Bab 41: Ku Putuskan

9 1 0
                                    

          Aku merancang untuk pergi ke Sarawak bersama-sama dengan Gina. Sebelum itu, aku berkesempatan untuk pergi ke majlis pertunangan Dilla adik Tia di Johor. Selepas sahaja selesai majlis itu, kami berdua bertolak ke Sarawak.

         "Kau rasa, adik Tina akan kahwin dengan tunang dia?" Tanya Gina. Tiba-tiba sahaja dia mengajukan soalan itu kepadaku. Ketika itu, pesawat baru sahaja berlepas.

          "Kenapa pula kau tanya begitu?"

          "Sebenarnya, aku tercuri dengar perbualan Tia dan Dilla."

          "Ha! Tercuri dengar? Bagaimana pula kau boleh 'tercuri' dengar perbualan mereka?" Soalku, pelik.

         "Sebenarnya, semasa itu aku ada di bawah katil Tia."

          "Apa pula yang kau buat di bawah katil Tia?"

          "Cari subang aku. Hilang. Sampai sekarang aku tidak jumpa lagi," terang Gina sambil memegang telinganya.

          "Okey, biar aku teka. Semasa kau berada di bawah katil, mereka berdua masuk bilik dan berbual, bukan?"

          "Ya! Betul! Pandai betul kau, Marina!"

          "Jadi apa yang kau dengar?"

          "Semasa itu Dila masuk ke bilik dahulu. Aku rasa mungkin dia duduk-duduk berehat sebab aku dengar seperti dia mengambil dan menghembus nafas beberapa kali. Kemudian Tia pula masuk. Aku dengar pintu ditutup, kemudian mereka mula berbual," terang Gina dengan penuh berhati-hati.

         "Apa yang mereka bualkan?"

         "Sabarlah."

         "Mukadimah kau lama sangat."

         "Tia tanya Dila sama ada dia betul-betul serius atau tidak dengan pertunangan itu sebab dia kata Dilla nampak terpaksa."

          "Oh, jadi apa kata Dilla?"

          "Dia kata dia okey. Dia reda. Dia tahu pilihan ibu dan bapa dia semestinya yang terbaik."

          "Hmm. Apa kata Tia lepas dengar jawapan Dilla?"

         "Kata Tia, tiada sesiapa pun yang memaksa dia. Jika Dilla tidak berasa senang dengan pertunangan itu, adalah baik jika dia suarakan sekarang. Tia minta Dilla untuk berfikir sebaik mungkin dan jangan buat keputusan terburu-buru. Dia masih lagi ada masa."

          Terus terang aku katakan yang aku tidak terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Gina kerana aku kenal dengan Dilla. Dia anak yang patuh dan mendengar kata. Apa sahaja yang dicadangkan oleh ibu bapanya, dituruti tanpa banyak alasan atau bantahan. Kadangkala kelihatan seperti Dilla tidak pernah berfikir untuk dirinya sendiri. Tia pernah menyuarakan tentang hal ini kepadaku. Dia risau akan Dilla yang seperti terlalu menurut segala cadangan ibu dan bapanya.

         Pada pendapat aku, tiada salahnya apa yang Dilla lakukan. Mungkin Dilla punyai visi yang sama dengan ibu dan bapanya. Mereka punyai cara yang sama dalam melihat kehidupan. Sebab itu dia kelihatan seperti menurut sahaja perintah ibu dan bapanya. Tetapi bagi aku, mereka sebenarnya sekepala. Mereka seolah-olah satu pasukan dan hingga saat ini aku lihat tiada apa yang dicadangkan oleh ibu dan bapa mereka itu membawa keburukan kepada Dilla. Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak bukan?

          Tia pula mempunyai pemikiran yang berbeza. Baginya, apabila tiba satu tahap seorang anak perlu terbang bebas dan perlu menentukan hidupnya sendiri. Aku juga berfikiran begitu. Seperti majoriti anak-anak muda yang sebaya denganku, masing-masing membesar dalam generasi yang telah menerima konsep penentuan laluan hidup tanpa acuan ibu dan bapa apabila sampai saatnya. Malah aku akui yang aku lebih ekstrim. Tetapi aku tidak akan memaksa orang menerima caraku. Jika orang seperti Dilla tidak mahu menuruti konsep itu, aku masih okey. Aku tidak sibuk-sibuk risau kerana aku merasakan yang Dilla melihat hubungan dengan ibu bapanya seperti satu perkongsian.

SferaWhere stories live. Discover now