Bab 31

1.3K 117 14
                                    

"CUBA selesaikan hal universiti kamu tu sebelum nak kalut perihal perempuan tu. Mus nak sambung belajar ke tidak ni?" Tegur Puan Khalidah sebaik saja Mustaqim melangkah masuk ke dalam rumah. Baru saja dia balik daripada menghantar Zinnirah ke sekolah tadi.

"Naklah mama, barang Mus tinggal sikit ja lagi. Petang ni Mus pergi dengan Ji nak selesaikan semua barang." Jawab Mustaqim sebelum duduk berhadapan mamanya di ruang tamu.

"Asyik-asyik berkepit aje dengan budak tu. Jangan nak manjakan dia sangat, nanti naik lemak budak tu." Anaknya itu dikerling dengan hujung mata.

"Ma, Mus bukannya keluar dengan mana-mana perempuan. Mus keluar dengan adik Mus sendiri. Tak berdosa pun, ma."

"Memanglah tak berdosa, tapi mulut-mulut orang kampung ni macam bontot ayam. Adanya mereka kata kamu dengan perempuan tu sumbang mahram? Aku nak letak mana muka aku ni, Mustaqim? Walaupun adik beradik, janganlah rapat sangat, malu aku!" Naik seoktaf suara itu dengan matanya merenung tajam wajah Mustaqim.

Suara-suara di pasar tani tadi masih terngiang-ngiang di hujung telinga Puan Khalidah.

"Ke betul kamu dengan Zinnirah tu sumbang mahram?"

Mustaqim yang terkejut terus membeliakkan matanya.

Sumbang mahram? Hal yang paling bodoh dia pernah dengar.

"Astaghfirullah ma. Sumbang mahram apa pula, Mus dan Ji masih tahu batas agama. Masih tahu halal haram. Masih tahu dosa pahala, kenapa nak tuduh kami sampai sebegini rupa?" Suaranya cuba dikawal. Tidak mahu menjadi anak derhaka yang meninggikan suara kepada mamanya.

"Kalau orang kampung mengata, sepatutnya mama tegur dan memperbetulkan fakta. Bukannya mama tuduh kami macam ni. Mama tak percayakan anak mama ke?" Bergetar suara itu menahan amarah.

"Aku percayakan kamu tapi aku tak percayakan Zinnirah!" Meletup. Amarah Puan Khalidah memuncak mendengar ayat Mustaqim.

Mustaqim menghela nafas panjang.

"Apa salah dia, ma? Kenapa mama benci dia?" Perlahan suara itu bertanya. Punca kebencian cuba dicari.

"Kamu tak akan pernah faham perasaan aku. Betapa aku bencikan perempuan yang bernama Zinnirah itu, Mus. Kamu tak akan pernah faham!" Giginya diketap hebat. Mendengar nama gadis itu saja sudah menaikkan darahnya.

'Jadi, terangkanlah kalau Mus tak faham!' Ingin saja Mustaqim menjerit di depan wajah tua itu namun dia tahan.

"Mungkin Mus tak akan faham. Tapi mama kena sedar, Zinnirah juga anak mama. Zinnirah juga janin yang mama kandung selama 9 bulan. Zinnirah juga yang berkorban banyak benda untuk keluarga. Dan Zinnirah juga tak pernah fikirkan tentang hal dirinya, mama. Dia terlampau mementingkan keluarga yang tak pernah ambil tahu langsung tentang dirinya." Mustaqim bingkas bangun dari duduknya.

"Jangan sampai satu hari mama menyesal dengan tindakan mama. Adik Mus itu tak salah, dia juga seorang anak yang mahukan belaian mama dan baba, sama seperti Mus dan abang. Fikir-fikirkanlah mama. Mus minta maaf kalau mama terguris hati. Mus minta diri dulu."

Akhir saja omongan itu, Mustaqim terus beredar dan masuk ke dalam biliknya. Perut yang berkeroncong dek kerana belum sarapan hanya diabaikan. Katil didekati dan dilabuhkan badan. Tidur lagi bagus.

Puan Khalidah yang masih di ruang tamu cuba memproses setiap butir bicara Mustaqim.

Menyesal? Sampai masuk kubur pun dia tak akan menyesal!

Nama Zinnirah tak akan pernah ada dalam hatinya sampai bila-bila. Dia percaya akan hal itu. Gadis itu tak layak dibelai. Tak layak dilayani sebagai anak seperti anak-anaknya yang lain. Zinnirah itu hanya pembawa sial!




SEMI;KOLON [✔]Where stories live. Discover now