Bab 4

161 18 0
                                    

"TERIMA kasih sebab bawa saya ke klinik." Raaziya bersuara selepas keluar dari Klinik Keluarga di bandar Ipoh. Setiba mereka di sana, Adyan terus membawa Raaziya ke klinik. Mendapatkan rawatan untuk buku lali Raaziya yang terseliuh tadi.

Nasib Raaziya baik. Menurut doktor, ligamen di sendi pergelangan kaki Raaziya hanya lebam dan terkoyak sedikit. Buku lalinya akan bertambah sakit apabila disentuh atau digerakkan.

Dan sekarang kaki Raaziya sudah dibalut kemas dengan bandage. Balutan bandage boleh membantu mengawal bengkak serta mengurangkan pergerakkan yang menyakitkan pada buku lalinya.

"Sama-sama, Raaziya." Tadi, Adyan juga ikut masuk bersama ke dalam klinik. Menemani Raaziya. Raaziya sudah boleh berjalan walaupun terjengket-jengket. Tak perlu meminta bantuan dari Adyan lagi untuk dia menapak.

Kereta Audi A6 kembali bergerak laju di atas jalan raya. Menuju ke destinasi seterusnya iaitu Terminal Amanjaya, Ipoh. Kata Raaziya, dia ingin berhenti di sana kerana mahu mengambil beg-beg pakaiannya tempoh hari. Entah ada ke tidak, dia sendiri tidak pasti.

"Awak tak nak ambil beg baju awak sekali ke?" tanya Raaziya sambil membuka pintu kereta. Mereka sudah tiba di Terminal Amanjaya Ipoh yang agak sesak dengan manusia.

Adyan geleng. Ikut turun dari kereta setelah melihat Raaziya keluar.

"Macam mana awak boleh tak bawa beg?" Raaziya hairan. Perlahan-lahan Raaziya berjalan ke kawasan perhentian bas. Terjengket-jengket setiap langkahnya.

"Boleh ke awak jalan ni?" Risau Adyan di sebelah. Setia mengikut jejak Raaziya. Takut-takut makin bertambah sakit buku lali itu.

"Boleh." Mata Raaziya melilau di kawasan sekeliling. Mencari bas kelmarin. Dilihat-lihat juga nombor-nombor pada setiap bas.

"Ha, tu bas kelmarin! Pak cik!" Raaziya sudah terjerit-jerit saat ternampak pak cik yang memandu bas mereka kelmarin. Lupa habis buku lalinya yang sakit.

"Aduh..." Baru saja beberapa tapak, Raaziya terus berhenti. Rasa sakit yang amat. Tak boleh dijelaskan.

"Kan saya dah cakap jangan lari." Adyan terpaksa memaut bahu Raaziya selepas melihat gadis itu yang sudah mahu jatuh terduduk.

Raaziya cebik. Buku lalinya sakit akibat kedegilan diri sendiri. Memang patut! "Saya minta maaf."

"It's okay. Jom." Adyan bantu Raaziya. Mereka kembali berjalan menghampiri pemandu bas tempoh hari.

"Pak cik, mana beg saya?" tanya Raaziya selepas mendekati pak cik, pemandu bas tersebut.

"Ha?" Pemandu bas itu kerut kening. Melihat pelik ke arah Raaziya dan Adyan.

"Oh, kamu yang kena tinggal semalam tu kan? Pak cik minta maaf la tentang kena tinggal semalam tu. Kami tunggu kamu semalam. Tapi kamu tak datang-datang. Ingatkan kamu dah balik sendiri." Teringat hal itu, pemandu bas itu terus memohon maaf. Bukan niatnya untuk tinggal mereka di sana.

"Tak apa, pak cik. Mana beg pakaian saya?"

"Mari ikut pak cik." Mereka ikut langkah pemandu bas tersebut. Menuju ke arah perut bas.

"Terima kasih, pak cik." Melihat saja beg-beg pakaian, Raaziya sudah menghembus nafa lega. Selamat masih ada di sini. Dia bersyukur.

"Tak apa, saya bawa. Awak boleh jalan sendiri, kan?" Adyan ambil beg-beg pakaian Raaziya. Dibawa keluar dari perut bas.

Raaziya ingin menghalang. Tapi, dia sedar dengan keadaannya sekarang, terpaksa jugalah membiarkan Adyan membantu. "Sorry sebab susahkan awak." Raaziya rasa serba-salah. Dia banyak menyusahkan Adyan.

RAAZIYAWhere stories live. Discover now