Bab 29

1.2K 120 16
                                    

"NEK, boleh tak cerita sikit tentang mama dan baba." Figura Nek Timah yang khusyuk menjahit bajunya di hadapan televisyen ditegur. Sengaja dia datang ke rumah nenek pada waktu petang begini demi mengorek rahsia yang lama terpendam dalam fikirannya.

"Cerita apa pula?" Cermin mata yang hampir jatuh daripada batang hidung itu ditolak ke atas.

Zinnirah hanya tergelak kecil melihat telatah neneknya. Entah kenapa, nampak comel.

"Ceritalah, macam mana mama dan baba usaha nak dapatkan Mus selepas 12 tahun tak dapat anak."

"Pastu, Zhafran tu anak angkat ke?"

"Bukanlah nek, maksudnya lepas mama beranakkan abang, 12 tahun kemudian baru dapat Mus. Ha ceritalah nek, macam mana kesusahan mereka nak dapatkan Mus." Tanya Zinnirah sekali lagi sebelum dia turut duduk di sebelah Nek Timah. Dia cuba untuk memberi fokus 100%.

"Cara kamu cakap ni Zinnirah, macam mama kamu tu tak beranakkan kamu. Haih tak fahamlah aku."

"Nek, mana ada Ji cakap macam tu. Cepatlah cerita." Gesa Zinnirah sambil menghayunkan tangan tua itu sehingga terhenti segala jahitannya.

"Ish budak ni, ya lah aku cerita." Jarum dimasukkan kembali ke dalam tin biskut. Baju diasingkan ke tepi. Wajah cucunya itu dipandang dengan penuh kasih.

"Ceritanya macam ni... lepas 4 tahun kelahiran Zhafran, mama dan baba kamu menunggu untuk anak yang kedua tapi belum rezeki mereka lagi. Macam-macamlah yang mereka buat untuk dapatkan anak. Berubat di hospital lah, berubat di kampung lah sampai aku pun dah naik pening tengok keadaan mama baba kamu masa tu.

Ada satu masa tu, mama kamu mengandung tapi tak sampai beberapa bulan, gugur. Kejadian ni berlaku berulang kali sampai mereka rasa tak ada harapan untuk dapatkan anak lain. Jadi, mereka hanya bersyukur dengan adanya Zhafran dalam hidup.

Namun apabila Zhafran berumur 12 tahun, mama kamu disahkan mengandung anak kedua dan alhamdulillah lekat sehingga ke akhirnya. Macam yang kamu nampak Mustaqim yang sekarang, dia kuat sebagai anak yang hadir selepas banyak keguguran. Tapi kali itu Mustaqim berjaya tahan sehingga dilahirkan.

Seperti pasangan lain, mama dan baba kamu bahagia. Mama kamu dilayannya dengan penuh kasih ketika mengandungkan Mustaqim dan apabila Mustaqim lahir, mereka sayang sangat akan budak itu. Bayi yang ditunggu-tunggukan sehingga disebut bayi pembawa tuah sebab baba kamu dinaikkan pangkat ketika mengandungkan Mustaqim.

Benarlah apa yang dikatakan, anak itu pembawa rezeki. Keluarga menjadi lebih meriah dan bahagia ketika itu. Bersinar-sinar wajah mama baba kamu, Zinnirah. Bahagia sangat mereka."

Zinnirah hanya mampu menelan liurnya mendengar bicara Nek Timah. Bahagia...

"Tapi selepas 21 hari kelahiran Mustaqim, kamu wujud. Doktor kata Ereh Twin ke apa entah, aku tak ingat."

"Irish Twin, nek." Zinnirah mengulum senyum.

"Ha, yang tu lah. Jadi, mama kamu mengandungkan kamu dalam pantang. Mama kamu marah sebab dia jaga dirinya dengan elok semasa pantang dan kenapa dia boleh mengandung? Itulah yang dia ulang setiap hari sampai bernanah telinga aku.

Manalah aku nak tahu? Dah kuasa Allah nak rezekikan anak. Bila Allah dah berikan kamu, baba kamu mula berubah sedikit. Aku perasan tapi aku hanya diamkan diri. Tapi benda ni dah lama, jadi tak perlu difikirkan pun. Alhamdulillah, kamu pun dilahirkan dalam keadaan sihat sejahtera membesar sampai sekarang sebagai cucu kesayangan aku." Ujar Nek Timah sampai mengusap kekura tangan Zinnirah.

"Nek, mama pernah cuba nak gugurkan Ji?" Perlahan suara itu bertanya tapi masih menusuk masuk ke telinga tua itu. Jantungnya berdetak hebat.

"Kenapa tanya soalan macam ni, Zinnirah? Kamu tak percayakan mama kamu ke?" Nek Timah cuba mengelat.

SEMI;KOLON [✔]Where stories live. Discover now