KERETA Naemah tiada di bawah anjung. Ke mana pula perginya teman karibku itu? Buru-buru aku panjat tangga ke atas dan menerpa pintu bilikku. Perkara pertama yang aku lakukan, cas bateri telefon bimbit. Ha.... kan? Berpuluh missed called dari Ady Farhan dan empat daripanya panggilan dari Naemah.
Tak berkeinginan mahu menjawab balik panggilan masuk dari Naemah dan Ady Farhan, aku segera ke bilik air untuk mandi. Tubuh yang terasa letih bersama hati yang masih lelah akibat pertemuan dengan Halique tadi, aku lempiaskan di bawah pancuran air suam-suam kuku. Lama aku biarkan tubuhku disirami air sambil mengenang kembali cerita duka tentang Halique dan arwah Hazlin. Walau begitu sukar untuk aku menerimanya, tapi itu adalah kenyataan. Perlukah aku terusan mengecam Halique kerana menodai arwah Alin kalau arwah adikku sendiri yang menjerat dirinya ke arah itu? Lebih aku risaukan nanti, bolehkah ibu menerima hakikat yang arwah Alin juga bersalah, bukannya Halique seorang?
Aku mengurungkan diri di dalam bilik hingga jam menginjak ke angka 10.00 malam. Tak ketahuan sama ada Naemah sudah pulang atau belum dari tempat kerjanya. Tak berdaya rasanya aku mahu meringankan kaki memijak anak tangga ke tingkat bawah menjenguk Naemah di biliknya.
Telefon bimbitku bergetar dan alunan irama lagu menyedarkan mataku yang hampir layu. Nama yang terpapar di skrin aku pandang lama. Aku ambil langkah tak mahu menjawab pangilan dari Ady Farhan. Suara yang sudah serak, aku harus mengunci mulut sahaja daripada mengundang pelbagai andaian dari pihak sana,
Tit! Tit! Tit!
Whatsapp pula masuk setelah hampir tiga kali aku tak memberi tindak-balas.
<<Hani... kenapa tak jawab Ady called? I'm so worried >>
Selepas beberapa minit berselang, barulah aku menaip mahu membalas.
<<Sorry, Hani tak brapa sihat. Tadi h/p silent mode>>
Tit! Tit! Tit! Tak menunggu lama Ady menjawab dengan pantas.
<<Teruk ke? Ady hantar Hani pergi klinik?>>
Aku mengeluh. Alasanku memakan diri.
It's ok.. Sakit kepala aje. Hani boleh tahan lagi.
Naemah ada kalau nak pergi klinik.
Hani nak tidur awal. Bye...!
Kali ini telefon aku matikan terus. Mungkin sedikit biadap, tapi aku tak mahu terus dihujani pertanyaan demi pertanyaan yang bakal Ady Farhan ajukan. Bagiku, jika terlalu mengambil berat kadang-kadang agak menjengkelkan. Kadang-kadang buat aku terfikir, kalau sebelum berkahwin sudah begini, bagaimana jika aku menjadi isteri Ady Farhan nanti? Rimaskah aku dengan layanan yang melampau-lampau darinya sedangkan sebelum ini, aku lebih suka berdikari.
#########
AWAL tidur malam tadi, awal juga aku bangun pagi ini. Sebaik azan subuh kedengaran dari masjid berhampiran, mataku susah mahu lena lagi. Terkebil-kebil aku di atas katil, mahu bangkit dan mandi di awal pagi seperti selalunya terasa malas pula. Sudahlah aku masih ABC lagi.
'Allah Bagi Cuti'
Itulah yang sering aku dan arwah Alin beri alasan pada ibu jika kami lewat bangun pagi semasa kami masih remaja dulu. Aku senyum sendiri bila teringatkan kenangan lama.
Jam 7.00 pagi, pintu bilikku diketuk. Aku bangun dan lambat-lambat melangkah ke pintu. Naemah yang sudah siap berpakaian sukan terkejut memandang wajah pucatku.
"Assalamualaikum, good morning! Kau tak sihat ke? Aku baru ingat nak ajak kau jogging. Dah lama kita tak keluar jogging, kan?"
"Aku okey... pening kepala je sikit malam tadi, sebab tu aku tidur awal. Kau lambat balik malam tadi?"
