Catatan faedah kuliah subuh akhir Allamah Al-Habib Umar ben Hafidz di Malaysia pada tahun ini. Kehadiran masyaAllah, lebih 10,000 jamaah :
Al-Habib Umar membahaskan faedah ke-5 dari kitab beliau mengenai tasawwuf mengenai tawadhu, sifat menghisab diri dan penyakit hasad.
Al-Habib membahas mengenai mereka pada hari ini suka menunjukkan sifat tawadhu dari segi zahir dengan menggelarkan diri mereka sabagai Al-Faqir (miskin di sisi Allah), Al-Muznib (seorang pendosa di sisi Allah) dan Al-A'si (bermaksiat di sisi Allah) kerana ingin menunjukkan sifat kerendahan pada mereka. Pada hakikatnya apabila orang lain memanggil mereka dengan gelaran tersebut, mereka marah dan bengis dengan panggilan tersebut kepada mereka. Hakikat orang begini hanya berbohong dalam bertawadhu' tetapi sebenarnya mereka mengharap kemuliaan .
Tawadhu' itu pada hakikatnya, kata Al-Imam Ghazali bukan pada zahir tetapi pada hati hingga mereka ini tidak merasa beda apabila orang memuji mereka dan merendahkan atau mencerca mereka.
Orang yang paling tawadhu' diantara semua manusia itu adalah Sayyidina Rasul. Hinggakan apabila Allah bertanya kepada baginda, apakah yang baginda inginkan, baginda hanya minta untuk menjadi seorang hamba. Rasul memang sewaktu hidup baginda menunjukkan sifat seorang hamba dengan menjahit pakaian baginda sendiri, memasak untuk keluarga baginda dan hidup biasa seperti seorang hamba. Inilah sebenarnya hakikat seorang tawadhu'. Menggelarkan dirinya sebagai hamba pada masa yang sama memang hidup seperti hamba. Maka Allah tinggikan darjat Baginda Nabi kerana sifat tawadhu'nya nabi.
Habib Umar membawa kisah Imam Abu Yusof anak murid kepada Imam Abu Hanifah. Beliau mengatakan, "apabila aku hadir ke suatu majlis dan mau dimuliakan di majlis tersebut, aku tidak diangkat malah direndahkan dalam majlis tersebut. Tetapi apabila aku hadir ke majlis dengan tidak ada harapan dan mau direndahkan, di situlah aku diangkat dan dimuliakan."
Al-Imam Haris Al-Muhasibi digelar sebagai Al-Muhasibi (penghitung) karena terkenal sebagai orang yang suka menghitung mengenai diri sendiri setiap harinya . Malah kata Habib, pada setiap masa. Kerana itu beliau diangkat di sisi Allah. Sedangkan manusia pada hari ini digelar sebagai penghitung (muhasib) karena mereka terkenal dengan menghitung harta, kebendaan dan keduniaan. Mereka begini tercela di sisi Allah. Kerana hitungan di sisi Allah itu adalah mereka yang menghitung kesalahan diri mereka sendiri bukan kebendaan material. Sepertimana hadis yang masyhur, "hitunglah kesalahan diri kamu atas dunia sebelum kamu dihitung di akhirat".
Habib membawakan kisah seorang yang berkhalwat dan beribadah selama 60 tahun mengharapkan doanya diterima di sisi Allah, tetapi setalah 60 tahun, doanya masih tidak diterima. Apabila beliau keluar dari khalwat dan mulai menghitung kesalahan diri kenapa doanya tidak diterima, barulah dia sadar akan banyaknya kesalahannya.
Allah menurunkan wahyu kepada seorang Nabi di zaman tersebut untuk berjumpa dengan dia dan beritahu bahwa, dia menghitung kesalahan dirinya sendiri itu lebih baik dari ibadahnya selama 60 tahun dan karena dia membuat hitungan diri, barulah Allah maqbulkan segalanya doa dan permintaannya.
Habib juga mensyarahkan tentang penyakit hasad itu seperti pisau mencukur rambut. Penyakit itu akan mencukur diri manusia seluruhnya sepertimana pisau mencukur rambut. Betapa bahayanya sifat hasad ini. Hasad ini hadir kerana membandingkan diri dengan manusia yang lain.
Kata Habib, putus asalah dengan manusia dan letaklah pengharapan kepada Allah. Kerana makhluk tidak dapat menjatuhkan atau menaikkan kamu kecuali dengan izin Allah. Maka tanamlah sifat putus asa ini kepada makhluk hanya berharap kepada Allah sebaik-baik pertolongan.
Asal iblis itu tidak bersujud kepada Saidina Adam adalah kerana hasadnya dia kepada Nabi Adam. Kerana itulah iblis dicerca dan dihina Allah malah Allah masukkan iblis ke dalam neraka karena sifat tersebut.
Ada hasad yang dibolehkan dalam Islam yaitu hasad melihat kepada insan lain yang lebih taat kepada Allah.