Kereta Halique mengekori kami di belakang untuk menghantar Ijad balik ke Taska Anak Didik. Sebelum menyerahkan Ijad kepada pengasuh Taska, Sekali lagi tubuh kecil itu diraih Halique ke dalam pelukannya. Hampir menitik air mataku melihat aksi mereka dua beranak.
"Salam daddy, Sayang,"
Ijad patuh dengan arahanku. Halique hulurkan pipinya dan Ijad tanpa was-was mencuim pipi Halique. Gembira kerana di tangannya sudah ada permainan yang sudah diidamkan sekian lama.
"I love you!" ucap Halique buat kali terakhir sebelum mereka berpisah untuk hari ini. Mungkin adakah lagi pertemuan selepas ini? Atau mungkin selepas ini, Syamsul tak akan lagi membenarkan anaknya keluar ke mana-mana lagi bersamaku jika apa yang aku lakukan hari ini akan sampai ke telinganya?
Mengambil masa hampir setengah jam. Kami sampai di sebuah tanah perkuburan yang terletak di hujung Kg. Padang Lalang. Tanah perkuburan di kaki bukit ini amat sunyi ketika ini. Hanya kedengaran bunyi unggas dan burung-burung hutan berkicau.
Petang yang panas semasa di Pekan Tangkak tadi tak terasa sama sekali di sini. Rimbunan pokok-pokok hutan di sekeliling tanah perkuburan melindungi cahaya matahari yang terpancar di langit sana. Sehelai selendang panjang aku tarik dari beg plastik. Tadi, sempat aku membelinya di salah sebuah kedai sebelum beredar ke tempat parkir.
Baru aku sedar, Halique hanya memandu sebuah Honda Civic bukannya GTR tempohari. Aku faham, mungkin ngauman enjin kereta mahal itu idak sesuai dengan bandar kecil.
"Hanim tak nak ikut sekali ke?" aku dapati Hanim tak berganjak dari tempat duduk pemandu.
"Kak Hani pergilah, Hanim tengah cuti."
Aku angguk dan hela nafas. Pintu kereta aku buka dan nampak Halique yang juga baru keluar dari keretanya.
Halique menghampiriku dan kami sama-sama melangkah masuk ke tanah perkuburan yang berpagar. Masing-masing diam. Aku tunduk memerhatikan tanah berumput kasar-kasar yang tumbuh melata.
Aku berhenti sebentar di kubur arwah abah dahulu. Membacakan surah Al-Fatihah dan berdoa untuk kesejahteraan abah di alam sana. Sebak mula bertandang. Kali terakhir aku ke sini sebelum aku berangkat ke kuala Lumpur untuk memulakan tugas di A.M.R. Aku renung ke hadapan. Halique yang bertinggung setentang denganku sedang berteleku dan kusyuk membaca surah. Tangannya diraup ke muka seketika kemudian. Dia angkat muka dan mata kami bertentangan. Tak sedar, air mata menitis perlahan dan jatuh ke pipiku.
Aku berdiri dan Halique turut sama berdiri. Dia menyusul langkahku ke kubur arwah Alin yang berselang 5 buah kubur lain.
"Ini kubur arwah Hazlin," aku pegang batu nesannya. Nama Hazlin Amanda Putri terukir di situ dalam tulisan Jawi. Aku tak pasti samada Halique boleh membaca tulisan Jawi atau pun tak.
Berlapikkan sandal, aku duduk di atas tanah. Bersimpuh dan mula mengangkat tangan. Halique terus duduk bersila berhadapan denganku tanpa memperdulikan warna tanah yang kekuningan. Mulutnya terkumat kamit. Aku menadah tangan mengaminkan doa panjang yang dibacanya.
Anak mataku terpaku pada Halique yang menunduk. Wajahnya bertukar merah dan aku boleh nampak manik-manik jernih turun ke pipinya. Terhingguk-hingguk bahunya. Kali pertama aku lihat seorang lelaki yang bongkak dan sombong menangis hinggakan aku turut merasa sendunya, meresap ke jiwa. Air mata yang masih bersisa sejak di kubur arwah abah tadi, kembali menghujani pipiku.
"Putri.... aku minta maaf! Aku tahu aku banyak dosa pada kau. Ampunilah aku," Halique merintih, meluahkan rasa yang terpendam di hatinya sejak sekian lama.
"Halique....." Aku menegurnya dengan lembut.
Halique angkat muka. Air matanya di seka dengan tangannya sendiri. Dia bangun dan menepuk-nepuk punggung seluarnya.
"Dah sudah? Jom balik, hari dah makin petang. Tentu ibu kau risau."
Kami beriringan keluar dari tanah perkuburan dan Halique menghantarku hingga ke kereta.
"Terima kasih, Hani. Kau buat aku semakin tenang."
"Alhamdulillah! Saya pun harap awak lebih tenang selepas hari ni. Saya pasti arwah Hazlin sudah maafkan awak. Berkenaan ibu saya, mungkin perlukan lebih masa untuk saya memujuk dia. Saya mintak maaf sebab tak boleh nak bawak awak ke rumah saya. Awak jumpa Ijad pun sekejap sangat hari ni."
"Kau terlalu baik. Kalau orang lain, entah-entah sekarang ni aku dah kena sumbat dalam penjara."
"Yang jadi... dah pun terjadi. Saya dah belajar menerima takdir. Lagipun, saya tak ada saksi kukuh untuk buat tuduhan. Sekadar pengakuan awak, belum tentu polis akan percaya. Silap-silap, awak yang kena hantar ke Hospital Tanjung Rambutan." Aku cuba berjenaka.
Halique hanya diam tanpa sebarang tawa. Oh! gurauanku tak kelakar!
"Saya balik dulu. Harap awak tak sesat cari jalan keluar dari kampung ni. Jumpa lagi."
"Er... Hani...." Tanganku baru sentuh pemegang pintu, Halique memanggilku kembali.
"Ya?"
"Bila kau balik KL?"
"InsyaALLAH Selasa depan. Saya ada appointment dengan doktor hari Rabu."
"Ok.. take care. Kalau kau dah mula kerja, text aku."
Aku angguk dan masuk ke dalam kereta. Hanim tak menunggu lama terus menolak gear dan kereta putih miliknya perlahan-lahan meninggalkan Halique yang masih tercengat di situ.
