Bab 9: Fantasi

31 0 0
                                    

          Aku banyak menghabiskan masaku di Dr Love. Aku beruntung kerana Ally sedia mendengar, jadual kerjanya yang fleksibel membolehkan aku menghadiri 'sesi terapi' yang diberikannya secara percuma kepadaku. Walaupun dia bukan ahli psikologi yang bertauliah, tetapi aku percaya bercakap dengannya dapat membantu aku keluar sebentar dari pintu alam fantasi yang aku cipta untuk sekian lamanya.

          "Hmm... Pintu alam fantasi yang kau cipta?" tanya Gina kehairanan apabila aku memberitahunya tentang apa yang aku bincangkan dengan Ally.

         "Ya. Pintu alam fantasi!" jawabku dengan bersungguh-sungguh.

          Selepas bercakap dengan Ally, aku cuba bertenang dan mengambil masa untuk mengenang kembali hubungan kami yang terjalin selama lapan tahun lamanya.

         Secara zahirnya, hubungan aku dan Norman memang baik. Segala-galanya nampak indah. Malah, ramai yang kagum bagaimana kami boleh bertahan dalam tempoh masa yang begitu lama dengan hanya berikatkan janji. Tidak salah jika aku katakan yanghubungan itupernah menjadi sesuatu yang dicemburui ramai. Namun, dalam aku mengenang segala kata-kata, suara dan senyuman Norman yang pernah membuatkan aku bahagia, aku perlu akui satu kenyataan yang aku cuba nafikan untuk sekian lamanya.

         "Apa dia Marina?" tanya Ally apabila melihat aku teragak-agak untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam hati. Aku mengambil nafas dalam-dalam sebelum memulakan bicara.

          "Segala yang indah antara aku dan Norman perlahan-lahan lenyap sejak tiga tahun yang lalu. Dalam kata lain, sepanjang tempoh lapan tahun tersebut, kemesraan antara kami hanya bertahan selama lima tahun sahaja. Selepas itu, hubungan kami sedikit berubah. Norman tidak lagi seperti Norman yang aku kenali dahulu."

          "Baru sekarang kau menyedarinya?"

          "Sudah lama sebenarnya. Aku sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan kami sejak tiga tahun lalu. Namun, aku diamkan sahaja kerana aku menganggapnya sebagai satu perkara biasa. Aku menganggapnya sebagai satu cabaran bagi pasangan muda seperti kami. Aku cuba menjadi positif walau apa pun yang berlaku."

          "Cuba menjadi positif... Hmm... Itu bukanlah semudah yang disangkakan," kata Ally.

           Ya. Itu semua bukan sesuatu yang mudah. Namun apa yang membuatkan aku bertahan? Berkali-kali aku menyoal diriku. Aku tertanya-tanya bagaimana agaknya aku mampu bertahan dan kekal positif untuk bertahun lamanya? Apa sebenarnya yang membolehkan aku menempuhi saat-saat sukar dengan Norman yang sedikit sebanyak berubah menjadi seorang yang dingin dan kurang sensitif.

          "Fantasi..." itulah perkataan yang terpacul dari mulutku setelah lama memikirkan kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan situasi yang berlaku. "Jawapannya adalah fantasi Ally..."

          "Maksud kau?"

          "Apabila aku fikirkannya secara mendalam. Jawapannya adalah kerana aku suka hidup di dalam fantasi. Hidup dalam kenangan indah antara aku dan Norman."

          "Contohnya?"

          "Setiap kali ada yang tidak kena antara kami, aku akan kembali masuk ke dalam dunia kenangan yang agak melekakan yang kemudiannya membawa aku masuk ke dunia yang penuh dengan fantasi. Aku akan memberitahu diri sendiri yang segala-galanya akan okey dan saat indah yang pernah kami nikmati bersama akan muncul semula. Aku juga selalu memujuk diri sendiri. Aku kata, walau apa pun yang berlaku, aku perlu yakin segalanya akan berakhir dengan baik. Tetapi..."

*****

         "Hai Ally! Sibuk? Maaf mengganggu. Cuma hendak beritahu yang aku akan pulang ke JB hari ini okey. Bye!" aku meninggalkan pesanan suara untuk Ally kerana sejak dari pagi, hanya suara wanita parau yang menjawab panggilan-panggilan yang aku buat kepadanya.

SferaWhere stories live. Discover now