RE 18 - Khai

2.6K 27 0
                                    

Yati membuat muka terpaksa. Tiada apa-apa yang dapat dikatakannya lagi kerana sememangnya Pak Lang yang meminta aku untuk mengambilnya.

Jauh di seberang jalan, aku sudah perasan dari awal lagi yang Khai tidak jadi datang ke hadapan restoran tersebut sebaik melihat aku berbual dengan Yati. Apabila Yati menaiki motosikalku, dia terus menepuk kuat topi keledar di dalam bakul motosikalnya.

"Peluklah kuat-kuat...bukannya orang lain pun," kataku menggoda Yati dengan tujuan memanaskan lagi hati Khai.

Yati mencubit manja badanku sebelum memeluk rapat serta menyandarkan kepalanya di belakangku. Aku terus menjeling ke arah Khai, dia dilihat sedang menghempas topi keledarnya.

Setelah berpuas hati, aku terus memulaskan throttle dan membawa Yati pulang ke rumah.

Oleh kerana sekolah tidak jauh dan aku boleh berjalan kaki sahaja, aku meletakkan kunci motor di rak televisyen.

Aku memberitahu, "Pak Lang kalau nak guna motor saya untuk hantar Yati, guna jelah".

Ayat yang mengharukan Pak Langku. Dia ingat aku akan menaruh dendam terhadap layanan serta apa yang dikatakannya kepada aku dahulu.

Jika diikutkan, hatiku sememangnya masih bengang lagi dengan Pak Lang. Tetapi, aku terpaksa melakukan semua ini bagi mengurangkan Yati berjumpa dengan Khai.

Pagi atau tengahari Pak Lang akan menghantar Yati ke tempat kerja. Manakala, petang atau malam giliranku pula mengambil Yati dari tempat kerja.

Oleh kerana Yati tidak mempunyai telefon bimbit, segala-galanya menyukarkan lagi kerja Khai. Ditambah pula dengan hutangnya yang semakin meningkat dari hari ke hari kerana bunga yang dikenakan. Dia semakin terdesak.

Suatu hari, sewaktu aku sedang menunggu Clara pulang dari sekolah, tiba-tiba motosikalnya berhenti di tepi jalan. Dia berjalan laju ke arahku yang sedang duduk makan di gerai buah.

Laju sahaja tangannya mencengkam serta menarik kolar bajuku sambil berkata, "kau kenapa kacau awek aku? Kurang sangat ke perempuan dalam dunia ni?"

Dengan bersahaja aku menjawab, "bapak dia yang suruh aku ambil. Kenapa kau tak pergi gegar bapak dia?"

"Kau tu siapa dengan dia? Nak sibuk-sibuk ambil dia dari tempat kerja?" marah Khai sehingga bersembur air liurnya.

"Aku? Aku kan tinggal serumah dengan Yati? Tak percaya, kau pergilah tanya bapak dia," jawabku dengan tenang.

Khai bertambah berang, terus mengangkat topi keledar di tangannya untuk dihayunkan ke arahku. Mulutnya berkata, "babi, ka..."

Belum sempat dia menghabiskan katanya, tangannya yang memegang topi keledar itu telah ditahan Steven.

"Apa babi-babi ni, bang? Babi mahai tau tak?" tanya Steven.

Khai terus pucat melihat Steven serta konco-konconya telah pun mengepungnya. Aku dengan tenang, duduk semula serta sambung memakan buah.

"Kau punya hutang, bunga sudah banyak. Lagi mau tunjuk samseng sama saya punya kawan?" tanya Steven sambil menepuk dada Khai.

Khai terus melutut. Dengan nada perlahan dia berkata, "nanti aku bayar kau perlahan-perlahan".

"Ooohhh...dia kata bayar perlahan-lahan..." kata Steven sambil tergelak serta memandang ke arah konconya di kiri dan kanannya. "Kau mau beli itu barang, pinjam duit aku laju saja? Bila bayar mau perlahan-lahan macam siput?"

Steven hanyalah pemiutang baharu yang dipinjamnya. Dia juga meminjam banyak wang daripada Mus serta daripada kumpulan Cyclone. Gajinya kini sudah tidak mampu lagi untuk menampung kesemua hutang-hutangnya.

RE: Semula - A New Beginning... [Complete]Where stories live. Discover now