SEPANJANG perbincangan dari dua belah pihak, aku duduk di dalam bilikku ditemani Hanim. Ibu mewakilkan pak ngah, mak ngah berserta dua orang sepupunya bagi pihak kami. Keluarga Ady Farhan bertandang dengan menaiki 3 buah kenderaan, ramai juga yang datang rupa-rupanya.
"Kak Hani o.k. ke tak ni?" Hanim menegurku bila menyedari aku agak resah. Ijad yang datang kepadaku tadi dengan cepat diraih Hanim. Sekarang, duduk di ribanya sedang menyusu botol.
"Kak Hani o.k., berdebar sikit." Aku seyum tipis.
"Rilekslah Kak Hani.... kan dua-dua keluarga dah bagi restu. Acara peminangan ni buat syarat je. Eh! Anak saudara usu ni bila nak berhenti hisap botol? Tak malu, Ijad dah besarlah!" Hanim tepuk punggung Ijad.
Aku tahu sengaja dia alihkan resahku kepada Ijad. Aku turut tersenyum pada Ijad yang masih diam menyusu. Tak tergugat langsung dengan usikan makcik sepupunya.
"Hurmmm, Hani pulak nak cari lelaki yang macam mana?" aku cuba merisik rahsia adik sepupuku ini.
"Entahlah! First time Hanim suka kat lelaki, tapi rupanya tersalah suka pada orang yang tak sepatutnya kita suka."
Aku tersentak. Siapa yang Hanim maksudkan? Halique ke?
"Hanim cerita pasal Halique ke? Takkanlah kat UIA tak ada seorang pun yang Hanim berkenan? Kat sana kan ramai bakal-bakal lawyer juga?"
"Poyo lah nak bercouple dengan student. Hanim tak minat! Kalau boleh Hanim nak cari yang lebih tua dari Hanim. Matang dan berkarisma. Kalaulah Halique tak ada kaitan dengan arwah kak Alin......"
"Kalau Halique bukan sesiapa pada arwah Alin, tak mungkin kak Hani kenal dia. Kita tak setaraf dengan dia, Hanim. Nama penuh dia Tengku Sharmin Halique Tengku Sulaiman. Kalau Hanim nak tahu, sebelum dia kenal arwah Alin, dia dah ada kekasih."
"Sharmin Halique? Nama Ijad.... Haizad Sharmin, kan?"
Pantas aku mengangguk. Kalau pada hari pertemuan dengan Halique di Tangkak tempohari, Hanim masih sangsi dengan cerita Halique, aku percaya sekarang dia faham kenapa aku beria-ria mempertahankan Halique, mengesahkan yang Halique adalah bapa kandung Ijad.
"Jadi... arwah kak Alin yakin yang Halique penyebab Ijad lahir?"
Aku angguk lagi. Baru kini aku dengar suara Hanim yang mengendur. Tak lagi bernada marah dan geram sepertimana di depan Halique beberapa hari lepas.
"Assalamualaikum!" seseorang memberi salam di luar pintu bilikku yang terbuka. Terasa macam kenal je suara tu? Aku menoleh. Aku melonjak riang terus bangkit dari kerusi.
"Naemah..... kau balik jugak?" aku mahu menjerit tapi bila teringatkan tetamu yang berada di tengah rumah, terpaksa aku mengawal suaraku.
"Haah... mana boleh lepas peluang nak tengok kau kena pinang!" Naemah mengekek juga dalam keadaan terkawal suaranya.
"Bila kau sampai?"
"Malam tadi. Sorrylah lambat sampai. Ady tumpang duduk rumah kami lepas dia hantar orangtuanya ke sini tadi. Adik dan abah aku yang temankan dia kat rumah. Mak aku pun datang dengan aku. Tengah tunggu kat dapur agaknya"
"Terima kasih kawan,"
"Eh... ni Hanim ke? Lamanya tak jumpa, cepatnya besar?"
Aku tergelak perlahan dan Hanim hulurkan tangan untuk bersalaman kerana dia tak boleh bangun dari katil. Ijad sudah tertidur di pangkuannya.
"Hani....." Kami bertiga memandang mak ngah di muka pintu.
