangan di Hey. Aku menenangkan diri dan cuba untuk kembali tidur. Aku berpusing ke kiri dan ke kanan. Cuba untuk memejamkan mataku tetapi gagal. Aku gelisah memikirkan hari esok.
"Ah! Bilakah semua ini akan berakhir?" Aku mengeluh sendirian. "Mungkin aku perlu melarikan diri," kataku lagi. Dan apabila bercakap mengenai melarikan diri, aku mula mengingati kisah lalu. Sesuatu yang pernah aku lakukan semasa di sekolah dahulu. Untuk mengelakkan diri dari menyertai aktiviti perkhemahan, aku pernah berpura-pura sakit perut sehingga doktor mengambil keputusan untuk memasukkan aku ke dalam wad. Aku memikirkan kemungkinan untuk aku melakukan perkara yang sama. Berpura-pura sakit perut, pengsan di pintu utama hospital dan kemudian dimasukkan ke dalam wad untuk beberapa hari.
YOU ARE READING
Sfera
Fiksi UmumJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!