PETANG itu, Maryam keluar bersama Haq untuk ke pejabat pos. Namun, lelaki itu hanya menghantarnya sehingga ke pejabat pos saja disebabkan ada hal mustahak dengan klien. Katanya, ada klien yang tidak berpuas hati dengan rekaannya.
Maryam tidak ambil pusing. Asalkan dia sudah sampai ke pejabat pos ini dan boleh menghantar pakaian yang dibeli oleh pelanggan di butik Umi Teja.
Pulang nanti, pandailah dia cari Grab atau tahan mana-mana teksi.
Maryam menyelesaikan urusan terlebih dahulu. Di pejabat waktu itu, tidak ramai mana orang yang mahu melakukan penghantaran pos. Jadi, Maryam tidak perlu menunggu lama.
Dia membayar duit pos sebelum urusan Maryam di situ akhirnya selesai. Maryam mengucapkan terima kasih kepada salah seorang pegawai sebelum dia berlalu keluar.
Mata Maryam bersinar-sinar apabila dia baru perasan wujudnya sebuah kedai buku yang kelihatan sudah beroperasi bertahun lamanya. Maryam menolak pintu, memasuki kedai tersebut dengan hati yang girang.
Maryam menghulurkan senyuman nipis kepada salah seorang pekerja dan senyumannya berbalas.
Maryam mula membelek satu persatu buku-buku di kedai tersebut. Memang benarlah tekaannya. Banyak buku-buku lama yang terjual di sini. Ada juga buku keluaran terbaru namun tidak banyak mana.
Ada tulisan Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Buya Hamka dan ramai lagi penulis-penulis di zaman terdahulu membuatkan Maryam benar-benar tertarik.
Patutlah nama kedai ini Memori Buku. Maryam membelek buku yang bertajuk Langit Lukisan Tuhan, sebuah karya Jiwa Faqeer. Muka surat pertama diselak.
Aku renung langit lukisan Tuhan,
pelbagai hikmah yang Dia sembunyikan.
Aku renung kalimah Tuhan,
pelbagai makna yang mereka salah
ertikan.
Aku renung dia yang dicipta Tuhan,
begitu manisnya senyuman puan.Automatik Maryam senyum lebar hingga ke telinga. Pasti penulis menceritakan tentang isterinya. Dia mahu membeli buku ini! Walaupun muka suratnya telah menguning dan kusam, dia tetap mahukan.
Muka surat keempat pula diselak.
Seribu kali aku terjatuh lemah,
sejuta kali aku bangkit gagah,
selagi kudrat masih tersisa,
sehingga penghujung aku tetap mencuba.Puas membelek buku tadi, barulah Maryam perasan ada sekeping kad yang diselitkan di celahan muka surat.
The best poem that I've read so far. Love it so much. Sangat nostalgia dan menggamit kenangan. Met Faqeer somewhere, the author himself is a wise person. If you love poem, you really need to read this!
HY - 200315
Maryam anggukkan kepala berulang kali. Maksudnya, HY ni siapa? Pemilik buku inikah? Jadi, ini buku preloved sebenarnya. Maryam abaikan segala tanda tanya. Dia terus saja melangkah ke arah rak lain.
Setelah memilih buku-buku yang berkenan di hati, Maryam membuat pembayaran di kaunter. Setelah selesai mengimbas, buku-buku barunya diletakkan di dalam beg kertas.
Maryam melangkah keluar dan serentak itu ada seorang lelaki yang memakai topi berwarna hitam menutup sebahagian wajahnya turut melangkah masuk. Bukan topi saja hitam, baju, seluar dan kasut pun semuanya hitam.
YOU ARE READING
yunus buat maryam©
Romantizm"Kita adalah pertemuan yang disengajakan oleh semesta." Maryam Humaira, dia seorang gadis yang penuh dengan luka. Kehidupannya tak ada yang indah, hanya berpaksikan duka. Asal usulnya daripada keluarga yang berantakan, seolah semesta tidak memperso...