"Ya mak ngah?" debaran di dada mula terasa. Sama debarnya seperti saat keluarga Syamsul masuk meminangku enam tahun yang lepas.
"Mereka mintak Hani keluar. Alhamdulillah, semua dah setuju." Mak ngah tersenyum lebar.
Aku lepaskan nafas lega. Naemah mengiringiku hingga ke ruang tamu. Aku duduk dengan sopan di sofa yang dikosongkan untukku. Mama Ady Farhan, Puan Sri Adalina sedang menantiku di situ. Aku telan liur, serasa semua mata memandang ke arah kami.
"Cantiknya bakal menantu mama....." Puan Sri Adalina memuji. Kotak cincin berbentuk segitiga empat di buka. Sebentuk cincin emas belah rotan dihulurkan padaku.
"Ini cincin tanda dari Ady Farhan. Terima kasih kerana gembirakan anak lelaki mama."
"Terima kasih juga pada Puan Sri kerana sanggup terima saya yang tak punya apa-apa ni," aku merendah diri. Terasa lakonanku mantap sungguh hari ini.
"Jangan cakap begitu, sayang. Siapa pun yang Ady pilih... mama akan terima dengan senang hati. Dan mama rasa Ady dah buat pilihan yang tepat."
Aku menoleh pada ibu di sebelah mak ngah. Ibu sedang mengesat air matanya.
"Alhamdulillah! Hani, pihak lelaki mintak majlis pertunangan sebulan dari sekarang. Hani rasa boleh ke?"
Sebulan? Cepatnya......
"Hani... er serahkan pada ibu. Kalau ibu dah setuju, Hani ikut saja." Hati berdetak resah semula. Tak menyempat-nyempat Ady Farhan mahu bergelar tunanganku.
"InsyaALLAH Tan Sri, Puan Sri. Majlis tunang bukan nak buat besar-besaran. Sekadar jemput saudara mara terdekat." Ibu menjawab telus
Aku bersyukur kalau itu yang ibu mahukan. Aku juga tak mengharapkan majlis besar-besaran untuk menghebahkan pertunangan kami.
***************
Selesai semuanya dan persetujuan kedua-dua pihak sudah dicapai. Aku, Naemah dan Hanim mula sibuk di dapur menghidangkan lauk-pauk yang dimasak ibu dan mak ngah awal pagi tadi. Makcik Som turut sama ligatnya membantu ibu apa yang perlu.
"Syamsul tak datang ke, Midah?" makcik Som tiba-tiba menyebut nama Syamsul.
Aku terkesima. Ya tak ya juga? Kenapa dia tak datang?
"Saya dah bagitau dia dua-tiga hari lepas. Tak tahulah kenapa dia tak datang hari ni. Agaknya ada kelas tuisyen untuk budak-budak nak ambil SPM." Ibu memberi dalih. Aku hanya mendengar alasan ibu, tak berani menyampuk.
"Dia kecewa dengan Hani agaknya. Dah lama dia tunggu Hani." Makcik Som memberi komen.
Sekali lagi nafasku terasa tersekat di kerongkong.
"Hani dah berterus terang dengan Syamsul. Bukan jodoh Hani dengan dia."
"Apa-apa sajalah Hani... asalkan Hani bahagia. Nanti giliran Naemah pulak. Lega hati makcik bila dia bagitau dia dah jumpa calon suami."
Aku senyum hambar dengan omelan Makcik Som.
"Mak ni... janganlah kecoh-kecoh dulu. Kami baru merancang. Kalau tak jadi, buat malu nanti," Naemah mula tak senang dengan hebahan emaknya.
"Kata nak tunang sama-sama. Jadi tak?" sengaja aku mengusik Naemah dengan mengungkit kata-katanya sebelum ini.
"Kau punya cepat sangat. Lagi sebulan? Gilalah si Ady tu." Naemah ketawa mengejekku.
Bergilir-gilir kami naik ke atas rumah menghidangkan mangkuk-mangkuk berisi gulai cili padi ayam kampung bersama kentang, ikan keli goreng berlada, telur asin, sayur kacang panjang dan ulam-ulam kampung. Tak lupa sambal belacan air tangan mak ngah yang meletop!
