CAHAYA lampu yang menerobos masuk ke dalam matanya menyebabkan Zinnirah memejamkan matanya kembali. Kepala yang terasa berat sudah kembali ringan. Cuma sakit di bahagian pinggang masih berbaki.
Apabila dia sudah dapat menyesuaikan dengan suasana, Zinnirah kembali membuka matanya. Siling putih mendapat perhatiannya.
Keluhan dilepaskan daripada bibir itu. Kini dia tahu, dia sudah berada di hospital. Sekali lagi.
Tangan kanan diangkat, sudah dimasukkan air. Bawah bibir digigit perlahan. Dia tidak tahu bila mama dan babanya bakal pulang kerana mereka tidak memaklumkan apa-apa kepadanya. Namun dia risau bakal dimarahi jika mereka sudah ada di rumah.
Kepala yang gatal digaru dengan tangan kirinya. Tidak tahu apa mahu buat. Mujur saja, subjek pengajian am merupakan subjek terakhir untuk peperiksaannya pada kali itu. Kalau tidak, dia terpaksa jawab di wad itu.
Bunyi langsir yang memisahkan antara katil di wad itu ditarik, mengubah perhatian Zinnirah.
Matanya terus bersabung dengan mata Atiya yang sudah tersenyum memandangnya. Zinnirah secara spontannya terus tersenyum melihat gadis itu.
"Akak! Akak dah okay?" Tanya gadis itu sebaik saja melabuhkan punggungnya di hujung katil Zinnirah.
Pada masa yang sama, Zinnirah cuba bangun dari perbaringannya untuk duduk. Belakang pinggang dipegang dengan dahi berkerut.
"Akak, kalau sakit tak perlu bangun. Baring ja, Ati faham." Lengan Zinnirah dipegang.
"Tak apa Ati, sakit ni tak boleh dimanjakan sangat." Zinnirah tersengih, menayangkan giginya yang lurus elok kepada Atiya.
"Kalau sakit, bagitahu. Jangan buat kejutan macam petang tadi, terkejut Ati dibuatnya." Kata gadis itu meluahkan rasanya tentang hal di kelas Zinnirah tadi.
"Baik, cik adik." Zinnirah tergelak kecil. Kuat bebel juga budak ni.
"Siapa yang hantar akak ke hospital?" Tanya Zinnirah sambil menjeling jam di seberang katil. 5.30 petang.
"Ambulans. Lepas akak pengsan, kelam kabut Ati panggil pak guard tu, dia lah yang tolong telefon 999." Dengan penuh bersemangat Atiya bercerita. Tergawang tangannya ke sana dan ke sini.
"Habislah, nanti heboh satu sekolah." Tambah gadis itu lagi.
"Ala, tak nak viral. I want to keep my profile, low." Canda Zinnirah. Tapi benar, dia tak nak dirinya menjadi perhatian. Cukuplah dulu dia menjadi bayang-bayang di sekolah lamanya, dia penat untuk menghadap perhatian sebegitu lagi.
"Tak adanya, akak dah viral. Penuh kes akak tadi masuk dalam group whatsapp kelas."
"Aduh, tak sukanya." Luah Zinnirah tidak berpuas hati.
"Ni, akak tengoklah sendiri." Telefon yang dihulurkan disambut oleh Zinnirah. Jarinya dengan pantas menekan gambarnya yang ditangkap oleh entah siapa.
Setiap sudut, ada gambarnya. Dari dia diusung turun tangga dengan pengusung sehinggalah masuk ke dalam ambulans. Nafas dihela perlahan.
Kenapa perlu ambil gambarnya dalam keadaan begitu?
Jujur, dia agak malu.
"Akak tak sukalah. Tapi nak buat macam mana, hal dah jadi." Ujar Zinnirah perlahan sambil menghulurkan kembali telefon Atiya.
"Sabarlah, akak. Sekarang dunia media, semua benda nak dipost ke media sosial. Nasib tengah berak pun mereka tak buat live." Selamba saja muka itu berkata tanpa rasa geli.
"Woi, apa bendalah sebut pasal berak ni?" Tegur Zinnirah sebelum tergelak kecil melihat telatah Atiya.
"Betul lah, kalau boleh segala benda mereka nak tunjuk. Hidup dah macam tiada privasi, ke sana ke sini semua orang tahu. Seronok ke hidup macam tu?" Decit Atiya setelah dia menghamburkan rasanya kepada Zinnirah.
Zinnirah hanya mengangkat kedua-dua belah bahu. Bukan tanda tak tahu tapi tanda tidak mahu ambil tahu. Dia malas.
