Bab 22

1.4K 31 2
                                    

"Sebenarnya...Leesa dah kahwin," perlahan kejujuran meniti di bibir Nini seraya pandangannya hanya menunduk merenung lantai.Tidak sanggup untuk melihat wajah kedua orang tuanya.Sungguh perit untuk mengakui perkara sebenar namun itulah yang dihadapinya sekarang.

Terkedu Encik Nairiel dan Puan Elys sebelum memandang sesama sendiri.Lontaran kata daripada Nini membuatkan mereka bingung.

"Apa awak cakap ni dik? Kahwin? Leesa merepek apa ni?" berkerut dahi Eian mendengar pernyataan yang disampaikan oleh adiknya.Eian juga turut keliru dengan apa yang baru didengarinya.

Nini memejamkan mata buat seketika.Dia tidak mahu meneruskan semua ini namun dia harus tetap kuat.Kejujuran tetap harus diakui walaupun terkadang kejujuranlah yang memusnahkan kebahagiaan.

"Leesa tak merepek abang Eian.Leesa dah hampir 3 bulan kahwin.Leesa tak balik rumah ini lama sebab Leesa takut nak berdepan dengan semua.Leesa tak sedia nak beritahu semua yang Leesa dah bernikah.Maafkan Leesa semua sebab Leesa rahsiakan dari mama,abah dan abang," jelas Nini dituruti dengan getaran bibir bersama takungan air mata yang bakal membanjiri pipinya.

Terkedu sekali lagi kesemua ahli keluarga Nini yang berada di situ.Mereka seakan-akan tidak percaya namun melihatkan cara Nini,mereka yakin Nini tidak main-main.Lagipula,ini adalah soal masa depan,tidak mungkin Nini mahu main-main.

"Siapa suami Leesa?" tanya Eian yang masih lagi terkejut dengan berita tersebut.Tidak menyangka setelah lama Nini tidak pulang,dan tiba-tiba saat memunculkan diri berita ini yang harus dia dengari dari adiknya itu.Kenyataan yang benar-benar membuatkan seorang insan yang bergelar abang bingung dan tidak percaya.

"Saya.Saya Edean Nadhif,suami Nini," jawab Edean dengan tenang.Bebola matanya menentang mata ibu bapa mertuanya.Jika Nini takut,dia harus berani.Walau apa pun yang terjadi,Nini tetaplah isterinya.

Tanpa berfikir lagi,pantas Puan Elys bangkit dari duduknya lalu menuju ke arah anak bongsunya.Dengan lajunya dia mengangkat tangan kanannya untuk menampar pipi Nini namun ternyata Edean lebih cekap menahan tangan wanita separuh usia itu dari menyentuh pipi isterinya.

"Mama! Tolong jangan tampar isteri Ed.Nini isteri Ed,anak mama," lembut Edean memujuk sebelum perlahan-lahan tangan Puan Elys jatuh ke sisi.

Jatuh air mata seorang ibu.Puan Elys tidak sangka anak perempuannya yang bagai ditatang minyak yang penuh itu sanggup mengkhianati dirinya dan suaminya.Pelbagai perkara negatif sudah memenuhi ruang mindanya.

"Kenapa Leesa...kenapa adik buat mama macam ini...kenapa Leesa kahwin tanpa beritahu keluarga Leesa sendiri..." soal Puan Elys sayu bersama tangisan yang kian mengesak.Lemah jantungnya apabila mendengar pengakuan anak gadis nya itu.

"Mama...maafkan Leesa ma..Le..Leesa ada sebab sendiri mama..." teresak-esak Nini menangis lalu meraih tangan ibunya namun ditepis perlahan oleh Puan Elys.

Melihatkan keadaan itu,Encik Nairiel bangkit sebelum berlalu ke arah isteri dan anaknya.Begitu juga Eian.Bahu Puan Elys dipeluk erat oleh Encik Nairiel.

"Sampai hati Leesa buat kami macam ini.Tak kiralah apa pun sebabnya Leesa perlu beritahu kami.Leesa ada buat perkara tak elok ke belakang kami?" pertanyaan dari Eian mendapat gelengan laju dari Nini.

"Tak abang...Sumpah Leesa tak buat perkara yang tak elok," nafi Nini yakin.Dia tahu pasti keluarganya akan fikir bahawa dia membuat perkara tidak elok.Semakin kuat tangisan Nini.Pantas Edean memegang erat tangan isterinya.Dielus lembut tangan kecil itu bagi menyalurkan kekuatan.

"Habistu—"

Belum sempat Eian menghabiskan bicaranya,Puan Elys memotong.

"Siapa kami ini Leesa? Siapa mama dan abah bagi Leesa? Kami ini tak penting ke bagi Leesa sampai Leesa boleh belakangkan kami?" laju air mata Puan Elys jatuh.Terluka hebat hatinya apabila satu-satunya anak perempuannya mengabaikannya begitu sahaja sehingga sanggup merahsiakan perkahwinan.

Dia Yang TerakhirWhere stories live. Discover now