Bab 26

93 13 0
                                    

ADYAN terjaga dari tidurnya yang pendek. Silauan cahaya matahari yang terbias dari tingkap bilik yang terbuka luas buat dia kembali menutupkan kelopak matanya semula.

Awal pagi tadi, Adyan tiba di rumah selepas terbang jauh dari Johor Bahru. Sebaik tiba, terus dibawa diri masuk ke dalam bilik. Menghempaskan tubuh ke atas katil. Penat. Dia penat.

Dengan nafas yang berat, Adyan gagahkan diri juga untuk bangun menduduk. Masih mengantuk tapi diabaikan. Entah sudah masuk pukul berapa sekarang.

Tangan Adyan naik mengosok kedua belah matanya. Pandangannya kelihatan masih samar-samar. Angka jam pada skrin telefon pantas dilihat selepas pandangannya kembali jelas.

Pukul satu petang.

Adyan menghembus nafas panjang. Sedar tak sedar, sekarang sudah hampir masuk waktu Zohor. Ingatkan baru sekejap saja dia melelapkan mata. Dengan berat hati, Adyan turun dari katil. Berlalu ke kamar mandi.

Nak bersihkan diri. Nak solat.

Selesai mandi dan solat, Adyan terus membawa diri ke tingkat bawah. Lapar selepas setengah hari hanya terbaring di atas katil. Pantas Adyan meluru ke dapur dengan harapan ada beberapa makanan yang boleh dia jamah untuk alas perut.

Kosong.

Adyan sedar yang dia hidup bujang. Semestinya tiada makanan istimewa untuk dimakan. Bukan sekadar makanan istimewa, bahkan satu makanan pun tiada. Yang tinggal hanyalah roti Gardenia yang sudah lama tamat tempoh.

Padah sebab jarang berada di rumah. Dan lebih kerap di pejabat. Barang kering pun langsung tiada apatah lagi barang basah. Kalau ada apa-apa, boleh jugalah dia masak. Akhirnya dia memutuskan untuk ikat perut saja dahulu. Malas ingin memesan makanan dari luar.

Peti ais menjadi sasaran Adyan kali ini. Sama saja, peti ais ikut kosong. Cuma ada sekotak ais fresh oren yang tinggal. Masih tinggal separuh. Adyan tarik nafas lega. Dia dahaga. Dituangkan ke dalam gelas kaca.

Baru saja Adyan ingin meneguk, loceng rumahnya berbunyi. Bukan sekali tapi berkali-kali. Ada seseorang yang datang. Mendengar saja bunyi loceng, dia sudah dapat mengagak siapa yang datang.

Adyan meneka remote autogate terlebih dahulu sebelum dia menuju ke pintu utama. Loceng rumahnya masih berbunyi bertalu-talu.

"Hello, Encik Adyan!"

Sebaik Adyan buka saja muka pintu, terpapar muka tampan seseorang. Seseorang yang kemas berbaju kemeja hitam dan bertali leher biru muda. Gaya seperti datang dari pejabat.

Daniyal.

"Tak kerja ke?" tanya Adyan lurus. Melihat dari pemakaian Daniyal pun, pasti sudah dapat mengagak.

"Kerja," balas Daniyal. Tak dijemput, Daniyal terus membawa diri ke dalam. Tak perlu pelawaan dari Adyan, dia semestinya sudah biasa dan selamba badak masuk ke sini. Rumah bujang Adyan yang suram.

Adyan tutup pintu utama semula. Membuntuti langkah Daniyal yang terus ke dapur. Dia baru terperasan yang Daniyal sedang memegang beberapa bungkusan. Kurang pasti apa isinya.

"Aku bawa bahan masak." Seperti faham apa yang bermain di minda Adyan, Daniyal pantas bersuara. Memberitahu niatnya ke mari. Pasti ada helah dia ke sini. Kalau tak, mungkin lambat lagi.

Adyan kerut kening. Kurang faham. Bahan masak? Mahu dia masak ke?

Sampai di dapur, Daniyal letakkan bungkusan-bungkusan tersebut di atas meja. Penuh diisi dengan barang ringan yang dia beli untuk dimasak. Ada juga barang basah yang dibelinya.

Adyan tarik nafas dalam. Tadi dia mengeluh sebab tiada bahan untuk dimasak dan dimakan. Sekarang sudah datang dan berada di depan mata. Mungkin ini yang dipanggil rezeki jatuh dari langit.

RAAZIYAWhere stories live. Discover now