Prolog

302 27 3
                                    

"TOLONG... jangan halau kami..." Raaziya menangis tersedu-sedan. Lututnya lemah menyentuh tanah yang keras. Cuba untuk meraih simpati. Gadis berusia 17 tahun itu merayu dengan penuh perasaan hiba.

Beberapa orang tak dikenali datang ke sini. Menghalau mereka keluar dari rumah dan tempat tinggal mereka sendiri.

"Tolong..."

"Kami minta maaf. Tapi ni tugas kami. Tolong keluar dari sini." Salah seorang dari mereka bersuara lembut. Tidak mahu berkasar.

"Tolong, encik... Jaa... jangan buat macam ni dekat kami..." Suara Raaziya tertahan-tahan. Air matanya lebat mengalir. "Saya merayu..." Wajah setiap mereka dipandang dengan penuh simpati.

"Nah." Beg-beg pakaian mereka dilempar kasar ke tanah. "Pergi dari sini!" Seorang dari mereka mengherdik Raaziya supaya lekas-lekas berambus.

"Encik, tolong jangan ambil rumah kami," rayu Encik Ahmad, satu-satunya harta berharga yang mereka ada di muka bumi ini. Lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an itu juga turut melutut. Dia cuba untuk memeluk kaki salah seorang dari mereka sebelum ditepis kuat.

"Ayah..." Raaziya cepat-cepat menghampiri Encik Ahmad yang sudah terduduk lemah di atas tanah.

"Ni rumah kami..." Encik Ahmad masih bersuara. Tapak tangannya sudah berdarah akibat terkena batu. Gigih orang tua itu merayu meminta secebis simpati.

"Boss kami dah beli rumah ni. Adik pak cik, Encik Sulaiman dah jual rumah ni."

"Taa... tak mungkin..." Encik Ahmad laju menggeleng. Tak mungkin adiknya sanggup bertindak sebegitu. Tipu!

"Tolong encik..."

"Pergi! Pergi!" Sekali lagi Encik Ahmad ditolak kasar sehingga dia terlentang ke belakang. Bergigil-gigil tubuh Encik Ahmad. Menahan rasa.

"Ayah!" Raaziya pantas mendapatkan Encik Ahmad. Dibantu lelaki tua itu supaya bangun semula. "Jom ayah... kita pergi dari sini." Berat kata-kata Raaziya. Berat lagi melihat ayahnya dilayan dan dihina seperti itu. Hatinya sakit.

"Tak boleh macam ni, nak. Banyak kenangan dengan ibu dalam rumah ni..." Air mata Encik Ahmad gugur sayu ke pipi. Berat hati untuk pergi meninggalkan rumahnya. Rumah mereka. Rumah yang penuh dengan seribu kenangan manis dan duka.

"Ibu faham, ayah... Jom kita pergi dari sini."

Encik Ahmad akhirnya akur selepas dipujuk Raaziya. Encik Ahmad berdiri lemah dengan bantuan Raaziya. Beg-beg pakaian diambil dah dibawa bersama. Mereka keluar dari rumah itu dengan penuh luka. Sempat Encik Ahmad mengerling lama rumah itu buat kali terakhir.

Maafkan abang, Nab...

Mereka hanya berjalan kaki dari rumah mereka ke rumah Encik Sulaiman. Mereka tiada sebarang kenderaan untuk dinaiki.

"Ayah..."

Encik Ahmad mengangguk tanda tidak apa. Bahu Raaziya diusap. Wajah Raaziya kelihatan agak risau dengan kesihatan Encik Ahmad. Lelaki tua itu kelihatan pucat.

Mereka tiba di rumah Encik Sulaiman. Rumah kampung kayu itu kelihatan indah dan cantik. Sempat mereka mengerling ke arah sebuah kereta mewah di halaman rumah.

"Assalamualaikum, Man..." Salam diberi. Pintu utama rumah itu sudah terbuka luas.

"Waalaikummusalam." Encik Sulaiman kalut berjalan ke pintu selepas menyedari kelibat abangnya. "Kau datang sini buat apa?"

"Man... kenapa kau sanggup jual tanah dan rumah aku?" Suara Encik Ahmad sudah bertukar sayu. Tergamak adik kandungnya itu menjual tanah dan rumah mereka tanpa kebenaran mereka. Sekarang mereka tiada lagi tempat untuk berteduh.

