BADAN Zinnirah terbongkok-bongkok mengutip telur itik yang bergelimpangan di atas tanah lembap di belakang rumah Nek Timah itu. Plastik biru yang dipegang hampir penuh dengan telur itik itu. Subur betul itik ni, setiap hari mesti ada telur yang tergolek.
Tubuh kembali ditegakkan sebelum pinggang yang lenguh diketuk perlahan dengan belakang tangan. Kaki melangkah ke arah Nek Timah yang santai duduk di atas pangkin sambil memerhatinya dari jauh.
"Nekkkk, hari ni telur lagi banyak dari semalam. Ada 15 biji, nek." Plastik itu diletakkan dengan penuh berhati-hati di sebelah neneknya sebelum dengan pantas dia berlari ke arah paip untuk mencuci tangannya yang sudah kotor.
"Kamu dah tutup reban tu, Zinnirah?" Tanya Nek Timah lalu mengikat plastik itu dengan cermat.
"Sudah siap! Jangan risau, ini Zinnirah lah nek. Nenek boleh harapkan Ji dalam semua benda." Zinnirah mendabik dada sebagai gurauan sebelum menghamburkan tawanya apabila melihat wajah menyampah Nek Timah itu.
"Malas aku nak melayan kamu ni." Kata Nek Timah seraya menghirup air kopi pekatnya.
Zinnirah dengan pantas mencapai karipap yang dibuatnya tadi dan dengan lafaz basmallah, dimasukkan ke dalam mulut. Matanya terpejam menikmati kelazatan inti kari daging bersama kentang itu. Sedapnya!
"Nek, sedap tak karipap yang Ji buat ni? Pertama kali tau Ji buat karipap." Tanya Zinnirah dengan penuh semangat sebelum dia mengambil sebiji lagi kuih karipap itu dan makannya dengan penuh berselera.
"Sedap, apa yang kamu buat semuanya sedap. Memang betul-betul cucu aku ni. Tangan tu hebat, buat apa pun menjadi." Seusai itu, Nek Timah terus membelek tangan dan jemari cucunya.
"Alhamdulillah, baka Nek Timah tidak mengecewakan." Zinnirah kembali berseloroh.
"Gatal lagi ke tangan tu? Asyik tergaru-garu je aku tengok kamu ni." Lengan gadis itu yang merah dan calar-balar diperhati lama oleh mata tua itu sebelum mengusap perlahan. Dia tidak tahu bagaimana rasa sakit yang cucunya rasa sepanjang menghidap penyakit itu tapi apa yang selalu dia nampak, Zinnirah seorang yang sangat ceria. Tidak pernah sekali pun dia menunjukkan rasa sakit itu kepada neneknya. Mungkin tidak mahu menambahkan kegusaran pada hati tua itu.
"Lengan ni memang akan sentiasa rasa gatal, nek. Sebab SLE Ji ni serang kulit. Nenek janganlah risau, cucu nenek ni sado tau. Tengok ni, sejak duduk dengan nenek, makin naik berat Ji. Steroid satu pasal, masakan nenek lagi satu pasal. Bila Ji boleh diet ni, nek?" Zinnirah memicit pipi tembamnya demi membuktikan yang berat badannya memang telah naik.
Lagipun, ubat steroid itu memang selalu merangsang nafsu makannya. Dia sudah tidak mampu menolak kerana makanan di hadapan mata selalu melelehkan air liurnya. Maaf ya diet, kita set appointment di lain hari.
"Ubat jangan sesekali tinggal, aku tak sanggup nak tengok kamu sakit. Malam nanti aku tolong sapukan ubat di lengan ni ya?" Suara itu kedengaran sedikit bergetar namun Zinnirah hanya mengabaikannya. Kalau dilayan, mahu banjir mereka berdua di situ.
"Penyakit Ji ni tak sakit pun lah, nek. Doktor tu yang beria bagi Ji makan ubat banyak. Jadi, nenek janganlah risau. Ji ni kuat, tubuh nenek yang kurus keding ni pun Ji boleh kendong, usung satu kampung." Zinnirah tergelak kecil dengan ucapannya sendiri. Bengong sangat ayat kau ni, Zinnirah.
