Bab 14

1.4K 139 6
                                    

PINGGAN yang kosong di depan ditolak ke tengah meja. Air kopi o panas dihirup perlahan-lahan. Terasa suam saja minuman itu menuruni esofagusnya.

Jemari itu masih tidak henti mengetik di skrin telefon pintar. Sesekali terkeluar decitan dari bibir dek kerana kegeraman.

Pergi mana pula budak ni, orang call tak jawab.

Sekali lagi nombor adiknya didail, tapi kali ini nombor Mustaqim.

"Hello, assalamualaikum Mus. Kau kat mana sekarang?"

"Waalaikumsalam bang, Mus ada latihan hoki di sekolah. Kenapa call?" Wajah yang berpeluh dilap dengan tuala kecil. Punggung dilabuhkan ke bangku sebelum kayu hoki dibaringkan ke bawah.

"Abang call Ji, dia tak jawab. Dia okay ke?"

"Okay la kot, manalah Mus tahu. Mus ada kat sekolah tau, bang. Bukan di rumah. Kenapa cari Ji tu?" Berkerut dahi Mustaqim menjawab persoalan abangnya.

"Abang nak minta Ji masakkan mi kari, teringin." Tergelak kecil Zhafran dengan ayatnya itu.

"Mengidam macam orang mengandung. Abang kat mana sekarang?" Kepala digelengkan beberapa kali.

"Biasalah bakal pengantin." Sengih. "Abang dah nak sampai, cuma sekarang berhenti makan kejap di RnR. Mungkin petang karang, kau nampaklah muka abang yang hensem ni."

"Ergh, apa-apa je lah. Hati-hati bawa kereta, ingat sikit diri tu darah manis." Pesan Mustaqim.

"Eh tahu pula kau tentang darah manis?"

"Mus kan cucu kesayangan Nek Timah." Katanya sebelum ketawa kuat. Apa yang lawak pon tak tahu.

"Ya la tu."

"Dahlah bang, ciao dulu. Nak kemas barang, nak balik."

"Okaylah, bye. Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam."

Serentak itu, Zhafran menghabiskan sisa minumannya sebelum meneruskan langkah ke keretanya. Dia perlu segera bertindak. Lagi cepat sampai, lagi cepat dia dapat merasa makanan adiknya.

Hati berdendang gembira.

Dia sepatutnya pening memikirkan barangan hantaran yang perlu disiapkan pada minggu ini. Namun, kepalanya hanya memikirkan mi kari Zinnirah saja.

Parah ni, parah.

Pada masa yang sama, Mustaqim terus bangun dan membawa kayu hokinya untuk disimpan di bilik sukan. Tinggal dia seorang saja di situ, yang lain sudah pulang.

Ya lah, siapa ja mahu berlamaan di sekolah pada hari sabtu? Dia pun tak nak tapi mengenangkan perlawanan akhir hoki yang bakal tiba selepas cuti penggal nanti, Mustaqim hanya turut arahan jurulatihnya.

Kriukkkk.

Perut yang berbunyi disentuh perlahan. Sabar wahai perut, sampai rumah kita melantak apa yang Ji masak.

Jam di pergelangan tangan kiri dilihat. 1.37 petang bermakna sudah masuk waktu zuhur. Surau dikunjungi untuk menunaikan solat sebelum dia bergerak pulang ke rumah.

Tak sabar nak rehat.

-----

"Assalamualaikum." Salam diberi sebelum kunci motor disangkut di belakang pintu. Kelibat mamanya yang tertidur di ruang tamu menyapa mata muda itu.

Mustaqim tersenyum kecil sebelum mendekati Puan Khalidah. Bahu wanita itu disentuh dan digoyangkan perlahan.

"Ma, bangun. Dah solat ke?"

Terpisat-pisat wajah tua itu bangun daripada tidurnya. Bibir tersungging senyuman kecil apabila melihat wajah Mustaqim, anak kecil kesayangannya.

"Mus, dah balik?"

"Baru sampai je ma. Mama dah solat?"

Soalannya itu dibalas dengan gelengan Puan Khalidah. Dia tertidur selepas penat mengerjakan Zinnirah. Awalnya dia cuba menyejukkan hati di bilik tidur tapi tidak berjaya dan akhirnya dia tertidur dengan tv yang terbuka di situ.

"Kalau macam tu, mama pergi solat. Mus nak mandi, lepastu kita makan sekali."

Kedua-dua tangan dihulurkan ke arah anaknya sehingga kedua-dua kening Mustaqim hampir bertautan dek kerana pelik. Dah kenapa pula ni?

"Tariklah mama kejap, sakit ni urat pinggang nak bangun."

Mustaqim hanya meng'oh'kan ayat Puan Khalidah sebelum menarik bangun mamanya itu. Mereka berdua tertawa gembira buat seketika.

"Ada aje mama ni. Dahla, Mus mandi dulu."

Mustaqim terus berlalu mengambil tuala sebelum bergerak ke bilik air. Pintu stor yang terbuka mengalihkan arahnya daripada tandas ke stor itu.

Kayu hokinya yang sepatutnya terletak elok di dalam rak besi itu terdampar di tengah-tengah stor. Dahi berkerut namun kayu hoki tetap dicapai dan dikembalikan ke tempat asal.

Pintu stor ditutup dan bilik air ditujuinya.

"Ha cepat Mus, mama dah perhangat asam pedas ayam ni. Jom makan sama-sama."

"Okay kejap, ma." Rambut yang basah dilap dengan cepat menggunakan tuala sebelum disangkut di kerusi. Biar serabai asal perut dia dapat dipenuhi terlebih dahulu.

"Ji tak makan sekali? Kejap Mus panggil." Baru saja dia mahu mengangkat punggung, ayat mamanya menyebabkan dia terduduk kembali.

"Tak perlu, dia dah makan tadi. Dah, cepat makan."

Pelbagai cerita dikongsikan Mustaqim kepada Puan Khalidah. Kadang-kadang, terselit tawa kecil mereka.

Zinnirah yang mendengar dari dalam bilik hanya mampu menahan tangis.

Bila mama dapat ketawa sebahagia itu bersama aku?

Selimut ditarik menutupi dadanya. Badannya sudah tiada daya, lebam semakin membiru tapi dia tidak mampu meletakkan ubat.

Kaki yang tertusuk kaca hanya sempat diletakkan minyak gamat. Darah tidak sempat dicuci.

Badannya menggigil kesejukan dan kesakitan. Bibir menggelatar dan membiru. Matanya dipejam erat ketika dunia seperti berpusing laju.

Ya Tuhan, angkatlah sakit ini.

Erangan sakit tidak meninggalkan bibirnya.

Sakit. Sakit. Sakit.

Tiba-tiba dunianya kelam. Zinnirah pengsan dalam tidur.

Hilangkanlah rasa sakit ini, Ya Allah.

SEMI;KOLON [✔]Where stories live. Discover now