Encik Sulaiman berdehem sebelum memulakan bicara. "Aku pun ada hak atas tanah dan rumah tu," balas Encik Sulaiman tanpa sebarang belas kasihan. Wajah dingin dan angkuh.

"Kau tak ada hak, Man..." Encik Ahmad cuba mengawal emosinya. Encik Ahamad sudah muak dengan sikap adiknya yang tamak dan pentingkan diri itu. Bertahun-tahun dia hadap. Tapi sekarang lelaki itu sudah melampaui batas.

"Kau pergi dari sini. Kita dah tak ada hubungan apa-apa lagi." Encik Sulaiman malas mahu bertekak lagi. Encik Ahmad yang sedang berdiri di hadapan pintu dihalau kejam.

Air mata lelaki tua itu sudah bertakung. "Tergamak kau..."

"Encik Sulaiman... Urusan jual beli tanah tu tak ada apa-apa masalah, kan?" celah seorang lelaki yang kelihatan berumur dalam lingkungan 60-an. Lelaki itu berpakai kemas dan tidak kelihatan seperti orang-orang biasa.

"Datuk Khaleed... saya minta maaf. Tapi saya akan selesaikan masalah ni." Encik Sulaiman memaniskan muka di hadapan lelaki yang digelar sebagai Datuk Khaleed itu.

Datuk Khaleed hanya mengangguk. Membawa diri ke ruang tamu semula. Tak mahu masuk campur.

"Nah, duit makan untuk kau dan anak kau." Encik Sulaiman sempat menghulurkan sekeping sepuluh ringgit. Pintu ditutup kasar dari dalam.

"Man! Kau tak boleh buat aku macam ni, Man!" Tangan Encik Ahmad mengetuk lemah pintu kayu jati itu. Tak lama, dia jatuh terduduk.

"Ayah..." Sekali lagi, air mata Raaziya lebat mengalir. Hatinya seolah ditusuk buat kali kedua. "Sudah... ayah. Jom kita pergi dari sini." Raaziya juga ikut duduk di depan ayahnya. Menghadap wajah kasihan itu.

"Ayah..."

Encik Ahmad menyeka air matanya. Wajah anak tunggalnya itu dipandang dalam-dalam. "Raa... Ayah nak Raa dengar cakap ayah. Raa tinggal sini dengan pak cik dan mak cik." Rambut yang menutupi wajah gadis itu diseka ke belakang telinga. Berharap Raaziya faham.

Raaziya laju menggeleng. "Raa tak mau, ayah. Raa nak tinggal dengan ayah. Raa nak duduk dengan ayah."

"Raa kena tinggal sini..."

"Raa tak nak."

"Tolong, nak. Demi masa depan Raa. Demi masa depan kita, nak. Tahun ni kamu SPM."

"Ayah macam mana?"

"Ayah keluar dari kampung ni. Ayah akan cari kerja. Lepas ayah dah dapat kerja, kita akan beli rumah baru. Raa kena duduk sini sampai kita beli rumah baru." Rambut Raaziya yang sudah serabai diusap dengan penuh kasih sayang.

"Raa tak mau tinggal sini, ayah. Raa tak kisah kalau kita tidur bawah jambatan atau tidur tepi jalan, yang penting Raa dapat tidur dengan ayah." Encik Ahmad dipeluk erat. Baju Encik Ahmad sudah basah disebabkan air mata Raaziya yang tidak henti-henti keluar. Terhinjut-hinjut bahu gadis itu.

"Raa duduk sini. Raa tak boleh ikut ayah..." pujuk Encik Ahmad. Berat hatinya untuk meninggalkan anak gadisnya sendiri di sini. Tapi Encik Ahmad terpaksa. Encik Ahmad tahu yang Raaziya akan hidup lebih bahagia jika tinggal bersama mak cik dan pak ciknya di sini.

Sekeping gambar dikeluarkan dari beg pakaian. Gambar itu ditatap dengan satu senyuman. "Nah... Raa simpan gambar ni..." Sayu Encik Ahmad memberikan gambar itu kepada Raaziya. Gambar perkahwinannya dengan Zainab, ibu Raaziya.

Tergetar-getar tangan Raaziya saat mengambil gambar itu. "Raa sayang ayah..." Buat kali terakhir, lelaki yang bergelar ayah itu dipeluk erat. "Ayah kena janji untuk datang ambil Raa balik."

"Ayah janji..."

RAAZIYAWhere stories live. Discover now