Bab 28

682 39 3
                                    

"Inara Ameena binti Razali, aku ceraikan kau dengan talak satu!"

MASIH terngiang-ngiang suara Shahreza Hidayat melafazkan cerai terhadap dirinya beberapa hari lalu. Inara duduk termenung menangis seorang diri di atas katil hospital sejurus saja dia tersedar dari pengsan akibat dipukul Reza. Dengan badan yang penuh calar-balar dan luka, Inara hanya diam membisu. Sakit luka yang ada pada badannya tidak sehebat sakit di hati apabila diceraikan begitu saja oleh suami yang amat dia cintai.

"Nara..." panggil Puan Sri Zainab yang baru sampai di wad anaknya.

Inara tidak menyahut. Dia hanya pandang wajah mamanya kemudian kembali termenung.

"Abang Khai dengan papa dah deal dengan lawyer keluarga kita untuk dakwa Reza. Lepas kes penceraian kau orang selesai kat mahkamah, kami akan pastikan Reza masuk penjara atas kesalahan domestic abuse yang dia dah buat pada kamu. Nanti kita pergi report polis ya."

"Tak payahlah sampai nak masukkan dia dalam penjara. Nara tak nak buat report polis... Nara tak nak lawyer ambil apa-apa tindakan pada Reza," jawab Inara.

"Tak payah masukkan dia dalam penjara? Eh, Inara! Jantan tak guna tu dah bantai kamu separuh nyawa sampai luka calar-balar satu badan. Kamu sedar tak? Dahlah pukul dengan tali pinggang lepas tu main lafaz cerai macam tu aje. Kamu lagi nak menangkan dia?"

"Apa yang berlaku antara kitaorang adalah hak Nara. Biar Nara saja yang buat keputusan sama ada nak dakwa dia atau tidak. Sekarang ni Nara tak nak dakwa dia. Cukuplah dengan lafaz talak yang dia dah buat. Kitaorang dah bercerai. Apa lagi yang mama papa tak puas hati?"

"Ada banyak benda yang mama papa tak puas hati! Sejak kecil, mama dan papa tak pernah naik tangan pada kamu apatah lagi nak bantai kamu dengan tali pinggang sampai luka satu badan macam ni tapi Reza sesuka hati aje nak bantai kamu. Dia ingat dia suami kamu... dia boleh buat apa saja pada kamu ke? Mama tak kira, mama tetap nak dia masuk penjara!"

"I said no! Mama dan papa pun tak pernah suka Reza sebagai menantu kan? Hah, sekarang ni dia dah ceraikan Nara dah pun. Mama dengan papa tak rasa gembira ke? Patutnya mama dengan papa rasa gembira sebab Nara dah jadi janda dan mama papa pun dah tak ada menantu miskin macam dia. Gembiralah!"

"Inara Ameena, kamu jangan melampau ya? Sedar sikit mama ni mama kamu!" marah Puan Sri Zainab.

Inara menggeleng. Dia menarik selimut dan terus baring di atas katil.

"Dahlah, mama. Just go home. Apa-apa pun Nara tetap dengan keputusan untuk tak dakwa Reza. Benda dah jadi dan dia pun dah ceraikan Nara. Cukuplah tu."

"Takkan semudah itu saja, Inara? Dia dah cederakan kamu!"

"Dia buat semua tu sebab dia percayakan fitnah yang Nadim buat! Kalau bukan sebab Nadim celaka tu, Nara takkan bercerai dengan Reza dan Reza takkan pukul Nara. Kalau mama nak salahkan orang, salahkan Nadim! Dia tu yang patut masuk penjara, bukan Reza!"

Jeda. Perbalahan antara Inara dan Puan Sri Zainab berakhir di situ.

Akhirnya, Puan Sri Zainab beredar keluar begitu saja dari wad anaknya. Inara menangis seorang diri mengenangkan apa yang sudah berlaku. Dia kecewa kerana perkahwinan 10 tahun mereka telah musnah hanya kerana satu fitnah. Dia sedih kerana kebahagiaan yang selama ini dia dambakan untuk kekal sehingga akhir hayat hancur lebur akibat satu pembohongan.

Luluh hatinya kini. Dia kecewa dengan semuanya.

~~~

PERJUMPAAN enam mata antara ibu bapa Inara Ameena dengan Nadim Amzar secara tiba-tiba membuatkan Tan Sri Razali dan Puan Sri Zainab sedikit terkejut apatah lagi setelah mendengar hasrat Nadim untuk memperisterikan Inara.

Dia... Si Bunga Larangan (Completed)Where stories live. Discover now