Bab 38: Dari Hati ke Hati

13 0 0
                                    

          Norman menghubungi aku beberapa hari sebelum itu.

          "Marina... ini saya," kata Norman sebaik sahaja aku menjawab panggilannya. Walaupun nombor yang digunakan berbeza dengan sebelumnya, aku masih boleh mengecam suaranya.

          " Hai. Norman?" Aku pura-pura meneka.

          "Awak masih lagi cam suara saya?" Norman bagaikan tidak percaya. Ternyata dia kagum apabila aku masih dapat mengenali suaranya walau lama tidak berhubung melalui telefon.

          "Saya kenal awak bukan sehari dua," aku ketawa kecil. "Kenapa Norman?" Tanyaku selamba. Sejak bertemu dengan Norman di lapangan terbang beberapa minggu sebelumnya, aku telah berjanji pada diriku bahawa sekiranya aku berjumpa dengan Norman sekali lagi, aku akan cuba melayannya seperti kenalan rapatku yang lain.

          Norman tidak segera menjawab, dia terdiam seketika.

          "Norman?" Aku sangkakan panggilan terputus.

          "Boleh saya jumpa awak sebentar Marina?" Pantas Norman memuntahkan pertanyaan. Ada satu tekad dalam suaranya itu, dia seolah-olah mengumpul keberanian dalam diamnya.

          "Ada apa Norman?"

          "Saya ingin bincangkan sesuatu dengan awak," jawabnya dengan tenang.

          Aku tidak segera memberi jawapan, alasan sibuk dengan urusan di Hey aku gunakan sebagai alasan untuk melengah. Dua hari kemudiannya, Norman cuba menghubungiku kembali, namun aku tidak menjawab panggilannya. Bukan sengaja mahu mengelak, aku hanya ingin mengekalkan fokusku di Hey kerana aku tahu panggilan Norman bersifat emosional dan aku boleh terbawa dengan emosi jika tidak berjaga-jaga. Akhirnya, selepas selesai tugasan, aku menghantar pesanan ringkas kepada Norman. Di dalam pesanan itu aku memohon maaf kerana tidak dapat menjawab panggilannya. Setelah menerima maklum balas dari Norman dan berbalas pesanan dengannya, aku bersetuju untuk bertemu dengannya dan kami mengatur janji.

         Dengan perasaan yang berbelah bahagi, aku melangkah menuju ke tempat yang telah dijanjikan. Pada hari tersebut, Norman nampak berbeza. Berbeza dari Norman yang aku jumpa semasa di lapangan terbang. Nampak seperti ada sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya. Pada mulanya, kami banyak mendiamkan diri. Janggal. Itulah perkataan yang boleh aku gunakan untuk menjelaskan situasi kami ketika itu. Kejanggalan yang berlaku apabila ada sejarah gelap antara dua pihak. Namun, perlahan-lahan kami cuba mengayuh.

          "Awak nampak berbeza sekarang, Marina. Nampak lebih gembira dari sebelum ini," Norman membuka bicara.

          "Nampak jelas sangatkah?" Aku meraba-raba wajahku. Pura-pura mencari dari mana datangnya kegembiraan yang dikatakan oleh Norman itu.

          "Ya. Nampak jelas sangat," kata Norman. Dia tertawa dengan gelagatku.

          Perlahan-lahan, perbualan kami menjadi rancak. Bermula dengan kisah kerjaya, kami beralih kepada cerita tentang keluarga, perkembangan rakan-rakan rapat kami dan hal-hal semasa.

          Sepanjang perbualan, Norman banyak tersenyum dan dia nampak begitu menikmati perbualan kami. Namun, pada beberapa ketika, aku dapat lihat yang Norman sebenarnya sedang berkira-kira untuk menyatakan sesuatu yang terbuku dalam hatinya. Dia menunggu masa yang sesuai untuk mengatakannya kepadaku. Norman tidak akan mengajak aku berjanji temu hanya untuk bercerita tentang perkembangan masing-masing. Aku tahu Norman sedang memendam sesuatu.

         Buat seketika, kami berdua diam membisu. Kami kehabisan topik untuk dibicarakan.

         "Norman. Apa tujuan awak ajak saya keluar sebenarnya?" Aku memberanikan diri untuk bertanya.

SferaWhere stories live. Discover now