Bab 36

96 11 1
                                    

NAFAS ditarik sedalam yang boleh sebelum tangan naik mengulas tombol pintu kayu jati di depannya. Sebelah tangan lagi memegang erat tali beg pakaian di sisi.

Beberapa jam di dalam bas express, Raaziya akhirnya tiba di kampung dengan selamat. Tiada sebarang masalah yang berlaku ketika dalam perjalanan ke sini tadi.

"Assalamualaikum..." Perlahan-lahan salam diberi. Raaziya melangkah masuk ke dalam dengan berhati-hati. Dia mula tarik nafas lega selepas sedar tiada sesiapa di ruang tamu. Kosong.

Nasibnya baik. Sekurang-kurangnya tak perlulah dia menghadap mulut celupar mereka tika ini. Tak buang masa, kaki terus dipanjangkan ke arah bilik. Tak nak berlama-lama di luar.

"Raaziya!" Panggilan itu buat langkah kaki Raaziya mati serta-merta. Baru saja tangan ingin naik memulas tombol pintu.

Raaziya berpaling ke arah suara itu. Sudah dapat dijangka siapa pemiliknya. Puan Shida, wanita itu sedang menghampirinya dengan sebatang penyapu di tangan.

"Reti pun balik rupanya. Ingat tak nak balik sini dah," kata Puan Shida, jelas ingin memerli.

Raaziya tak balas. Dia mendekati susuk itu. Tangan naik ingin salam wanita yang pernah menjaganya dahulu. Masih ada secebis rasa hormat meskipun dia sering dianggap seperti orang asing.

Walaupun tak ikhlas, tangan Raaziya tetap disambut. "Sorang je kau balik?" soal Puan Shida lagi. Hairan. Menurut Encik Sulaiman, gadis itu akan pulang bersama bakal suaminya. Tapi mana?

Raaziya cuma angguk. Malas nak berhujah panjang. Rasa penat selepas berjam-jam duduk di atas bas. Dia mengantuk dan perlukan tidur yang lena sekarang. Kalau tak, memang semua benda tak jalan nanti.

"Ziya minta diri dulu." Raaziya terus masuk ke dalam bilik. Perasaan Puan Shida masih nak bersoal jawab dengannya. Tapi dia hanya abaikan. Malas nak ambil pusing lagi.

"MANA anak tak kenang budi tu?" Dapat saja berita dari anaknya, Encik Sulaiman terus pulang ke rumah meskipun tadi dia sibuk di kebun.

"Mana dia?" Sebaik masuk ke dalam rumah, itu soalan pertama yang keluar dari mulut lelaki tua itu. Hatinya rasa makin membara selepas mendapat tahu yang Raaziya hanya pulang sendiri.

"Dia ada dalam bilik," jawab Atiqah selamba. Dia sedang baring di atas sofa panjang sambil mengilat kukunya. Hanya santai sebab tahu apa yang akan berlaku nanti.

Encik Sulaiman merengus. Baru saja dia duduk di atas sofa sebelum bangun semula. Kaki ringan saja dihayunkan ke arah bilik seseorang.

Tok! Tok!

"Raaziya! Raaziya!" Muka pintu tersebut diketuk bertalu-talu. Selagi tak dapat balasan, selagi itu tangan akan setia naik mengetuk.

"Raaziya! Kau buka pintu sekarang!"

"Kenapa pak cik?" Raaziya buka pintu malas. Hampir pekak telingannya selepas mendengar ketukan kuat Encik Sulaiman. Terlalu kuat sampai rasa macam nak reboh pintu biliknya tadi.

"Mana teman lelaki kau? Kenapa dia tak ikut kau balik sini?" tanya Encik Sulaiman seolah-olah tidak sabar. Wajahnya kelihatan agak bengis.

Dengar itu, Raaziya mengeluh hebat. Sudah dapat ditebak. Soalan yang pasti dan wajib akan ditanya oleh lelaki tua itu. "Dia sibuk kerja." Pendek Raaziya menjawab, cukup buat Encik Sulaiman tambah membara.

"Betul ke sibuk kerja? Atau kau yang tak bagi dia datang sini?" tuduh Encik Sulaiman pula. Hanya buat kesimpulan sendiri.

"Ya Allah, pak cik... Dia memang sibuk." Raaziya tak tipu. Memang lelaki itu sedang sibuk bekerja sekarang.

"Alasan je tu, ayah! Lelaki kaya tu dah tinggal dia. Sebab tu dia balik sorang-sorang. Kesian." Atiqah mencelah. Rasa tak senang duduk kalau tak masuk campur sekali. Dengan rasa riang dia meneliti kukunya yang sudah berkilat cantik.

