Bab 37 (TW)

1.5K 130 11
                                    

TW: Gangguan seksual

KEREPEK yang sudah siap dibungkuskan dimasukkan ke dalam kotak. Petang nanti Zinnirah akan poskan makanan itu kepada Mustaqim. Bukan hanya kerepek, namun terselit juga beberapa pes yang boleh dimakan terus diberikan kepada lelaki itu. Hasil daripada air tangannya sendiri.

Kalau tak sayang dia lagi, Zinnirah tak tahu mahu kata apa.

Kotak yang sudah siap diletakkan dalam biliknya sebelum dia kembali ke dapur. Mahu memasak menu makan tengah hari.

Rambut panjangnya disanggul tinggi sebelum memulakan proses memotong segala sayuran yang ada di meja makan. Dia bercadang untuk memasak sayur campur dan paprik ayam saja pada tengah hari itu.

Secara tiba-tiba, Zinnirah merasakan rambutnya seperti dimainkan-mainkan. Dia terus berpaling ke belakang sebelum ternampak kelibat baba di belakangnya. Dan lelaki itu mencium rambutnya dengan mata yang tertutup.

Zinnirah yang terkejut terus bangun dari duduknya sambil menelan liur sendiri. Tatapan baba menusuk ke dalam matanya. Tatapan itu lain daripada sebelum ini. Baba menatapnya seperti dia bernafsu kepada dirinya.

Zinnirah menggelengkan kepala, cuba menyingkirkan perasaan negatif yang mula menjalar dalam hatinya.

Hatinya berasa tidak enak.

"Ba.. Baba kenapa?" Tergagap Zinnirah menyoal sambil melangkah satu tapak ke belakang. Setapak juga Encik Alwie mendekat.

Apa kena dengan babanya hari ini?

Kakinya terhenti di tepi singki. Belakang badannya sudah bertemu dengan kabinet dapur. Encik Alwie terus mengambil peluang mengepung anak perempuannya itu sambil tersenyum sinis.

"Baba, apa ni. Jauh sikit, baba." Terketar suara itu kedengaran di telinga baba. Namun lelaki itu mengendahkannya sebelum mendekatkan bibir di tepi telinga Zinnirah.

Gadis itu terkejut sebelum menaikkan bahu ke arah telinga. Tangannya menggeletar. Dada babanya ditolak sekuat mungkin.

Apa ini, Ya Allah.

"Kau bila nak bayar hutang aku, Zinnirah. RM1,500 dari tahun lepas belum langsai." Kedengaran sangat dekat suara itu di tepi telinga Zinnirah.

Mata sudah berkaca apabila terasa tangan tua itu meraba belakangnya.

"Atau kau nak bayar dengan badan kau, hm?" Sejurus ayat itu, Zinnirah menolak kuat tubuh baba dan menyelusup keluar daripada kepungan itu.

"Nan-nanti Ji bayar. Be-beri Ji masa, baba." Jantungnya sudah berdegup laju. Tangannya menggeletar hebat dan terasa sejuk seperti ais.

"Kalau kau lambat, siap kau dengan aku. Lama dah aku bersabar dengan kau ni, Zinnirah." Encik Alwie terus berpeluk tubuh sebelum matanya memandang badan anaknya dari atas ke bawah berulang kali.

"Ji janji ji bayar." Terus Zinnirah berlari ke biliknya dan mengunci pintu.

Encik Alwie hanya tergelak besar sebelum mendekati pintu bilik Zinnirah.

"Kau tak boleh lari mana-mana, aku ni baba kau. Sampai bila-bila tak boleh lari." Pintu diketuk seakan-akan seperti mahu mengusik gadis itu sebelum dia bergerak ke ruang tamu. Sofa empuk ditujui dan televisyen dihidupkan.

Zinnirah yang tersandar di pintu bilik hanya mampu menekup kuat bibirnya. Tidak mahu sebarang bunyi dikeluarkan oleh bibirnya itu walaupun pipi sudah basah dengan air mata.

Lutut terasa lembik sebelum dia jatuh terduduk. Dia mula merangkak naik ke atas tilamnya sebelum telefon dicari. Esakan kecil mula kedengaran.

Nombor Mustaqim dicari dan didail.

SEMI;KOLON [✔]Where stories live. Discover now