Bab 15

796 38 4
                                    

DISEBABKAN sang suami tercinta tiada di rumah, dia mengambil keputusan untuk tidak memasak. Inara malas untuk memasak kerana dia rasa tidak berbaloi untuk masak buat diri sendiri. Jadi, sebelum pulang ke rumah, dia sudah makan malam di luar.

Hari ini pula dia sangat sibuk di pejabat maka pulang sahaja ke rumah, tiada lain yang dia fikirkan selain daripada lena beradu. Usai mandi, dia terus merebahkan diri di atas katil bersaiz king itu tanpa sebarang keraguan.

Rasa mengantuk sedang merajai dirinya kini. Dalam beberapa saat saja dia sudah lena dibuai mimpi.

Dalam masa yang sama, ada seorang lelaki sedang membuka pintu pagar rumahnya dengan perlahan-lahan. Dengan pakaiannya serba hitam, lelaki itu masuk ke dalam kawasan perkarangan rumah Inara dengan agak mudah kerana keadaan sudah larut malam.

Rupanya lelaki itu adalah Nadim.

Nadim masuk ke dalam rumah Inara menggunakan pintu hadapan yang dipasangkan dengan smart security lock door dan jika ingin membukanya, harus menekan kata laluan. Nadim tahu apa kata laluannya kerana dahulu dia pernah ternampak Reza memasukkan kata laluan yang merupakan tarikh pernikahannya dengan Inara.

13-10-13.

Tidak rugi berbuat baik terhadap Reza. Nadim tersenyum sinis.

Dia melangkah masuk ke dalam rumah tanpa sebarang bunyi bahkan kasutnya pun dia sorok di dalam rumah agar tiada siapa yang tahu bahawa ada lelaki asing di dalam rumah ini.

Kemudian dia pergi ke arah peti sejuk yang ada di dapur lalu mengambil satu jag yang berisi teh campuran buah lemon yang sering Inara minum pada setiap malam sebelum tidur lantas dia terus meletakkan serbuk kecil yang merupakan sejenis ubat tidur ke dalamnya dan larutkannya sehingga sebati.

Ubat tidur itu akan memudahkan dirinya untuk ceroboh masuk ke dalam rumah ini pada setiap malam. Ketaksuban Nadim terhadap Inara bagai sudah tidak dapat dibendung lagi. Dia ingin segera mendapatkan Inara sementara Reza sibuk bekerja di Singapura.

Usai selesai, dia kembali meletakkan jag air itu di dalam peti sejuk. Seterusnya, dia mendaki tangga menuju ke bilik tidur Inara. Dia melihat Inara yang amat lena beradu di atas katil dan itu membuatkan dia tersenyum gembira. Wajah Inara sewaktu tidur amat polos baginya.

"Sampai sekarang aku tak faham kenapa kau obses sangat dengan perempuan ni. Apa yang istimewa sangat dia sampai kau jadi macam ni? Gigih kau ya nak rampas dia daripada Reza," kata Amri yang hairan.

"Kau tahu tak kenapa aku beria nak rampas dia daripada Reza?" tanya Nadim.

Amri mengangguk. "Kenapa?"

"Sebab aku dendam dengan Reza. Aku cuma nak musnahkan hidup Reza aje tapi bila aku tengok dia ni sayang sangat dengan Reza, aku jadi cemburu. Aku cemburu bila lelaki miskin macam Reza boleh hidup bahagia dengan perempuan secantik dia. Aku nak dia sebab aku nak bahagiakan dia."

Amri ketawa.

"Nak bahagiakan dia konon. Kau ni memang kalau cakap tak tengok cermin kan? Hidup engkau sendiri pun tunggang langgang dan huru hara... kau masih berangan nak bahagiakan dia? Bodohlah kau ni."

"Apa masalahnya dengan hidup aku?" soal Nadim pada Amri.

Amri tersenyum sinis.

"Kalau hidup kau tenang dan sempurna, aku takkan wujud. Kau faham kan maksud aku?"

Nadim menjeling.

"Diamlah. Kau wujud pun sebab kisah lampau aku."

"Tak kisahlah kisah lampau ke tak... yang penting kau tu biar berpijak di bumi yang nyata. Inara tak suka lelaki gila macam kau. Dia tak akan bahagia sebab dia akan takut dengan kau."

Nadim menggeleng.

"Dia tak takut dengan aku. Dia takkan takut dengan aku. Dah! Kau tak payah nak hasut aku lagilah. Aku tak nak dengar cakap kau kali ni."

Kemudian Nadim menuju masuk ke dalam bilik air Inara. Dia menanggalkan jaket yang dipakainya.

"Kau nak buat apa bodoh masuk dalam bilik dia? Nanti dia terjagalah," ujar Amri.

"Aku nak mandi dan jangan risau, dia takkan terjaga. Bila dia terlalu penat, dia takkan terjaga dari tidur. Dah sebulan aku perhatikan dia, aku dah tahu semuanya pasal perangai dan tabiat dia."

Amri menggeleng. Dia membiarkan saja Nadim berbuat suka hati. Lagipun tiada siapa yang akan nampak dirinya kecuali Nadim.

Hanya Nadim yang boleh nampak Amri kerana Amri adalah halusinasi yang dicipta disebabkan trauma masa lampau Nadim sendiri.

Apabila Nadim habis mandi, dia kembali duduk di atas sofa satu kemudian sambung memerhatikan Inara yang masih lagi tidur lena tanpa sebarang gangguan.

"Kan aku dah kata, dia takkan terjaga. Inara ni bila dah mula kerja, dia akan kerja macam tak ada hari esok dan bila dia penat, dia takkan sedar dah apa yang berlaku sekeliling dia masa dia tidur."

Nadim memandang Amri dengan sinis.

"Apa motif kau buat macam ni sebenarnya? Inara tak suka kau dan kau tengah buat kerja sia-sia sekarang ni."

"Aku nak jaga keselamatan dia," jawab Nadim.

"Kau kan dah pasang kamera dalam bilik ni... kau boleh aje tengok semua yang dia buat dari rumahlah."

Nadim menggeleng.

"Tak sama. Aku lebih suka tengok dia depan mata. Eh, dahlah! Tak payah menyemak kat sini. Blah!"

Nadim menghalau Amri dan Amri pun hilang dari pandangan. Nadim kekal memerhatikan Inara sehingga jam lima pagi. Dia harus beredar dengan segera kerana tak lama lagi Inara bakal bangun dari tidur.

Akhirnya, dia bangun dari sofa itu kemudian mendekati Inara. Dia tersenyum sinis sambil membelai lembut rambut wanita itu.

"Goodbye, baby. I'll meet you later, ok."

Nadim beredar pergi dari rumah Inara dan semuanya kekal seperti biasa. Nadim memastikan tiada berlaku tanda-tanda pencerobohan supaya dia boleh kembali ke sana dengan kerap.

Dia akan guna peluang ini untuk mendekati dan menggoda Inara Ameena. Dia mahu Inara berpisah dengan Reza tatkala Reza sudah kembali pulang ke Malaysia selepas tiga bulan.

Selepas itu, Inara Ameena adalah milik Nadim Amzar untuk selamanya-lamanya.

Dia... Si Bunga Larangan (Completed)Where stories live. Discover now