“Keadaan pesakit kini stabil. Tetapi, kami tidak mampu untuk melakukan selebihnya kerana terdapat organ yang telah rosak dan tidak dapat diganti,” terang doktor kepada Yati.
Kaki Yati terus lemah sehinggakan suaminya terpaksa memapah dan mendudukkannya di atas kerusi. Biarpun dadaku berdebar-debar, kakiku tetap juga meneruskan langkahnya menghampiri mereka berdua.
“Jadi macam mana, doktor?” tanya Izzani.
Doktor tersebut mengeluh sebelum menjawab, “kami memang tak boleh buat apa-apa. Pembedahan tadi mungkin hanya mampu extend life pesakit sehingga tiga bulan sahaja. Saya minta maaf...”
Kali ini aku mendengar Yati meraung sambil ditenangkan suaminya. Manakala aku pula, terduduk di atas kerusi yang terdekat denganku. Mereka berdua nampak akan aku tetapi tidak mampu untuk berkata apa-apa.
Izzani bertanya lagi, “doktor, boleh kami melawat sebentar?”
Doktor tersebut menjawab, “buat masa ini, masih belum boleh lagi kerana kami mahu berikan masa untuk pesakit berehat setelah pembedahan dan juga daripada kesan trauma yang teruk”.
Sebaik sahaja doktor pergi meninggalkan mereka, Izzani menghampiriku, “Faris, kau boleh teman isteri aku sekejap? Diorang dah call panggil aku ke bilik mayat”.
Aku hanya menganggukkan kepala. Di dalam keadaan Yati sekarang, sudah pasti sukar untuk dia menguruskan jenazah bapanya. Dia bukan sahaja kehilangan bapa, malah tidak lama lagi dia juga akan kehilangan adiknya.
Setelah melihat Izzani masuk ke dalam lif, aku terus sahaja memeluk bahu Yati dan membiarkan dia menangis di bahuku.
Dia beberapa kali berkata, “akak dah tak ada siapa-siapa lagi lepas ni selain suami akak...”
Aku tidak mampu berkata apa-apa kepadanya dan hanya mampu mengusap kepalanya bagi memujuknya. Di dalam masa yang sama, aku melihat di sekeliling kami. Tiada ahli saudara yang lain di sini. Mungkin mereka bersama dengan Izzani menunggu jenazah Pak Lang.
Setelah hampir sejam berada di luar bilik wad, aku membawakan minuman panas kepada Yati supaya kami kekal segar menunggu di situ.
Tidak lama kemudian, Izzani menghampiri kami berdua, “jenazah abah dah siap. Kita kena pergi sekarang untuk uruskan yang lain-lain”.
“Habis...Nora macam mana?” tanya Yati dengan suara yang serak.
“Tak apa. Kak Nora biar saya yang tunggu. Akak selesaikan apa yang patut dulu. Apa-apa nanti, saya akan beritahu dekat akak,” aku mencelah.
Dia berpuas hati mendengar apa yang telah dikatakanku kepadanya serta beredar bersama suaminya. Sementara aku pula, hanya mampu bersandar dan menunggu sahaja. Sekiranya di dalam kehidupanku yang lalu, Pak Lang meninggal kerana penyakit jantung.
Sekali lagi berlakunya butterfly effect, setiap perubahan yang berlaku akan membawa kepada kesan dan akibat yang berbeza.
Dua hari kemudian, barulah Nora sedarkan diri. Dia dan Yati berpelukan sebaik mendapat tahu bapa mereka sudah pun tiada. Dia juga menerima berita sedih yang disampaikan doktor kepadanya. Lalu dia meminta untuk bercakap dengan aku seorang sahaja di dalam bilik wad.
“Faris, akak minta maaf. Akak tak dapat tunaikan janji kita...masa akak dah tak panjang,” beritahunya sambil memegang alat bantuan pernafasan yang menutupi hidung dan mulutnya.
Seterusnya dia menangis teresak-esak sambil memegang tanganku. Aku hanya terdiam serta membelai tangannya. Inilah detik terpenting di dalam kehidupan keduaku setakat ini. Setelah menunggu lama di luar wad, membuatkan aku berfikir dengan semasaknya.
YOU ARE READING
RE: Semula - The Second Part [Complete]
Short StorySetelah melalui zaman persekolahannya sekali lagi, kini Faris bergerak bebas di Kuala Lumpur mengatur langkahnya bagi mendapatkan apa yang dia pernah terlepas dahulu. Adakah apa yang dirancangkannya akan berhasil tanpa ada sebarang halangan? Adakah...