PANG!
Penampar Pak Lang hinggap di pipi Yati. Inilah kali pertama telapak tangannya singgah di pipi anaknya. Ini juga tidak pernah terjadi di dalam kehidupanku yang lalu.
"Kau jangan nak kurang ajar dengan aku! Aku bapak kau, aku lagi tau apa yang terbaik untuk korang berdua!" bentak Pak Lang sambil jari telunjuknya dihalakan ke arah muka Yati.
Yati memandang tajam merenung muka bapanya yang selama ini tidak pernah naik tangan ke atas dirinya serta adiknya. Semua hanya kerana dia mempersoalkan mengapa Faris tidak mendapat satu sen pun daripada harta peninggalan datuk.
Dengan nada menggeletar Yati berkata, "Yati cuma nak buat apa yang betul saja. Kalau itu tak betul pada mata bapak, Yati tolak harta Atuk".
Pak Lang terkejut mendengar apa yang dikatakan Yati. Belum sempat dia meninggikan suaranya lagi, Yati telah melanggar badannya dan berjalan keluar meninggalkan rumah.
Tidak lama kemudian, Nora bangun mengikut jejak langkah kakaknya. Sebelum melangkah keluar dia sempat berkata, "sama macam kakak, Nora pun tolak harta Atuk..."
"Kurang ajar..." ucap Pak Lang sambil mencari-cari sesuatu untuk dilibaskan kepada anak perempuannya.
Tetapi bapaku segera menghalang tangan adiknya yang panas baran itu serta menyebarkannya, "sudah-sudahlah Alang, nanti-nanti diorang fahamlah".
Mata Pak Lang memandang ke arahku pula, mangsa seterusnya. Dengan perasaan marah dia berkata, "ni semua salah kau! Bawak sial dalam keluarga aku ni. Kalau kau mampus lagi baiklah!"
Aku mengeluh panjang sambil menggelengkan kepalaku. Bapaku tidak berkata apa-apa untuk membelaku selepas mendengar apa yang dikatakan Pak Lang.
Perkara yang sama juga terjadi di dalam kehidupanku dahulu, tetapi ketika itu aku tidak dibela sesiapa. Malah, aku juga dihalau Pak Lang dan juga bapaku sendiri.
Aku bingkas bangun berdiri di hadapan Pak Lang dan berkata, "dahlah...cakap banyak pun tak guna. Korang ingat aku hadap ke harta orang tua tu".
"Eh, kau kurang ajar!" marah Pak Lang sambil tangannya cuba menamparku.
Tetapi aku terlebih dahulu menampar kuat tangannya sehinggakan dia hilang kestabilan badan dan jatuh terduduk.
Tiba-tiba tangan bapaku pula menolak badanku sambil mulutnya berkata, "kau ni memang anak tak mengenang budi. Macam ni kau buat dekat Pak Lang kau?"
"Yelah...aku je yang salah. Patutnya aku berdiri je macam batang kayu biarkan apa yang korang nak buat," ujarku sambil memandang kesemua adik-beradik bapaku yang lain.
Aku benar-benar hilang hormat kepada mereka semua, perasaanku kecewa. Biarpun aku mendapat keputusan yang cemerlang di dalam SPM, tetapi aku tetap bukan sesiapa di mata keluargaku sendiri.
Memanglah aku tidak hadap harta peninggalan datuk kerana aku mempunyai jalanku sendiri bagaimana hendak mencari hartaku nanti.
'Haaaahhhh...' aku mengeluh di dalam hati sambil melangkah masuk ke dalam bilik bagi mengemas pakaianku serta buku-buku nota rahsiaku.
Perkara sebegini terjadi dua hari sebelum aku perlu melaporkan diri untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Tidak mungkin aku boleh terus tinggal di sini lagi selepas apa yang berlaku. Apa lagi meninggalkan barang-barang yang penting bagiku.
Sambil aku berjalan menuju ke arah pintu keluar, bapaku bangun dan berkata, "Faris, mulai hari ini, kau bukan lagi anak aku!"
"Baguslah...jangan lupa mati nanti bawak sekali harta masuk dalam kubur," balasku sambil menghentikan langkahku seketika.
YOU ARE READING
RE: Semula - A New Beginning... [Complete]
Historia CortaApakah yang anda akan lakukan sekiranya suatu hari anda kembali ke masa lampau? Apa yang akan anda ubah? Faris sering bercerita tentang masa mudanya kepada pekerja-pekerja perubatan dan juga kepada sukarelawan yang menjaganya. Kekesalannya di atas...