Beep... beep... beep...
Nyawaku kini hanya disokong oleh mesin di sebelahku. Doktor baru sahaja memberikan aku ubat bagi mengurangkan kesakitan. Mendengar taklimatnya kepada doktor-doktor pelatih, aku mungkin akan pergi selamanya pada lewat malam ini.
Haahhhhh...hidupku banyak dihabiskan pada kerja yang sampai mati pun tidak akan habis. Tidak menjaga kesihatan sejak dari muda, sehinggakan aku akhirnya dikejarkan ke wad.
Adakalanya, aku teringat kembali akan peluang-peluang yang aku tidak perasan sewaktu muda dahulu. Saat-saat manis yang membuatkan aku tersenyum seorang diri bila mengingatkannya.
Aku selalu mengongsikan cerita tersebut kepada pekerja-pekerja perubatan serta sukarelawan yang datang menjagaku. Beberapa kali juga aku diberikan amaran kerana melakukan gangguan seksual secara lisan dengan cerita-ceritaku itu.
Adakalanya, aku teringatkan kesilapan hidup yang pernah aku lalui dahulu yang mana telah merosakkan kebahagiaan hidupku. Detik-detik hitam yang membuatkan aku rasa geram dan marah setiap kali teringatkannya.
Haahhh...hahh...nafasku semakin berat...kesedaranku juga terasa semakin pudar. Oh...mungkin inilah masanya...
Tuuutttttttt...
Mesin life support hanya menunjukkan garis lurus secara berterusan. Doktor bertugas merekodkan tarikh kematian pesakit pada jam 9:27 malam.
********************
“Huish...panasnya. Sampai berpeluh-peluh ni. Memang patut panas macam ni ke?” tanyaku sendirian.
Perlahan-lahan aku membukakan mata, hatiku berkata, ‘aku macam pernah tengok siling ni’.
Seterusnya aku bangun terduduk, mataku memerhatikan sekeliling di mana aku berada. Tanganku pula menepuk-nepuk tilam yang sedang kududuk.
“Pelik...badan aku rasa macam...ringan? Dada aku pun rasa macam tak susah nak bernafas,” kataku sendirian.
Aku cuba bangun, berdiri dengan kedua-dua kaki. Lutut kiriku tidak sakit? Aku mengalami kecederaan lutut ketika mengikut kawan bermain ragbi di kolej.
Huh, kawan? Kawan yang mengabaikan aku begitu sahaja sebaik aku dapat kecederaan pada lutut. Kecederaan itu menyukarkan aku untuk melakukan hubungan seks. Apabila usiaku menjangkau 30 tahun, aku perlu berjalan dengan sokongan tongkat.
Eh? Aku kenal kipas angin berdiri ini. Bapaku pernah membelikan kipas angin berdiri sama seperti ini. Jenama ini pun sudah lama tidak ada di pasaran. Kipas angin yang sangat tahan. Tetapi sayang, kipas itu dibuang begitu sahaja oleh Pak Lang.
Tap! Tap!
Aku cuba menekan beberapa butang kelajuan pada kipas angin tersebut, tetapi kipas masih tidak berjalan. Mataku memeriksa plug pada dinding, sepatutnya tidak ada apa-apa masalah. Seterusnya, tanganku memetik suis lampu pula, juga tidak menyala.
Sah! Tidak ada elektrik. Tapi, zaman bila pula ni? Sudah lama tidak berlaku blackout di Kuala Lumpur.
Tanpa membuang masa, aku terus membuka satu-satunya pintu di hadapanku. Seorang lelaki berusia lewat 40an sedang duduk di atas kerusi sambil melipatkan sebelah kakinya. Tangannya laju sahaja mengipas tubuhnya yang tidak berbaju menggunakan surat khabar lama.
YOU ARE READING
RE: Semula - A New Beginning... [Complete]
Short StoryApakah yang anda akan lakukan sekiranya suatu hari anda kembali ke masa lampau? Apa yang akan anda ubah? Faris sering bercerita tentang masa mudanya kepada pekerja-pekerja perubatan dan juga kepada sukarelawan yang menjaganya. Kekesalannya di atas...