Seperti selalu, Raaziya hanya buat tak endah. Malas nak ambil pusing kalau berkaitan dengan minal sewel yang jelas tak cukup akal itu.

"Betul ke teman lelaki kau dah tinggalkan kau?" Kali ini, Encik Sulaiman pula tanya hal yang sama. Terikut-ikut dengan kata-kata anaknya.

"Dia bukan teman lelaki Ziya, pak cik," pangkal Raaziya, dan ini sudah masuk beribu kali. Cukuplah takat hari itu, dia tak nak biarkan semua orang salah faham lagi.

"Kalau bukan teman lelaki kau, dia anak ayam kau ke?" Lantang suara Atiqah buat nafas Raaziya berombak hebat. Kesabarannya jelas semakin tipis tika ini.

"Jaga mulut kau, Tiqah..." Raaziya rasa berang. Cuba ditahan sebaik mungkin tadi tapi jelas dia tak mampu bertenang lagi.

Atiqah hanya senyum sumbing. Walaupun ada di ruang tamu tika ini, dia dapat melihat dengan jelas wajah merah Raaziya. "Atau kau yang jadi perempuan simpanan dia?"

Raaziya dah tak boleh bawa sabar. Kakinya laju saja menerpa ke ruang tamu. Langsung tak dihiraukan Encik Sulaiman yang masih berdiri di depan pintu biliknya.

"Kenapa kau marah sangat? Mesti betul kan, sebab tu kau naik angin. Dasar perempuan murah."

Tangan Atiqah terus ditarik Raaziya, memaksa agar gadis itu berdiri semula. Tak berisyarat, tangan Raaziya melayang tepat di pipi gadis itu. Kali kedua, Atiqah makan penamparnya.

Sebab mulut, badan binasa.

Atiqah tercengang. Spontan tangan naik memegang pipinya yang mula rasa membahang. Tak dapat jangka tindakan laju gadis itu tadi. Terlalu pantas.

"Kau... perempuan tak guna!" Atiqah ikut naik angin. Tak sempat apa-apa lagi, tangannya pula menarik rambut panjang Raaziya. Rasa geram yang mula memuncak naik.

"Arghh!"

Mereka bergelut di ruang tamu sambil menarik rambut masing-masing. Ruangan itu hanya dipenuhi dengan bunyi jeritan.

"Lepaslah!"

"Kau perempuan murah!"

"Sudah! Cukup!"

Suara kuat Encik Sulaiman buat Raaziya dan Atiqah automatik berhenti. Perlahan-lahan rambut masing-masing dilepaskan sebelum memandang Encik Sulaiman yang sedang mendekati. Wajah itu kelihatan bengis.

Pang!

Kali ini, pipi Raaziya pula yang menjadi mangsa. Terteleng kepala gadis itu ke tepi. Tangan Encik Sulaiman mendarat kasar pada pipinya kuat buat air matanya yang ditahan tadi jatuh menitis.

Sakit.

Kenapa dia?

"Kau jangan sentuh anak aku."

Perlahan-lahan Raaziya angkat wajahnya. Dengan penuh kecewa dia memandang susuk tubuh yang ada di depannya.

Ini ke susuk tubuh yang diamanahkan oleh arwah ayahnya untuk melindunginya? Ini ke susuk tubuh yang bakal menjadi walinya nanti jika dia berkahwin? Ini ke susuk tubuh yang perlu dia hormati dan sayangi seperti seorang ayah?

Layak ke susuk tubuh ni?

"Terima kasih, pak cik." Hujung bibir Raaziya ternaik hambar. Bukan kali pertama, tapi sudah masuk berpuluh kali. Tak perlu nak terkejut, dia sudah kalis.

Dengan rasa pedih di pipi, Raaziya melangkah semula ke dalam bilik. Air matanya tak usah dicakap. Memang sudah menitis jatuh dari tadi. Senyum kemenangan Atiqah langsung tak dihiraukan lagi.

Sakit. Hatinya yang berbekas kembali rasa sakit.

Masuk saja ke dalam bilik, pintu terus dikunci dari dalam. Lutut Raaziya yang tiba-tiba rasa lembik buat dia jatuh terduduk lemah di atas lantai.

Kenapa dia? Kenapa dia yang sering menjadi mangsa?

Soalan sama yang selalu berlegar di minda. Soalan sama yang tiada jawapan sampai ke detik ini. Dan mungkin sebenarnya ia memang kosong tanpa sebarang jawapan.

Dia mula rasa penat dengan kehidupan.

RAAZIYAWhere stories live. Discover now