RIDZUAN berkurung di dalam biliknya sejak pulang dari Kuala Lumpur kelmarin. Perasaan marahnya terhadap kejadian tempoh hari masih belum reda. Betapa hancur dan kecewanya dia saat Raaziya menolak dirinya mentah-mentah tanpa asbab yang munasabah.
"Sampai hati awak, Ziya..." Sekeping gambar Raaziya yang cantik berbaju kurung diamati hampa. Putih mata apabila melihat Raaziya bersama dengan lelaki lain. Kenapa bukan dia yang dijadikan pilihan hati? Apa kurangnya dia jika dibandingkan dengan lelaki itu?
Pasti tiada kurangnya. Malah, dia lebih baik jika dibandingkan dengan lelaki itu. Jauh lebih baik.
Nafas ditarik dalam-dalam. Cuba juga memujuk hati yang masih berbekas. Dengan hati yang berat, kepingan gambar itu disimpan semula ke dalam laci meja. Makin difikiran, makin pening pula kepala otaknya.
Terhambur keluhan kasar dari mulut Ridzuan. Benaknya seolah tidak mahu berhenti dari terus memikirkan gadis itu. Lagi dicuba, lagi kerap ia muncul.
Malas lagi melayan, akhirnya Ridzuan bangun menuju ke dapur, mencari segelas air untuk menenangkan fikirannya. Sudah penat.
"Mak..." Puan Mariam sibuk di dapur. Menyediakan makanan tengah hari untuk penghuni-penghuni yang ada di rumah kayu separuh batu ini.
"Ha, kenapa? Ingat tak reti keluar dari bilik dah lepas balik dari KL tu," perli Puan Mariam sengaja. Cukup menyengat pada pendengaran Ridzuan.
"Zuan malas nak keluar bilik, mak. Banyak benda yang Zuan tengah fikirkan sekarang ni." Ridzuan duduk di kerusi meja makan selepas mengambil cawan di rak mangkuk. Dituang air putih dari jag ke dalam cawan plastik itu.
"Apa yang kau fikirkan, Zuan? Cuba kau cerita dekat mak. Bukannya mak tak tahu yang kau pergi KL semata-mata nak jumpa si Ziya tu, kan?"
Keluhan kasar Ridzuan mula kedengaran jelas. Lantas meneguk air putih itu supaya menghilangkan rasa kering pada tekaknya. "Ziya tak nak kahwin dengan Zuan. Dia dah ada orang lain dekat sana."
Mendengar itu, Puan Mariam cepat-cepat matikan api dapur dan terus mendapatkan anaknya di meja makan. Jelas dia terkejut. "Orang lain? Dia ada boyfriend ke, Zuan?"
"Entahlah, mak. Zuan tak tahu. Tapi dia ada marah-marah Zuan depan lelaki tu." Cawan yang masih berisi separuh lagi air dipandang sepi. Tak dapat bayangkan jika gadis itu dimiliki oleh lelaki lain. Walaupun dia sudah lama mengikhlaskan, hatinya tetap meraung sakit.
"Marah kau? Kenapa dia marah kau pula?"
"Sebab Zuan ajak dia kahwin. Dia hina-hina Zuan, mak."
"Melampau perempuan tu! Mak dah cakap dekat kau dulu yang Ziya tu dah berubah. Dia dah mula tunjuk sikap sebenar dia. Sudah sudah la, Zuan. Lupakan perempuan tu."
Tak terbalas kata-kata Puan Mariam. Di dalam hati, Ridzuan sedang berperang dengan perasaannya sendiri. Cuba untuk menghadam dan menerima setiap butir bicara Puan Mariam. Sedikit sebanyak ada benarnya juga kata maknya.
"Hati aku masih sakit tau bila dia tolak mentah-mentah pinangan kau tempoh hari. Memang tak sedar diri!"
Perasaan sakit di hati kembali menerpa Ridzuan. Peristiwa hitam tempoh hari sudah cuba dilupakan namun tetap melekat kuat di benaknya.
"Jom! Mak nak pergi rumah Pak cik Sulaiman sekarang. Nak bagitahu tentang perangai sebenar anak saudara kesayangan dia tu."
Tak sempat Ridzuan menghalang, Puan Mariam sudah bangun dan melangkah ke bilik. Bersiap-siap untuk ke rumah Pak Sulaiman di hujung kampung.
YOU ARE READING
RAAZIYA
Romance[AKAN DISAMBUNG UPDATE SEMULA] To my Raaziya: "You're so beautiful. Like a flower." From your future love, Adyan Khaleed.