Bab 20: Serius

7 0 0
                                    

           Beberapa bulan berlalu dan aku berasa semakin serasi dengan Hey. Banyak yang aku pelajari dari mereka di situ terutama sekali Miss B, Miss D dan Miss R. The Urban Fruits tidak pernah berkira denganku. Segala apa penting dan perlu aku ketahui dikongsikan bersama. Seperti yang dinasihatkan, aku cuba mengelakkan diri dari drama-drama pejabat yang merimaskan dan cuba melakukan tugas-tugas yang diberikan kepadaku sebaik mungkin. Namun, sepanjang tempoh itu, jarang sekali aku dapat bersua muka dengan Daniel.

          Jika berjumpa pun, kami tidak dapat berbual panjang. Perhatian kami banyak tertumpu kepada kerja-kerjaku yang semakin mencabar.

          Perubahan itu begitu mendadak sekali aku rasakan. Dari persahabatan yang mesra dan penuh dengan gelak ketawa kepada hubungan profesional yang serius. Aku melakukan pelbagai cara untuk merapatkan semula hubungan kami. Namun, kami terus dipisahkan dengan dinding-dinding prioriti dan profesional di Hey. Aku akui yang aku sedikit terkilan kerana kehilangan 'Harry' yang pernah aku kenal. Walaupun begitu, aku tetap fokus pada kerja-kerjaku. Itu adalah cara yang paling berkesan untuk aku mengalihkan perhatianku dari terlalu asyik memikirkan tentang Daniel.

          Pada satu hari, Chan memanggilku untuk berjumpa dengannya. Pejabat pada ketika itu kelihatan amat sibuk sekali. Seolah-olah, Hey baru sahaja menerima berita buruk mengenai imbangan akaun syarikat.

          "Duduk Marina..." persila Chan kepadaku.

          "Ada apa Chan?"

          "Awak perlu bantu kami semua Marina," kata Chan sambil menaip pantas sesuatu. Matanya tertumpu ke arah skrin.

          "Bantu apa Chan?" Tanyaku sambil mataku sempat menjeling ke arah skrin. Aku melihat satu senarai panjang yang sedang disiapkan oleh Chan.

          "Begini sebenarnya. Daniel mahu tukar topik yang kita sedang buat sekarang ini kepada isu ayam.''

          "Ayam?" Tanyaku kehairanan. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang aku dengar dari mulut Chan.

          "Ya. Isu duit akan menjadi topik kecil dan digantikan dengan isu ayam."

          "Ayam?" Tanyaku inginkan kepastian.

          "Ya. Saya tidak tahu apa yang dia jumpa di Hong Kong minggu lepas sehinggakan dia menukar fikirannya," Chan menggeleng-gelengkan kepalanya.

          "Jadi bagaimana boleh saya bantu?"

          ''Awak hentikan dahulu susunan data awak itu. Untuk hari ini, awak perlu lakukan semua yang tertulis di dalam pelan ini."

          Chan menyerahkan satu senarai yang baru dicetak yang mana di dalamnya tersenarai beberapa perkara yang perlu aku lakukan pada hari itu.

          "Ini sejumlah wang yang awak perlukan nanti dan juga kad kredit. Buat sedaya yang mampu dan serahkan ulasannya kepada saya esok."

          "Baiklah Chan," kataku tanpa banyak soal.

          Aku kembali ke mejaku dan duduk meneliti senarai yang perlu aku lakukan untuk tiga hari akan datang.

          "Wow!" Kataku sendirian. Aku menarik nafasku dalam-dalam. Aku mencapai telefonku dan segera menghubungi Gina.

          "Hello Gina!"

          "Hello...."

          "Ada di mana?"

          "Di tempat kerja. Kenapa?"

          "Ada perkara yang aku hendak beritahu."

          "Apa dia?"

          "Aku tidak dapat bersama dengan kamu semua di Dr Love malam ini."

SferaWhere stories live. Discover now