Tawa Zinnirah terhenti apabila melihat pipi yang berkedut itu sudah dibanjiri air mata. Terus Zinnirah mendekatkan dirinya pada Nek Timah, bahu tua itu dipeluk. Pipi itu dielus untuk menghapuskan air mata yang masih bersisa.
"Janganlah nangis, nek. Tak fasal Ji dah jadi cucu derhaka sebab jatuhkan air mata nenek. Nenek ni, tak sado pun macam Ji. Cuba jadi sado sikit, barulah hensem." Usik Zinnirah sebelum dia menjadi mangsa cubitan ketam Nek Timah itu.
"Aduh, sakitlah nekkkk." Rengek Zinnirah sebelum mengusap laju pehanya.
"Orang tengah sedih, dia suka main-main. Itu makan dia."
"Ji tak nak nenek sedih tentang penyakit Ji ni, nenek perlu ceria barulah tenang hidup seorang Zinnirah." Zinnirah mengjungkitkan keningnya berkali-kali sebelum tersengih memandang wajah cemberut neneknya.
Eh comel betullah, rasa nak gigit!
"Kalau boleh, aku nak tukar badan dengan kamu Zinnirah. Biar aku yang rasa sakit kamu tu. Kamu tu masih muda untuk hadap penyakit durjana ini. Masih banyak lagi benda yang kamu nak buat tapi penyakit ini menjadi penghalangnya, Zinnirah. Aku tak sanggup nak tengok cucu kesayangan aku sakit sebegini." Kata-kata menggetarkan jiwa Zinnirah. Mata mula berkaca namun ditahan.
"Ji kalau boleh tak nak sesiapa pun yang rasa sakit ni, nek. Biar Ji seorang yang tanggung penyakit ni. Mana mungkin Ji nak pindahkah sakit ini kepada orang yang Ji sayang? Mungkin Ji sihat tapi jiwa Ji akan sangat sakit kalau lihat nenek terlantar sakit. Ji tak sanggup nek. Sebab itulah, Allah takdirkan Ji yang dapat penyakit ni. Sebab Allah tahu Ji mampu, kan nek? Ji kuat, jadi nenek pun kenalah kuat untuk Ji. Ji hanya ada nenek je untuk bermanja." Seraya itu, Zinnirah terus melabuhkan kepalanya pada riba Nek Timah. Dia cuba menyembunyikan matanya yang hampir menjatuhkan mutiara jernih itu.
Dia sebak. Masih ada insan dalam keluarga itu yang betul-betul menyayangi dirinya yang banyak membawa masalah ini.
Kepala yang berlapik tudung sarung terasa diusap lembut oleh Nek Timah. Keadaan menjadi sunyi, hanya kedengaran suara angin yang bertiup sayu.
"Aku sayang kamu, Zinnirah. Kamu satu-satunya cucu perempuan yang aku ada. Aku harap aku sempat lihat kamu bahagia nanti." Kepala ditundukkan sebelum tepi kepala cucunya dicium penuh syahdu.
"Ji pun sayang sangat dengan nenek. Nenek jangan tinggalkan Ji tau? Ji nak bawa nenek tinggal rumah besar dengan Ji nanti." Kata Zinnirah sambil menyapu air mata yang masih bersisa di pipi gebunya.
Nek Timah hanya mengangguk kepalanya lemah.
"Nenek janji dengan Ji."
"Ya, janji."
"Pinky promise dulu," Terus Zinnirah mengaitkan jari kelingkingnya dengan jari Nek Timah dengan senyuman nipis.
Ji sayang nenek sangat-sangat...
Adakah melampau jika dia mengharapkan situasi ini akan kekal sampai bila-bila? Dia hanya menginginkan belaian dan kasih sayang daripada Nek Timah. Itu saja sudah cukup buat dirinya. Dia hanya mahukan Nek Timah sentiasa ada untuk dirinya. Hanya itu yang dia pinta.
Tuhan, tolong makbulkan doa ini.
Maaf pendek, tengah mencari momentum menulis semula.
BTW, rindu saya tak? ahahah
YOU ARE READING
SEMI;KOLON [✔]
Ficción General2023. Zinnirah, gadis yang penuh dugaan dan ujian dalam hidupnya, tak seperti abang kembarnya, Mustaqim yang agak bahagia berbanding dirinya. "Apa hadiah birthday yang Ji nak untuk tahun ni?" - Mustaqim "A forehead kiss from baba and a warm hug fro...