"Ati datang dengan siapa?" Soalan itu dilontarkan apabila Zinnirah baru perasan pakaian Atiya. Dia hanya memakai pakaian kasual dengan tudung sarung bukannya baju kurung sekolah.
"Datang dengan ibu tapi ibu ada di kafe, beli makanan." Balas Atiya bersahaja.
"I-ibu?" Tergagap dia menyoal kembali.
"Ya, ibu Atiya. Nama ibu, Salwa. Nanti akak bolehlah kenal dengan ibu. Ati banyak cerita pasal akak pada ibu. Ibu suka sangat dengar sebab akak banyak tolong Ati belajar. Ibu mesti suka akak, percayalah cakap Ati." Panjang gadis itu bercerita. Dia teruja dan gembira untuk menemukan ibunya dan Zinnirah yang sudah banyak membantunya dalam pembelajaran. Zinnirah sudah dianggap seperti kakak sendiri.
Zinnirah yang mendengar hanya mampu menelan liur sendiri. Tekak terasa kering, jantung berdegup laju.
Dia tidak sangka akan secepat ini untuk bertemu dengan isteri muda baba. Dia takut, dia tak bersedia.
Kepala mula memikirkan sesuatu yang belum terjadi. Memikirkan hal yang belum tentu akan terjadi.
Kalau ibu Atiya menyerangnya bagaimana?
Kalau ibu Atiya melarangnya daripada rapat dengan Atiya, bagaimana?
Kalau ibu Atiya membongkarkan semuanya pada Atiya, bagaimana?
Adakah Atiya akan turut membenci dirinya?
Terlampau banyak perkataan kalau mula bermain di minda itu. Peluh renik memenuhi dahi. Kuku mula mengikis di tepi jari tanpa sedar.
Zinnirah berasa gementar. Tangannya sejuk. Bawah bibir digigit perlahan.
Atiya yang melihat berasa pelik. Dah kenapa pula ni?
"Akak... okay?" Soalan gadis itu hanya diangguk rakus.
"Ibu Ati... Garang tak?" Soalan itu pula terpacul daripada mulut Zinnirah.
Terus terhambur tawa Atiya apabila mendengarkan soalan itu. Wajah pucat Zinnirah dilihat sekali lalu sebelum menyambung tawanya. Perut yang berasa sakit akibat ketawa ditekan. Matanya berair.
"Tak lawaklah Ati, kenapa gelak macam nak tercabut urat perut ni?" Zinnirah yang berasa geram terus menampar perlahan lengan Atiya.
"Taklah, muka akak tu cuak sangat. Dah macam putus urat kentut." Sesudah itu, Atiya sambung kembali tawanya.
Zinnirah hanya menjeling geram. Namun dengan tindakan Atiya, kegusarannya terasa sedikit berkurang.
"Okay, untuk menjawab soalan akak tu..." Sisa-sisa tawanya masih kedengaran dihujung ayat.
"...ibu tak garang pun. Ibu Ati tu baiklah, lemah lembut orangnya."
Sedikit tenang hati Zinnirah mendengarkan ayat daripada gadis itu. Harapnya, apa yang dikatakan oleh Atiya itu betul kerana rasa takutnya bukan main-main.
"Alhamdulillah, lega. Tapi kan Ati, boleh tuangkan air untuk akak? Kering dah tekak ni dari bangun tadi belum minum."
Segera gadis itu turun daripada katil dan mencapai gelas di tepi katil. Air mineral dituang sebelum dihulurkan gelas itu kepada Zinnirah.
"Terima kasih." Senyuman kecil diberi kepada Atiya sebelum dengan lafaz basmallah dia meminum air itu.
Ya Allah, leganya.
"Assalamualaikum." Suara lembut itu menyapa telinga mereka. Atiya terus tersenyum lebar sebelum bergerak ke arah wanita itu.
"Waalaikumsalam ibu!" Plastik di tangan ibunya diambil dan diletakkan di meja Zinnirah.
Zinnirah kaku. Badannya terasa beku. Darah gemuruhnya datang kembali apabila matanya bertembung dengan wanita yang bernama Salwa itu.
Allah Tuhan, dugaan apakah ini?
YOU ARE READING
SEMI;KOLON [✔]
Ficção Geral2023. Zinnirah, gadis yang penuh dugaan dan ujian dalam hidupnya, tak seperti abang kembarnya, Mustaqim yang agak bahagia berbanding dirinya. "Apa hadiah birthday yang Ji nak untuk tahun ni?" - Mustaqim "A forehead kiss from baba and a warm hug fro...