BEG pakaian yang dibimbit dibawa masuk ke dalam biliknya yang sudah ditinggalkan selama lebih kurang 4 bulan. Siapa sajja yang tak rindukan tempat berteduh? Jujur Zinnirah katakan, dia rindu rumah ini tapi ketakutan menguasai diri. Tapi, selepas apa yang dia saksikan di taman tasik, Zinnirah bertekad untuk kembali ke rumah itu.
Dia perlu tahu kebenaran.
"Mama..." Tegur Zinnirah apabila melihat ibunya yang memotong bahan memasak. Mungkin itulah rutin hariannya setelah Zinnirah meninggalkan rumah itu.
Ada saja hari yang Zinnirah memasak untuk keluarganya dan dihantar ke rumah itu tanpa diketahui oleh mamanya. Diam-diam bergerak lebih baik daripada mendengar bebelan berdarah ibunya.
"Mama..." Sekali lagi nama itu diseru. Tubuh tua itu didekati dengan darah gemuruh yang mula menyerbu seluruh badan.
Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan syurganya, namun Zinnirah tidak dilayan. Puan Khalidah hanya buat toya saja dan meneruskan perbuatannya di meja dapur itu.
"Ji nak minta maaf sebab lama tak balik. Ji...dah dapat keputusan SPM hari ni, mama. Ji dapat 8A, ma. Walaupun tak setara Mus, Ji harap mama suka dengan keputusan Ji." Tersungging senyum kecilnya apabila memberitahu mama akan hal itu.
Sedikit saja yang dia mahu, hanya perkataan 'tahniah' dan 'mama bangga' yang dia mahu dengar.
Besar sangatkah harapan daripada seorang yang kerdil ini?
Besar sangatkan impak ayat itu kepada seorang Zinnirah?
Ya, sangat besar. Luka di jiwanya mungkin akan sembuh dengan kata-kata itu. Dia hanya mahukan secebis kasih sayang daripada manusia bernama ibu, susah sangatkah buat insan sepertinya?
"Kalau kau tak balik lagi baguslah."
Zap. Menusuk terus ke jantung.
Senyuman yang terukir tadi mula menghilang. Bibir bawah diketap. Tangan disisi, jari dikuis dengan kuku berkali-kali.
"Maaf sebab tak balik, ma." Perlahan suara itu berkata.
"Aku tak pernah nak kisah pasal kau, kau nak gagal SPM tu pun aku tak nak ambil tahu. Kau nak buat apa pun lantak kau lah. Aku malas nak ambil tahu!" Wajah gadis itu dijeling dengan hujung mata.
"Kau balik sini, kepala aku terus serabut. Kau tak menenangkan hati aku langsung, Zinnirah. Aku tak boleh tengok muka kau, kau faham tak?" Sambungnya lagi. Terpisat-pisat Zinnirah mendengar luahan itu.
Allah Tuhan, apa salahnya?
Lengan Zinnirah ditarik sebelum pisau ditangan diletakkan pada tapak tangan gadis itu. Terhiris sedikit kulitnya namun Zinnirah hanya menahan desis daripada terpacul.
"Tapi ada bagusnya kau balik, pergi masak sekarang. Jangan tahu habiskan beras aku saja." Perli Puan Khalidah sebelum dia berlalu dari dapur dan menuju ke ruang tamu.
Zinnirah mengeluh kecil sebelum luka berdarah di tapak tangan dilihat tanpa perasaan. Pisau diletakkan kembali ke atas meja.
Singki ditujui dan dibasuh luka itu, berkerut dahinya menahan pedih. Ditekan kuat tepi luka untuk mengeluarkan darah yang masih meleleh. Dalam masa yang sama, gigi diketap kuat menahan geram.
Ah, nak saja dia tekan isi dagingnya kalau boleh!
Paip air ditutup sebelum senyum kecil tergaris dihujung bibir. Kedua-dua belah tangan ditekan kuat di hujung singki. Darah turut meleleh turun ke dalamnya.
Sampai bila-bila pun dia akan benci kau lah, Zinnirah. Bodoh!
-----
YOU ARE READING
SEMI;KOLON [✔]
Ficção Geral2023. Zinnirah, gadis yang penuh dugaan dan ujian dalam hidupnya, tak seperti abang kembarnya, Mustaqim yang agak bahagia berbanding dirinya. "Apa hadiah birthday yang Ji nak untuk tahun ni?" - Mustaqim "A forehead kiss from baba and a warm hug fro...